fbpx
SEBUAH tugu didirikan di kediaman itu bagi menunjukkan Diaz pernah berlatih di situ.

Jejak juara angkat berat di Kesang Tua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sebut sahaja nama Kesang Tua, Jasin, Melaka, pasti terbayang kelibat atlet angkat berat wanita Filipina, Hidilyn Diaz, 30, yang berjaya mengharumkan nama negaranya dengan meraih pingat emas di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun pada 26 Julai lalu.

Di kampung itulah Diaz berlatih disebuah rumah milik ahli keluarga Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat (PABM), Ahmad Janius Abdullah.

Menurut Ahmad Janius, dia membersihkan ruang di garaj yang cuma seluas 375 kaki persegi untuk dijadikan tempat latihan asas angkat berat.

Tiada layanan istimewa diberikan kepada atlet itu termasuklah tempat tidur yang sekadar katil asrama double-decker di rumah tersebut serta menu makanan biasa masyarakat kampung Melaka.
———————————————————————————————————————————
“Saya berjaya lakukannya seorang diri pada percubaan-percubaan antarabangsa, cuma belum di Olimpik. Saya akan membawa pulang pingat mewakili Filipina, saya tidak boleh buat kesilapan.”

Itu antara baris kata-kata semangat juang yang dicoretkan atlet angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz, 30, dalam sebuah buku catatan kecil yang lazimnya digunakan bagi mengambil pesanan menu di kedai makan.

Buku seakan diari itu ditemui penulis di atas meja di sisi katil yang sebelum ini adalah sebuah double-decker tempat berehat atlet itu sebelum bergelar pemenang pingat emas pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun pada 26 Julai lalu.

Diaz berjaya melakar sejarah dengan menjadi atlet pertama Filipina yang memenangi pingat emas Olimpik menerusi sukan angkat berat kelas 55 kilogram wanita.

Namun, apa yang lebih mengejutkan dunia sehingga menjadi sohor kini di laman sosial adalah atlet itu berjaya menggigit pingat emas selepas berlatih di sebuah rumah di kawasan perkampungan di Kesang Tua, Jasin, Melaka milik ahli keluarga Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat (PABM), Ahmad Janius Abdullah.


AHMAD JANIUS menunjukkan diari milik Diaz.

“Diaz terkandas di Malaysia sewaktu menjalankan latihan untuk kelayakan Olimpik di Colombia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dia cari saya lalu bertanya ‘sir do you have any plan?’ katanya bagi mendapatkan pertolongan termasuk ruang berlatih.

“Ketika itu PKP kedua dan semua pusat latihan terpaksa ditutup dan satu-satunya lokasi yang boleh digunakan hanyalah di rumah ini. Jadi, saya telah membersihkan ruang di garaj yang cuma seluas 375 kaki persegi untuk dijadikan tempat latihan asas angkat berat,” kata Ahmad Janius yang mengenali Diaz sejak tahun 2011.

Tambahnya, dia kemudian membeli peralatan di kedai perkakas logam untuk membina platform angkat berat dan membina semula pagar yang telah roboh di sekeliling kawasan bagi keselamatan atlet tersebut.

“Kita bina platform sendiri hanya sekadar ada, ia bukanlah mengikut spesifikasi sepatutnya dan peralatan pula dipinjam daripada sebuah kelab Wilayah Persekutuan serta persatuan Melaka.

“Segalanya sangat minimum dan Diaz hanya mempelbagaikan jenis senaman menggunakan kreativitinya sendiri termasuk mengikat getah di tiang garaj untuk senaman kaki dan menggunakan kotak untuk latihan melompat,” katanya.

Setiap hari Diaz menghabiskan kira-kira lima jam untuk latihan dan rutin itu dilakukan bagi sembilan sesi dalam tempoh seminggu, selain turut dipantau secara dalam talian bagi kualiti pemakanan dan kaunseling oleh pakar dari negaranya.

Ujarnya lagi, tiada layanan istimewa diberikan kepada atlet itu termasuklah tempat tidur yang sekadar katil asrama double-decker di rumah tersebut serta menu makanan biasa masyarakat kampung Melaka.

AHMAD JANIUS dan penduduk Kesang Tua berbangga dengan kejayaan Diaz.

“Diaz memilih katil di tingkat bawah dan setiap malam dia akan merenung besi katil di atasnya, manakala di dinding sisi dia ada menggantungkan bendera Filipina dan sukan angkat berat untuk ditatap sebelum tidur.

“Tiada layanan istimewa untuk atlet antarabangsa itu, namun semangat juang dan fokus yang tinggi menjadikan proses latihan Diaz berjalan lancar, malah dia juga sempat menurunkan ilmu kepada anak-anak tempatan kita yang berminat dalam sukan tersebut,” katanya.

Bercerita lebih lanjut saat pertama kali Diaz menjejakkan kaki di perkampungan itu, Ahmad Janius memberitahu, atlet itu hanya tersenyum sambil melihat semak samun yang menutupi sebuah pangkin usang terletak bersebelahan garaj.

“Secara jujur, saya tidak sangka Diaz sudi menjalani latihan di tempat jauh dari bandar dengan keadaan awalnya rumah ini dipenuhi semak samun kerana telah lama tidak berpenghuni.

“Saya tanya dia, ‘kampung Melaka OK? dia jawab, ‘kampung OK’. Ketika itu bagi dia bukanlah peralatan yang canggih diutamakan tetapi ruang dan peluang yang boleh digunakan untuk meneruskan latihan.
“Keadaan di sini memang menyedihkan kalau hendak dibandingkan di tempat latihan antarabangsa kita, saya kira beratus kali ganda lebih baik. Sesiapa sahaja pasti tidak akan menyangka ada atlet pernah memperoleh emas dengan berlatih di sini,” katanya.

Menggambarkan semula rutin kehidupan Diaz, beliau memberitahu atlet juga menyimpan dua buku catatan, sebuah untuk merekodkan latihan harian termasuk berat yang berjaya diangkat, manakala satu lagi digunakan sebagai diari luahan hati.

Selain berdepan dengan cabaran terkandas di tempat asing, kongsinya atlet kelahiran selatan bandar Zamboanga itu juga diuji dengan masalah kewangan yang meruncing pada Disember tahun lalu.

KATIL yang digunakan oleh Diaz semasa ‘berkampung’ di Kesang Tua.

Pada ketika itulah dia mula membawa atlet itu bersiar-siar di kampung bagi melakukan aktiviti memancing ikan keli, menikmati menu asam pedas Melaka dan ke kebun buah-buahan bagi mengurangkan tekanan dilalui.

“Masa itu, kita tahu Diaz murung dan cuba mengurangkan beban fikirannya dengan membawa dia berjalan-jalan di kampung termasuklah di sebuah kedai asam pedas Din Corner di sini.

“Saya perkenalkan Diaz sebagai atlet antarabangsa dan suruh mereka rakam gambar dengan Diaz, namun ketika itu ramai yang ‘tidak pandang’ sehinggalah dia mendapat emas.

“Kami datang semula dan lihat ada gambar pemilik kedai bersama Diaz terpampang di kedai asam pedas, terdetik dalam hati saya ‘eh, ada pula gambar ini!’,” katanya sambil tertawa.

Ujarnya, selepas kemenangan itu, kediaman tersebut turut menarik perhatian atlet dan wakil dari luar negara termasuk dari Sri Lanka dan Filipina sendiri.

SEBUAH tugu didirikan di kediaman itu bagi menunjukkan Diaz pernah berlatih di situ.

“Sepatutnya pada Disember lalu ada kumpulan dari Sri Lanka ingin ke sini untuk membuat latihan, namun kita masih belum mempunyai tempat yang sesuai dan masih dalam pembinaan.
Tempat latihan di ruang garaj kini digunakan oleh anak-anak tempatan yang sempat mencungkil ilmu daripada Diaz sewaktu dia di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Kampung Kesang Tua, Zakaria Hussain, 53, berkata, meskipun bukan anak tempatan yang dikalungkan pingat emas, namun kemenangan Diaz turut menimbulkan perasaan hiba dan bangga dalam kalangan penduduk kampung berkenaan.

“Saya kira ramai penduduk kampung yang menyaksikan perlawanan pada malam itu dan pada saat Diaz berjaya mengangkat besi, saya sendiri berasa teruja serta berbangga dengannya.

“Walaupun dia orang luar, namun dia telah menjadikan kampung ini sebagai pusat latihannya dan siapa sangka atlet yang sebelum ini dilihat hanya ‘berlari’ di belakang dapur rumah itu berjaya mendapat pingat emas,” katanya.

GARAJ tersebut dicadangkan untuk dijadikan pusat latihan angkat berat wanita bagi komuniti setempat.

Katanya, pada awalnya kehadiran Diaz di kampung itu dianggap pelik kerana tidak pernah mana-mana kawasan di kampung itu dijadikan pusat latihan, namun setelah melihat kejayaan Diaz, dia menyokong sekiranya terdapat usaha meneruskan aktiviti sukan itu di Kesang Tua.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN