SEBUT sahaja ‘Abang Viva’, susuk seorang pemuda bertubuh kecil dan berkulit sawo matang itu pastinya menjengah fikiran kita semua.
Gelaran tersebut diberikan kepada pemuda dari Melaka, Azwan Omar, 30, yang sememangnya sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat di negara ini dengan ketulusan hatinya.
Nama lelaki itu mula menjadi sebutan sejak penghujung tahun lalu selepas gambarnya bersama kenderaan jenis Perodua Viva hitam dengan sebuah bot angin yang diletakkan di atas kereta tersebut tular di media sosial sewaktu dia mahu membantu mangsa banjir di Lembah Klang.
Tidak pernah dikenali dan bukanlah siapa-siapa, pemuda itu bagaimanapun berjaya mencuri perhatian umum atas keprihatinan dan keikhlasannya yang secara sukarela membantu mangsa banjir.
Bergerak secara solo dari Ayer Keroh, Melaka bertemankan bot yang baru dibelinya dua bulan lalu dan wang saku RM50, anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu bergegas menuju ke Lembah Klang.
Rasa empatinya terhadap insan sekeliling nyata terserlah apabila dia kemudian bergerak pula ke negeri di Pantai Timur apabila beberapa daerah di Pahang pula dilanda banjir.
Lebih sepuluh hari di Selangor dan Pahang, Azwan kini berada di Melaka bagi membantu mangsa-mangsa banjir di negerinya pula.

Biarpun sudah hampir dua minggu tahun 2022 menjengah, Azwan masih lagi sibuk menjalankan misi sukarelawan bersama botnya.
Lantaran itu juga tidak hairanlah jika dia turut diangkat sebagai seorang hero. Keperwiraannya turut menjadi sebutan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri beberapa hari lalu.
Sekadar menggunakan kelengkapan kecil yang ada, tindakan Azwan membuatkan ramai yang tertanya-tanya apa yang membuatkan pemuda ini nekad untuk menjadi sukarelawan dan bergerak secara solo bagi membantu mangsa-mangsa banjir.
“Saya pegang satu sahaja, hidup ini sangat singkat. Jika mahu menghulurkan bantuan, tidak perlu fikir dua kali walaupun perkara itu adakalanya menyusahkan diri saya sendiri.
“Ketika melakukan misi bantuan banjir di Selangor tempoh hari, saya hanya terfikirkan nyawa mangsa banjir kerana nyawa sangat berharga.
“Berbekalkan wang RM50, pada ketika itu saya memang hanya memperuntukkannya bagi kos perbelanjaan ke lokasi bantuan, manakala kos perjalanan pulang saya berserah kepada gaji yang bakal diterima pada 27 Disember nanti.
“Walaupun saya langsung tidak mengenali siapakah mangsa-mangsa yang bakal dibantu, namun saya tidak kisah walaupun terpaksa bersusah lantaran sudah bertekad membantu mereka yang begitu memerlukan bantuan kerana hanya memikirkan soal nyawa dan keselamatan mereka,” kongsi Azwan ketika dihubungi K2.
Cerita Azwan, memulakan misi menyelamat secara solo bersama bot angin yang digunakan untuk memancing, dia menjadikan kawasan banjir di Puchong sebagai lokasi bantuan pertama sebelum beralih ke Sri Muda, Shah Alam.

Membawa keluar mangsa daripada kawasan bencana, pada waktu itu, Azwan memfokuskan lokasi-lokasi yang tidak banyak menerima bantuan. Katanya lagi, misi menyelamat itu merupakan pengalaman paling berharga dan meninggalkan kesan mendalam buat dirinya yang tidak pernah terfikir akan berdepan situasi getir seperti itu.
Paling meruntun jiwanya kala mendengar jeritan mangsa banjir meminta pertolongan ketika memasuki kawasan terlibat. Begitupun akuinya, proses menyelamat bukanlah satu tugasan yang mudah, lebih-lebih lagi apabila dilakukan secara solo.
“Cabaran yang paling besar adalah di Selangor kerana pada waktu itu air sudah terlampau tinggi dan kenderaan pula banyak yang sudah ditenggelami air banjir.
“Bukan saya sahaja yang mengalaminya, tetapi semua yang terlibat dalam misi bantuan ini. Tambahan pula apabila waktu malam yang mana keadaan gelap menyukarkan proses menyelamat dan bot boleh rosak atau terbalik bila-bila masa sahaja jika berlanggar dengan kenderaan-kenderaan tersebut.
“Biarpun sepanjang misi ini kami masing-masing tidak saling mengenali tetapi kami semua saling bekerjasama dan membantu menyelamatkan mereka yang terkandas,” katanya yang bekerja sebagai pemandu jentera berat.
Berbeza dengan situasi di Melaka yang mana keadaan banjir tidak seteruk di Lembah Klang ekoran paras air yang sangat sedikit, kata Azwan dia hanya duduk dalam keadaan tunggu sedia di tepi memandangkan situasi tersebut belum memungkinkan penggunaan bot.

Hanya ingin membantu dan bukan mahu mencari publisiti, niat ikhlas Azwan terhadap mangsa banjir tanpa diduga telah menjadi fenomena sehingga hampir saban hari dirinya dihimpit populariti sampai ke hari ini.
Mula dikenali ramai, menurut Azwan keadaan tersebut sedikit sebanyak membuatkan dirinya bimbang.
“Besar tanggungjawab apabila dikenali kerana bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak. Tambahan pula saya juga hanyalah sama seperti manusia biasa yang lain.
“Andai kata dapat diundurkan masa, saya tidak mahu jadi seperti sekarang ini kerana amanah dan kepercayaan diberikan orang ramai terlalu tinggi, saya khuatir tidak mampu membawanya.
“Jujur dikatakan bukan saya seorang yang terlibat, sebaliknya ramai lagi sukarelawan membawa bot lebih besar dari negeri-negeri lebih jauh seperti Perlis turut menyumbang tenaga dalam misi bantuan menyelamat ini. Ada juga yang sanggup menyewa lori.
“Jika dibandingkan dengan saya yang cuma membawa bot kecil dan hanya mengambil perjalanan beberapa jam ke lokasi kejadian, saya lebih cenderung untuk mereka yang ditularkan dan menerima penghargaan ini,” tambahnya.
Lebih dua minggu berkampung di kawasan bah, Azwan berjaya menyaksikan sendiri permuafakatan antara masyarakat yang di negara ini.
Bagi Azwan, dia kagum dengan semangat kerjasama yang ditonjolkan kumpulan sukarelawan tanpa mengira kaum.
Dengan begitu merendah diri, Azwan memberitahu individu-individu ini juga secara kolektif wajar menerima penghormatan kerana kebanyakan mereka sanggup datang dari jauh semata-mata mahu membantu rakan senegara yang ditimpa bencana.
“Saya begitu respect dengan kesemua bantuan yang dihulurkan.
“Daripada titipan doa, sukarelawan sehinggalah pihak NGO yang terlibat dalam membantu mangsa-mangsa banjir.
“Jika diberi kesempatan dan keadaan mengizinkan, saya mahu meneruskan misi di beberapa tempat yang terjejas teruk dengan banjir.
“Kepada mangsa banjir, saya berharap mereka tabah menghadapi semua dugaan dan ujian kerana ini mungkin bahasa Tuhan merindui hambaNya yang mungkin kita tidak faham,” katanya menutup bicara.














