fbpx
SERAMAI 17,126 peserta dari pelbagai negara ikut serta dalam program talaqqi yang dikelolakan Ustaz Uwais Qorny dalam usaha penciptaan rekod di Malaysia baru-baru ini.

Rekod bertalaqqi al-Quran bersama Ustaz Uwais Qorny selama 24 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DEMI memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan talaqqi, pendakwah bebas dan guru al-Quran, Ustaz Uwais Qorny Abdul Latif, 35, telah menganjurkan program talaqqi 24 jam sempena menyambut Tahun Baharu 2022 pada 1 Januari baru-baru ini.

Program The 24 Hours Non-Stop Uwais Qorny’s Online Talaqqi yang diadakan menerusi aplikasi Zoom bermula dari pukul 7.27 pagi 31 Disember 2021 dan berakhir pada pukul 1 tengah hari 1 Januari lalu itu telah melakar sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Talaqqi ialah amalan membaca al-Quran berhadapan dengan guru sama ada secara fizikal mahupun menerusi online asalkan tiada gangguan internet sepanjang proses pembelajaran itu berlangsung.
Menerusi sesi talaqqi itu, setiap ayat akan disemak serta dibetulkan oleh guru.

Seramai 17,126 peserta dari pelbagai negara termasuk Australia, Indonesia, Brunei, Thailand, Jerman, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Mesir tidak mahu melepaskan peluang untuk bertalaqqi bersama Uwais Qorny.

Beliau yang merupakan jurulatih al-Quran profesional dan guru al-Quran berkata, peserta-peserta tersebut terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan jantina iaitu seawal usia lima hingga 80 tahun.

Uwais Qorny juga cukup terharu kerana guru-guru al-Quran turut bertalaqqi bersamanya dalam program tersebut dan merasakan ia satu penghargaan yang cukup besar buat dirinya.

“Idea untuk menganjurkan program talaqqi secara mega ini sebenarnya tercetus ekoran permintaan daripada para pelajar dan pengikut di laman sosial memandangkan kelas saya selalu penuh.

“Lebih menguatkan hasrat ini apabila kami pernah membuat kerja ‘gila’ dengan menganjurkan talaqqi selama lapan jam dan rentetan daripada itu saya telah berbincang dengan team untuk mencipta rekod MBOR setelah diselidiki tiada lagi orang berbuat demikian,” katanya yang mempunyai pengikut 650,000 orang di media sosial kepada K2.

Jelasnya yang berasal dari Kok Lanas, Kelantan, beliau bersama 30 orang kakitangan telah membuat persiapan selama sebulan termasuklah membelanjakan RM160,000 untuk menyediakan infrastruktur terbaik seperti menempah skrin LED, menyediakan pentas, pencahayaan dan khidmat jurukamera.

TIMBALAN Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon merupakan salah seorang peserta The 24 Hours Non Stop Uwais Qorny’s Online Talaqqi.

Di samping itu, beliau juga membuat persediaan fizikal, mental dan spiritual memandangkan perlu bersengkang mata selama 42 jam bagi membuat persiapan sebelum program bermula, bertalaqqi bersama peserta secara langsung serta menunaikan urusan-urusan berkaitan selepas tamat.

“Objektif utama saya mencipta rekod ini adalah untuk memberitahu kepada orang ramai bahawa pentingnya bertalaqqi dalam pendidikan al-Quran dan penyebaran maklumat ini dilihat berlaku dengan sangat pantas apabila program luar biasa ini tular di media sosial.

“Sedangkan sebelum ini, kami pernah membuat eksperimen sosial dengan mengadakan cabaran membaca surah al-Fatihah, tetapi malangnya ramai yang tidak yakin untuk membacanya dan cuba mengelak sehingga tiada seorangpun mahu membacanya secara sukarela,” ujarnya yang berpengalaman mengajar al-Quran selama 15 tahun.

Menelusuri latar belakang Uwais Qorny, beliau merupakan bekas penuntut tahfiz al-Quran dari Madrasatul Quran Kubang Bujuk, Terengganu dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Beliau juga mengembara ke pelosok dunia untuk berguru, mendalami ilmu tajwid dan qiraat daripada guru serta masyaeikh Quran secara bersanad.

UWAIS QORNY (kanan) mencipta rekod bertalaqqi dan diiktiraf Malaysia Book of Records menerusi program The 24 Hours Non-Stop Uwais Qorny’s Online Talaqqi pada 1 Januari lalu.

Antara gurunya ialah Ustaz Saifuddin Mahlim, Sheikh Muhammad Kurayyim Rajih, Sheikh Sayyid Ali Abd. Majid Masri, Sheikh Abdur Rahman Al-Azhari, Sheikh Asyraf Hamid Al-Hasanain, Sheikh Abdul Hakim Abd Latif, K.H.M Basori Al-Indonesi, Sheikh Nafi’ Al-Maghribi dan Sheikh Ahmad Isa Al-Meksarawi.

“Menjadi guru al-Quran ini merupakan pesanan dan amanah daripada guru saya ketika bertalaqqi di Mesir iaitu Sheikh Sayyid Ali Abd. Majid Masri yang mana beliau berpesan agar saya mengajar orang dewasa.

“Pesanan itu sangat luar biasa kerana kebiasaannya kita akan mengajar budak-budak, tetapi beliau berkata, ajarlah orang dewasa supaya nanti mereka boleh mengajar anak sendiri,” tutur bapa kepada tiga orang cahaya mata itu.

Pada awal penglibatannya, beliau bergerak secara fizikal dari rumah ke rumah dan sebagainya untuk mengajar membaca al-Quran dengan betul sehingga beralih kepada platform digital pada tahun 2017 yang menjadi titik tolak kepada pembelajaran al-Quran secara digital.

Nama anak sulung daripada dua beradik itu semakin dikenali apabila beliau melancarkan DailyQuran setiap hari secara live di Facebooknya iaitu Uwais Qorny.

“DailyQuran itu bersiaran setiap hari sehingga kini sebanyak 1,430 episod bersamaan 1,430 hari yang memberi peluang kepada orang ramai untuk mempelajari teknik bacaan al-Quran dengan betul, pantas dan berkesan.

“Pelajar yang mengikuti siaran langsung di Facebook itu datang dari seluruh dunia termasuklah angkasawan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS),” ceritanya yang juga berpengalaman sebagai jurulatih berkuda.

UWAIS QORNY kini menjalani penggambaran Travelog Uwais Qorny Kembara Menyantuni Ahlullah.

Tambah beliau, walaupun zon masa berbeza, semangat juang para pelajar sangat luar biasa kerana sanggup berjaga pada pukul 1 pagi semata-mata untuk mendalami bacaan al-Quran

Beliau yang mengasaskan syarikat Protaz International Sdn. Bhd. turut menyediakan pelbagai program khas untuk pembelajaran al-Quran termasuklah seminar, bengkel, dan kejurulatihan guru al-Quran amatur untuk mendapat tauliah mengajarkan kitab suci itu.

Bagi menyebarluaskan tentang kesedaran bertalaqqi, Uwais Qorny kini berada di negara Mesir bagi membuat penggambaran Travelog Uwais Qorny Kembara Menyantuni Ahlullah yang akan disiarkan di Astro Oasis pada Februari ini.

“Menerusi travelog ini saya akan menziarahi guru yang pernah mengajar saya satu ketika dahulu dan menyantuni mereka, sekali gus memberi contoh kepada masyarakat tentang adab berguru.

“Travelog ini juga memberi perspektif berbeza dan juga sisi lain Uwais Qorny,” ulasnya yang berpegang kepada prinsip kejayaan seorang guru adalah apabila anak muridnya berjaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN