LOS ANGELES, CALIFORNIA – Sebuah rumah yang menjadi lokasi penggambaran filem seram klasik popular dari tahun 1984, A Nightmare on Elm Street telah dijual pada harga AS$2.9 juta (RM12.1 juta), selepas diiklankan selama tiga bulan, lapor laman berita NPR kelmarin.
Meskipun dibayangi sebagai sebuah rumah berhantu, hartanah tersebut dianggap sebagai rumah idaman yang mempunyai tiga bilik tidur dan empat bilik mandi selain sebuah kolam renang dan rumah tamu.
“Ia merupakan sebuah rumah yang mempunyai rekaan kolonial Belanda dengan sentuhan moden,” demikian menurut keterangan pada iklan di laman lelongan Realtor.com.
Terletak di kawasan kejiranan Genesee Avenue di Los Angeles, rumah dua tingkat itu mula diiklankan untuk dijual pada Oktober tahun lalu pada harga permulaan sebanyak AS$3.5 juta (RM14.6 juta).
Sementara itu, hartanah tersebut turut dijual bersama sebuah rumah tamu yang menjadi popular selepas pelawak, Bo Burnham, membuat penggambaran bagi babak khas dalam drama komedi muzikal yang bertajuk Inside. – AGENSI














