fbpx
SUSU masam menjadi kegemaran penduduk Hulu Terengganu sebagai hidangan penambah selera.–NOOR HAYATI MAMAT

Yogurt cara kampung jadi tarikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP tempat di negara ini pasti ada satu tarikan istimewa yang membezakan dengan kawasan lain termasuk makanan tradisi.

Berbeza dengan tempat lain, masyarakat di Hulu Terengganu mempunyai cita rasa berbeza apabila menikmati susu masam yang diperbuat daripada susu kerbau yang diperam di dalam buluh.

Lebih dikenali sebagai yogurt kampung oleh penduduk setempat, idea pembuatan susu masam tercetus oleh orang dahulu kala berikutan penggunaan meluas kerbau sebagai haiwan membajak sawah padi sebelum kehadiran jentera.

Lebihan susu kerbau betina ternakan mereka diperam selama beberapa hari menggunakan buluh sehingga menghasilkan susu masam.
—————————————————————————————————————————————-
“Susu masam merupakan makanan tradisional penduduk Hulu Terengganu yang diperbuat daripada susu kerbau diperam di dalam buluh.

“Rupanya seperti dadih, manakala rasanya lemak-lemak masam dan tiada bau hamis. Bertambah sedap jika dicampur bersama budu, tempoyak atau pelara (ikan pekasam selayang),” katanya kepada Panorama baru-baru ini.

Nordin yang mengakui amat ketagih dengan susu masam. Kalau tiada makanan apapun, gaulnya dengan dengan gula pun sudah memadai baginya.

Ujarnya, dia mengenali susu masam atau juga dikenali sebagai yogurt kampung tersebut sejak diperkenalkan oleh ibu bapanya sejak kecil.

“Susu masam itu antara makanan tradisional yang melambangkan keunikan masyarakat Hulu Terengganu.

“Saya difahamkan idea pembuatan susu masam tercetus oleh orang dahulu kala berikutan penggunaan meluas kerbau sebagai haiwan membajak sawah padi sebelum kehadiran jentera,” ujarnya.

BEGINILAH rupa susu masam untuk dinikmati.

Nordin memberitahu, lebihan susu kerbau betina ternakan mereka diperam selama beberapa hari menggunakan buluh sehingga menghasilkan susu masam.

Dia berkata, susu masam yang asalnya menjadi sajian dalam kalangan keluarga petani kemudiannya dijual sehingga makanan eksotik itu terkenal dalam kalangan masyarakat setempat.

“Begitupun ekoran peredaran zaman dan pemergian para pengusaha dijemput Ilahi, susu masam kini semakin sukar didapati walaupun di tempat asalnya, Hulu Terengganu.

“Setahu saya, susu masam hanya boleh didapati di Pasar Pagi Kuala Berang yang beroperasi pada setiap Rabu dan Sabtu,” katanya.

Nordin berkata, sepanjang pengetahuannya, pengusaha susu masam di Hulu Terengganu kini cuma tinggal dua orang sahaja termasuk salah seorangnya, Abdullah Ali, 56, atau lebih mesra dipanggil penduduk tempatan sebagai Pok Mat.

Sementara itu, Abdullah berkata, dia baru kembali mengusahakan semula susu masam kira-kira lapan bulan lalu setelah lebih 20 tahun meninggalkannya.

Menurut pengusaha susu masam yang menetap di Kampung Kuala Kejir, Hulu Terengganu itu, hatinya terpanggil untuk kembali menghasilkannya semula setelah menyedari makanan tradisional itu semakin sukar dicari dan tidak ramai yang mahir dalam pembuatannya.

“Saya akui rajuk yang agak panjang itu disebabkan kehilangan kerbau induk betina kesayangan pada awal tahun 2000-an.

“Begitupun semangat saya kembali selepas menerima seekor kerbau sapi betina yang disumbang Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu pada awal tahun lalu,” ujarnya.


ABDULLAH (kanan) bersama susu masam yang dihasilkan.

Pok Mat berkata, pembuatan susu masam sebenarnya tidak rumit kerana hanya memerlukan susu kerbau segar dan bekas buluh tetapi mempunyai pantang larangnya yang tersendiri.

Datuk kepada tiga cucu itu berkata, susu kerbau segar perlu dimasukkan terus ke dalam bekas buluh sebaik diperah sebelum ditutup dengan plastik dan diperam selama dua atau tiga hari dengan suhu bilik sehingga ia membeku secara semula jadi.

“Biasanya susu kerbau induk akan diperah seawal pukul 7 pagi kerana waktu itulah pengeluarannya paling produktif dan emosinya baik.

“Pantang larang menghasilkan susu masam, semuanya perlu kering kerana kalau bercampur dengan air walaupun setitik pasti ia tidak menjadi,” katanya.

ABDULLAH berazam untuk terus menghasilkan susu masam sehingga nyawa dikandung badan.

Pok Mat berkata, susu masam yang sedang diperam juga tidak boleh diletakkan ke dalam peti sejuk.

Sebaliknya, dia memberitahu sebaiknya susu masam tersebut digantung di kawasan yang mempunyai pengudaraan baik.

“Saya menjual susu masam pada harga antara RM8 hingga RM12 sebatang mengikut saiz buluh.

“Tidak sangka sambutannya amat menggalakkan dengan purata jualan hampir 100 batang sebulan. Saya tidak boleh hasilkan lebih banyak sebab sumber susu hanya seekor kerbau induk tersebut,” katanya.

SUSU masam membeku setelah diperam di dalam bekas buluh.

Pok Mat berkata, beliau berazam untuk terus memperkenalkan susu masam terutama kepada generasi muda supaya makanan tradisional itu tidak pupus ditelan zaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN