SEJAK jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bersara pada 2019, Malaysia seperti ketandusan bakat yang boleh diketengahkan sebagai jaguh dunia dan kem badminton negara seperti berada dalam keadaan lemah dan lesu.
Tiada lagi pemain ranking No.1 Dunia dari Malaysia dan ramai peminat badminton negara kecewa dengan keadaan ini.
Kolum Wawancara minggu ini menampilkan legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek yang mengulas tentang senario semasa dan kemelut yang berterusan dalam kem badminton di negara ini dan harapan beliau untuk melihat sukan itu kembali gah di persada dunia satu hari nanti.
————————————————————————————————————————————————-
SEJAK sekian lama, sukan badminton negara tidak pernah sunyi daripada mengecapi pelbagai kejayaan cemerlang di peringkat dunia. Antara kejayaan yang pernah dikecapi kem badminton negara termasuk Piala Thomas, All England, jelajah dunia serta kejuaraan peringkat Asia dan ASEAN.
Ketika Sukan Olimpik, skuad badminton sentiasa menjadi sandaran utama negara untuk membawa pulang pingat emas pertama buat Malaysia. Ketika ini, badminton telah menyumbang empat pingat perak.
Salah seorang pemain paling hebat dalam arena badminton negara adalah legenda perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei yang berjaya mengecapi pelbagai kejuaraan. Beliau juga berjaya menduduki ranking No.1 dunia selama 199 minggu berturut-turut bermula pada 21 Ogos 2008 hingga 14 Jun 2012.
Bagaimanapun, selepas persaraan Chong Wei pada 2019, pencapaian pemain-pemain badminton negara dilihat tidak konsisten sehingga menghadirkan rasa bimbang dalam kalangan peminat. Ia diburukkan lagi dengan berita pengunduran pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini.
Bagi mengulas senario sukan badminton negara, wartawan Kosmo! Ahad, Mohd. Shazwan Yusop telah menemu bual Pengarah Teknikal Badminton Remaja, Datuk Mohmed Misbun Mohd. Sidek di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
KOSMO! AHAD: Selepas Chong Wei bersara, negara bukan sahaja kehilangan sebutir bintang, tetapi turut beri impak kepada kem badminton negara apabila bergelut kekalkan prestasi terbaik. Pada pendapat Datuk, mengapa ini berlaku?
MISBUN: Chong Wei bersara ketika umurnya 38 tahun selepas berjaya membawa banyak kejayaan kepada negara. Selepas kehilangan Chong Wei, kem badminton negara sebenarnya bergelut untuk melahirkan seorang lagi pemain berbakat besar.
Di mana-mana negara pun pemain badminton itu memang ramai, tetapi hendak jumpa yang berbakat itu memang susah. Biasanya, pemain berbakat ini memiliki ciri-ciri licik di dalam gelanggang.
Mereka ini mempunyai kombinasi kelajuan, kekuatan pukulan, kemahiran, kecepatan dan kawalan pernafasan baik sehingga mampu berjaya dalam tempoh lama. Situasi dialami oleh kem negara ketika ini, pernah terjadi kepada Indonesia.
Selepas kehilangan Rudy Hartono, mereka terpaksa menunggu lebih 10 tahun sebelum lahirnya Hariyanto Arbi.
Sejak itu juga, pemain perseorangan lelaki negara seperti hilang ‘sengat’ di peringkat tertinggi. Masih adakah pemain yang boleh mengisi tempat ditinggalkan Chong Wei?
Semua pemain perseorangan yang ada di dalam kem negara ketika ini merupakan pengisi kepada tempat Chong Wei.
Masalahnya, kematangan seorang pemain itu berbeza. Ada pemain matang cepat, tidak kurang juga mereka yang lambat. Matang di sini bermaksud, apabila jurulatih memberi satu modul latihan, sejauh mana pemain itu dapat menyerap dan menggunakannya dalam gelanggang. Ada pemain yang ajar modul hari ini, satu minggu sudah pandai menggunakannya. Ada juga yang berbulan pun masih tidak tahu guna.
Macam Chong Wei, pagi saya bagi modul latihan, petang sudah pandai gunakannya. Pemain seperti ini dipanggil gifted dan jumlahnya tidak ramai. Pemain seperti ini memerlukan seorang jurulatih berkaliber bagi menonjolkan potensi sebenar mereka.
Melihat prestasi skuad kebangsaan termasuk pemain perseorangan lelaki ketika ini, adakah Datuk yakin negara dapat melahirkan bintang dunia dalam tempoh terdekat?
Pada pendapat saya, tiada pemain yang mampu menjadi bintang dunia buat masa sekarang. Kita sudah ada bahan-bahan (pemain), tetapi majoritinya masih belum sampai tahap itu.
Hal ini kerana bagi melahirkan seorang jaguh dunia, ia memerlukan masa. Misalnya, seorang pemain itu perlu menguasai 108 jenis pukulan smash.
Bagi memahirkan smash, pemain itu juga perlu dilatih dari aspek pernafasan, teknik pukulan, kekuatan lompatan dan taktikal. Semua ini memerlukan tempoh latihan yang lama untuk dikuasai oleh pemain.
Pemain-pemain sedia ada ketika ini boleh jadi bintang selepas empat atau lima tahun dilatih. Perkara ini juga dipengaruhi kitaran pusingan, apabila jaguh-jaguh dunia sedia ada sudah hilang sengat, baru mereka boleh ambil alih dan menjadi seorang bintang.

Sejak kebelakangan ini, negara seperti Thailand, Jepun dan India semakin meningkat naik. Bagaimanakah pandangan Datuk?
Negara-negara ini berjaya disebabkan mereka mempunyai perancangan rapi selama bertahun-tahun.
Perancangan ini biasanya dilakukan oleh presiden mereka yang turut terlibat dalam usaha mencari dana bagi pembangunan pemain-pemain muda.
Thailand, Jepun dan India juga mempunyai sebuah akademi badminton terbaik serta lengkap dengan segala kemudahan seperti gimnasium, gelanggang dan sekolah.
Semua ini bergantung kepada dana, kalau ada banyak, apa-apa pun boleh buat.
Misalnya, Jepun buat pelaburan besar menghantar ramai jurulatih mereka berguru di luar negara.
Apabila kembali, mereka latih pasukan universiti dan kelab sekali gus membantu melahirkan pool pemain yang ramai. Kelompok pemain ini apabila dilatih selama beberapa tahun, lama-lama mereka handal dan berjaya jadi bintang dunia.
Pernahkah Datuk menerima tawaran menjadi jurulatih di luar negara?
Itu sudah pasti, dari dahulu sehingga sekarang ada sahaja negara yang inginkan khidmat saya dengan menjanjikan gaji lumayan.
Antara negara yang pernah berhasrat dapatkan khidmat saya termasuk Denmark, Jepun, Singapura dan Thailand.
Negara-negara ini mahukan khidmat saya disebabkan cerita-cerita yang mereka dengar mengenai personaliti, disiplin dan modul latihan diterapkan.
Saya yakin, selepas mereka berjaya menguasai modul-modul ini, kontrak saya akan ditamatkan.
Disebabkan itu, setiap tawaran diterima saya tolak cara baik.
Bagi saya, apa kurangnya melatih anak bangsa sendiri di sini.
Bagaimanapun, saya tidak menolak sekiranya ada pemain dari luar yang sanggup datang ke sini untuk berguru.
Misalnya, Jepun menghantar hampir 40 orang pemain muda setiap tahun untuk belajar beberapa modul latihan dengan saya selama dua hingga tiga minggu.
Ada pihak dakwa, latihan diberi Datuk kepada pemain-pemain agak keras dan mengutamakan disiplin ketat. Apa penjelasan Datuk?
Sehingga sekarang, masih belum ada pemain yang meninggalkan akademi disebabkan tidak tahan rejim latihan saya.
Malah, tiada pemain-pemain senior di bawah jagaan saya alami kecederaan serius.
Ramai yang anggap rejim latihan saya ini keras disebabkan faktor persepsi dan mentaliti.
Misalnya, mungkin latihan di peringkat negeri sebelum ini lebih santai dan terhad pada sebelah petang.
Tetapi di sini, latihan bermula seawal pukul 5 pagi dan sebelah petang pun masih ada lagi.
Lagi satu, pemain-pemain ini tidak tahan disebabkan latihan berulang yang berterusan.
Kebanyakan pemain di sini boleh terima rejim dan ketegasan disiplin diterapkan selepas diberi penerangan.
Saya selalu beritahu mereka, badminton permainan yang memerlukan larian dan fizikal. Jadi, kalau larian tidak cukup, mustahil untuk menangi setiap kejohanan.
Datuk ialah insan yang bertanggungjawab lahirkan tiga juara dunia seperti Chong Wei, Roslin Hashim dan adik sendiri, Rashid. Bagaimana Datuk yakinkan mereka jalani latihan ‘keras’ ini?
Mereka bertiga ini merupakan pemain yang demanding yang sentiasa rasa tidak cukup.
Misalnya Chong Wei, seorang pemain yang tidak pernah cakap no apabila diajukan modul latihan.
Saya pernah minta dia berlari 1,600 meter iaitu empat pusingan padang selama 6 minit 30 saat sahaja.
Selepas itu rehat lima minit sebelum lari balik. Dia seorang saja pemain yang boleh buat 12 set larian berkenaan. Setiap modul latihan diberikan jurulatih pasti ada sebab.

Apa pandangan Datuk terhadap isu penarikan diri jaguh badminton negara, Zii Jia daripada BAM?
Saya yakin keputusan dibuat Zii Jia pastinya ada sebab tersendiri.
Saya sebagai bekas jurulatihnya, hormati keputusan itu.
Saya yakin tempat terbaik bagi seorang pemain adalah di dalam BAM.
Chong Wei tidak pernah keluar dari BAM kerana dia mempunyai keyakinan penuh terhadap institusi ini.
Bagi saya, hendak bergerak secara profesional bukan mudah kerana Zii Jia perlu mencari jurulatih dan rakan sparing yang boleh bawa dia maju ke depan.
Lagipun, permainan Zii Jia masih jauh lagi untuk mencabar pemain terbaik dunia lain.
Saya harap, kekosongan ditinggalkan Zii Jia dapat beri peluang pemain-pemain muda untuk mengisinya.
Jadi jurulatih perlu persiapkan pemain-pemain muda ini untuk sampai ke tahap seperti Zii Jia ketika ini.















