fbpx
Sebahagian daripada 22 individu yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana MITRA dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman hari ini. Foto IHSAN SPRM

SPRM tahan 22 individu berhubung penyelewengan dana MITRA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Seramai 22 individu ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana peruntukan program pembangunan sosioekonomi masyarakat India Malaysia (MITRA) B40 di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Kesemua mereka yang terdiri daripada pengarah syarikat, presiden serta setiausaha persatuan dan pertubuhan ditahan dalam operasi yang dilaksanakan di tujuh negeri iaitu di Perak, Selangor, Kedah, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan juga Melaka semalam.

Menurut sumber, seramai enam daripada mereka yang terlibat telah ditahan reman antara empat ke enam hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret di Selangor, Kedah dan Putrajaya manakala 16 individu lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM.

“Siasatan yang dijalankan sebelum ini telah mengenal pasti sebanyak 337 syarikat, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah diluluskan geran peruntukan tersebut sejak tahun 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah lebih kurang RM203 juta.

“Tumpuan siasatan SPRM membabitkan dua fasa di mana Fasa 1.0 memberi tumpuan kepada 27 buah syarikat, persatuan dan NGO yang telah menerima peruntukan antara RM1 juta hingga RM9 juta.

“Pada Oktober 2021, SPRM telah menahan 18 individu yang melibatkan 10 buah syarikat, pertubuhan dan NGO bagi membantu siasatan penyelewengan ini,” katanya.

Jelasnya, operasi yang dinamakan Mitra 2.0 pula menumpukan kepada baki 17 syarikat dan pertubuhan yang tergolong dalam kumpulan yang telah menerima dana berjumlah RM1 juta hingga RM9 juta.

“Selain tindakan ini, SPRM telah bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara dengan menubuhkan pasukan khas siasatan dalaman bagi memberikan tumpuan ke atas 310 syarikat yang telah menerima peruntukan di bawah RM 1 juta.

“Fokus siasatan dalaman ini akan meneliti semua bentuk permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan telah dilaksanakan oleh penerima geran peruntukan MITRA dari tahun 2019 hingga 2021,” ujar beliau.

Tambah beliau, peruntukan paling tinggi diluluskan adalah pada tahun 2019 iaitu melebihi RM90 juta yang diluluskan kepada 205 syarikat, persatuan dan NGO.

“Daripada jumlah tersebut, terdapat lapan syarikat dikenalpasti memperolehi geran peruntukan lebih RM1 juta,” katanya.- K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN