KUALA LUMPUR – Transaksi tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bagi kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) yang dilaksanakan di Lebuh Raya Utara-Selatan bermula semalam dilihat kurang mendapat sambutan.
Tinjauan Kosmo! di plaza tol di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor mendapati, kebanyakan pengguna kenderaan seperti belum bersedia menggunakan transaksi tersebut.
Di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur, biarpun laluan RFID ditambah, namun kebanyakan pemandu kenderaan dilihat masih membuat bayaran tol dengan menggunakan sistem Smart Tag.
Terdapat hanya satu lorong Smart Tag disediakan di plaza tol tersebut menghala arah selatan sekali gus menyebabkan aliran trafik sesak terutama pada waktu puncak.
Pada pukul 12 tengah hari hingga 3 petang semalam, tinjauan mendapati kenderaan berbaris sepanjang 100 meter biarpun semalam merupakan hari cuti hujung minggu.
Rata-rata pemandu turut meluahkan rasa ragu-ragu dan keliru dengan transaksi RFID berdasarkan kejadian palang tersangkut yang berlaku sebelum ini.
Pengguna lebuh raya, Khairul Che Ram, 50, berkata, penggunaan lorong Touch ’n Go dan Smart Tag perlu dikekalkan dan perancangan untuk menghapuskan dua transaksi itu wajar dipertimbangkan semula.
“Untuk menggunakan teknologi RFID, pengguna perlu ada aplikasi Touch ‘n Go eWallet untuk tambah baki. Generasi muda mungkin mereka tahu, bagi golongan berusia seperti saya, kami akan alami masalah,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurut Badzrul Hafifi Ahmad Kamal, 29, pula, dia selesa menggunakan Smart Tag kerana mudah berikutan alat itu boleh dibawa ke mana-mana sahaja termasuk sekiranya menggunakan kenderaan lain.
“Teknologi RFID tidak boleh ditanggal, pengguna perlu pasang pada setiap kenderaan sekiranya mempunyai lebih daripada satu kereta,” ujarnya.
Di Pulau Pinang, kebanyakan pengguna lebuh raya di negeri itu masih belum menggunakan RFID untuk membuat transaksi di plaza tol, sebaliknya memilih lorong Touch ‘n Go dan Smart Tag.
Bagi Nur Izati Muhamad, 33, dia masih menggunakan kad Touch ‘n Go untuk membuat pembayaran tol kerana laluan itu jarang berdepan masalah dan kesesakan.
“Saya tak tahu pelaksanaan (RFID) bermula malam tadi (semalam) kerana keadaan di plaza tol masih seperti biasa,” katanya.
Mohd. Hafiz, 36, pula beranggapan setakat ini, dia tidak mempunyai keperluan bertukar kepada RFID dengan kadar segera.
“Memang ada plaza tol yang menghentikan lorong Smart Tag seperti di Plaza Tol Bertam, keadaan ini agak menyusahkan bagi pengguna Smart Tag seperti saya.
“Saya berhasrat untuk beralih kepada RFID tetapi perlukan masa kerana pemasangannya hanya ditawarkan di tempat tertentu sahaja,” katanya.
Di Johor pula, pekerja swasta, Noor Zakiah Ahmad, 33, berkata, kebanyakan pengguna masih belum bersedia menggunakan RFID, malah dia sendiri masih menggunakan Smart Tag untuk berulang-alik kerja dari Johor Bahru ke Kulai.
“Kalau dilihat hari ini (semalam), sistem baharu ini ada yang tidak berfungsi, ada pemandu terpaksa undur kenderaan baru boleh (palang terbuka),” katanya.
juruteknik elektrik, Mohd. Fakri Saleh, 45, pula menyarankan pihak kerajaan supaya mengkaji semula penggunaan RFID ketika ini.
“Rakyat sudah terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barang sekarang, ditambah pula paksa rakyat menggunakan sistem RFID, kena bayar juga.
“Sedikit sebanyak guna duit, yang ada anak, sekolah sudah buka, semua memerlukan duit. Jika sudah ada Smart Tag, selepas ini pakai RFID, bagaimana pula,” soalnya. -K! ONLINE














