PETALING JAYA – Perkhidmatan kereta api Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) di beberapa laluan dan Monorel Kuala Lumpur akan ditutup sementara bermula pukul 7 pagi hingga 3 petang esok.
Rapid KL menerusi laman Facebooknya memaklumkan penutupan tersebut melibatkan LRT laluan Ampang dan Sri Petaling, LRT laluan Kelana Jaya, MRT laluan Kajang dan kesemua laluan Monorel KL atas faktor keselamatan awam dan nasihat daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Bagi laluan Ampang dan Sri Petaling melibatkan stesen Pudu, Hang Tuah, Plaza Rakyat, Masjid Jamek, Bandaraya serta Sultan Ismail.
“Manakala bagi laluan Kelana Jaya stesen yang terlibat adalah Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi dan Kampung Baru,” katanya hari ini.
Tambahnya, turut ditutup ialah MRT laluan Kajang yang melibatkan stesen Pasar Seni, Bukit Bintang serta Merdeka.
Dalam pada itu, katanya, kaunter konsesi Rapid KL di stesen LRT Pasar Seni juga ditutup manakala stesen yang tidak terlibat akan beroperasi seperti biasa. – K! ONLINE