Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
LUMUT – Seorang lelaki warga emas maut apabila kereta yang dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Lumut Kiri di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu, mangsa, G Ponnusamy, 65, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.48 malam dan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan bergegas ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, didapati terdapat kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Saga BLM dengan sebuah lori 10 tan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kemalangan itu menyebabkan pemamdu kereta itu tersepit dan mengalami kecederaan serius di kepala.
Beliau berkata, anggota operasi memggunakan peralatan penyelamat hidraulik dengan kaedah menanggalkan pintu tempat duduk pemandu untuk mengeluarkan mangsa.
“Petugas perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Katanya, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Hanip Abdul Rani itu tamat sepenuhnya pada pukul 11.23 malam. – K! ONLINE














