REAKSI teruja jelas terpancar pada wajah Haziq Ali Hisham saat pertama kali menjejakkan kaki di sebuah taman terletak dalam Presint 16, Putrajaya.
Keterujaan remaja berusia 17 tahun itu kian ketara saat melihat pemandangan di situ yang dipenuhi pelbagai spesies pokok tempatan.
Haziq Ali mengatur langkahnya secara perlahan-lahan di atas laluan berbatu yang dibina bagi menjelajah kawasan seluas 14 hektar itu sambil menghirup udara segar. Selepas beberapa tapak melangkah, remaja berasal dari ibu kota itu berhenti seketika di bawah pokok petai yang berbuah lebat.
Juntaian berona hijau muda itu dibelek dan dipegang hampir 10 minit oleh Haziq Ali memandangkan itu pengalaman pertamanya melihat petai di atas pokok.
Tidak jauh dari pohon petai itu, Haziq Ali terlihat beberapa petak sawah padi yang dikelilingi pohon kelapa pandan serta sebuah pondok kecil.
Suasana permai desa tersebut telah berjaya menambat hati Haziq Ali. Jadi, dia terus bergegas menuju ke pondok diperbuat daripada kayu itu bagi melihat dengan lebih dekat suasana sekitar.

Ketika melepaskan lelah dan berteduh di situ, salah seorang penjaga kawasan tersebut menghidangkan Haziq Ali air kelapa pandan serta buah nanas dan cempedak yang baru dipetik.
Itulah sebahagian daripada pengalaman menarik yang berjaya dikutip oleh pelajar tingkatan lima itu ketika menjelajah Taman Warisan Pertanian (TWP) di Presint 16 bersama seorang rakannya baru-baru ini.
“Ini pertama kali saya sampai ke sini. Saya tidak sangka Putrajaya yang dikenali sebagai pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan memiliki kawasan bagaikan sebuah dusun ini.
“Di sini, saya berpeluang mengenali pelbagai spesies pokok. Saya juga boleh memegang dan merasai sendiri keenakan buahnya. Ia satu pengalaman cukup menarik,” katanya kepada K2.
Mula dibuka secara rasmi pada 15 Mei 2003, TWP merupakan sebuah kawasan berkonsepkan agropelancongan yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pelawat.
Pun begitu, apabila pandemik Covid-19 melanda negara sekitar tahun 2020, taman berkenaan terpaksa ditutup agak lama daripada kunjungan pelawat.
Begitupun, pada awal tahun ini, Perbadanan Putrajaya (PPj) telah berjaya mengambil alih taman berkeluasan 14 hektar itu daripada sebuah konsesi pengurusan tempatan.
Pengambilalihan itu menyuntik lebih banyak penambahbaikan pada taman itu selain bakal menyajikan pelbagai aktiviti baharu.
Pengarah Bahagian Rekreasi dan Operasi, Jabatan Landskap dan Taman PPj, Asmah Yahaya berkata, pengambilalihan tersebut membolehkan PPj memberi nafas baharu sebelum dibuka sepenuhnya kepada kunjungan para pelawat pada bulan ini.
“Ketika ini, ada beberapa kawasan di taman ini terpaksa ditutup daripada kunjungan pelawat. Ini kerana kami sedang melakukan kerja-kerja baik pulih kemudahan serta mempelbagaikan lagi tarikan,” terangnya.
Asmah memaklumkan, TWP menawarkan kira-kira 180 spesies pokok tempatan merangkumi buah-buahan, palma, herba dan rempah-ratus.
Kata beliau, pengunjung bukan sahaja boleh melihat pokok-pokok berkenaan, malah mereka berpeluang memegang dan merasai sendiri kemanisah buah-buahan yang terdapat di TWP.
“Macam-macam jenis pokok buah-buahan ada di sini seperti manggis, rambutan, durian, ciku, limau barli, kedondong, belimbing, kelapa dan mangga. Di sini juga, pelawat boleh tengok tumbuh-tumbuhan komoditi seperti getah, kelapa sawit, lada hitam, padi, kopi liberica, kopi robusta, koko dan pinang.
“Apabila pengunjung ikut pakej berpandu yang kami tawarkan, mereka boleh memetik buah dan merasai sendiri kemanisannya tapi apapun bergantung kepada musim juga,” ujarnya.

Di TWP juga terdapat sebuah ladang getah berkeluasan tiga hektar yang merupakan kawasan asal Estet Prang Besar iaitu tapak awal sebelum pembangunan Putrajaya. Ladang itu mengandungi plot getah asal serta tanaman semula yang mengandungi 1,500 pokok dewasa daripada 71 klon seperti RRIM600 dan PB260.
Di situ juga pengunjung boleh melihat proses menoreh pokok getah serta memprosesnya sebelum dijual kepada peraih.
Bercerita lanjut tentang taman ini, Asmah berkata, kedatangan pengunjung di taman itu disambut oleh tiga jenis pokok iaitu sirih, susun kelapa dan limau. Pokok-pokok itu yang ditanam berhampiran laluan tangga ke kompleks pelawat merupakan simbolik kepada kaum Melayu, India dan Cina.
Tambahnya, TWP sering menjadi pilihan para pemandu pelancong yang membawa pelawat asing memandangkan kawasan itu merupakan tempat agropelancongan utama di Putrajaya.
Asmah menjelaskan, taman berkenaan juga sering menjadi tumpuan rombongan daripada kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar Lembah Klang.
“Pelancong luar negara dilihat lebih meminati sesi jelajah TWP memandangkan mereka teruja dengan tanaman serta buah-buahan yang terdapat di negara ini,” jelasnya.
Tidak sah lawatan di TWP, seandainya tidak berhenti seketika di pelantar pemandangan bagi menikmati pemandangan indah Putrajaya dari atas bukit. Dari situ, pengunjung boleh melihat lokasi tumpuan sekitar Putrajaya seperti Masjid Putra, Dataran Putra, Kompleks Kerajaan Persekutuan serta Taman Putra Perdana.

Sementara itu, Naib Presiden Landskap dan Taman PPj, Abdul Aziz Buang membayangkan pihaknya akan menawarkan pakej menjejaki TWP pada waktu malam tidak lama lagi.
Katanya, pakej tersebut membolehkan pengunjung berjalan secara kumpulan bagi melihat suasana sekitar serta merasai angin malam yang nyaman.
“Sama seperti jejak ketika waktu siang, bezanya pada malam cuaca lebih sejuk. Kalau duduk atas bukit, pelawat boleh melihat pemandangan menakjubkan Putrajaya. Kita juga telah memasang lampu bawah pokok untuk memberikan kesan lebih dramatik kepada suasana sekitar bagi tatapan pengunjung pada malam hari,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya juga bakal menjadikan rumah pekebun kecil yang merupakan replika sebuah rumah Melayu lama sebagai pusat aktiviti pelawat. Pengunjung boleh berehat sebentar di rumah yang dikelilingi taman herba itu sambil melakukan aktiviti berkumpulan.
“Sambil melepaskan lelah, mereka dapat berehat sebentar di sini sambil barbeku menikmati keenakan ayam panggang dan bergurau senda.
“Saya pasti ini akan menjadi momen yang indah dan dirindui. Tidak mustahil mereka kembali untuk merasai lagi suasana seperti itu pada masa akan datang,” ujarnya.














