PETALING JAYA – Kenaikan harga bahan mentah sejak kebelakangan ini bukan sahaja membebankan pengusaha kedai mamak, malah turut memberi kesan besar kepada golongan peniaga Melayu yang menjual pelbagai juadah nasi campur.
Situasi itu menyebabkan golongan tersebut makin tersepit, sama ada mahu mengikut jejak kedai mamak yang mula menaikkan harga, atau terus kekal dengan harga semasa.
Tinjauan Kosmo! di beberapa negeri mendapati, rata-rata peniaga nasi campur Melayu memberi alasan kenaikan harga bahan mentah seperti ayam, sayur dan ikan telah memberi kesan kepada pendapatan mereka.
Di Selangor, seorang peniaga, Zulfar Aziz, 52, berkata, situasi ketika ini sangat-sangat membebankan, namun mereka tetap memikirkan soal kemanusiaan terutama melibatkan pelanggan yang terjejas akibat Covid-19 selain bencana banjir.
Menurutnya, peningkatan harga bahan-bahan berkaitan makanan sejak awal bulan ini membuatkan peniaga sepertinya ‘pening kepala’.
“Kalau tidak jual, pelanggan mencari. Kalau naik harga pelanggan akan bising.
“Peniaga seperti kami sangat-sangat tersepit apabila berdepan dengan kenaikan harga. Kami memikirkan sama ada mahu menjaga kepuasan pelanggan dan memikirkan soal kelangsungan perniagaan,” katanya.

Sebagai contohnya katanya, kebanyakan peniaga makanan ketika ini terpaksa menggunakan tepung cap sauh berharga RM2.50 sekilogram susulan tidak mendapat tepung subsidi berharga RM1.30 terutama untuk membuat roti canai.
Lebih menambah sengsara jelasnya, ikan rakyat seperti ikan pelaling kini mencecah harga RM16 sekilogram (kg), manakala ikan kembong pula RM20 sekilogram.
“Sekarang ini semua naik harga. Namun, saya masih kekalkan roti canai pada harga RM1 dan teh tarik RM1.50.
“Untung yang dapat adalah sedikit kerana kami juga perlu membayar kos operasi seperti bil elektrik dan gaji pekerja. Selepas ini, saya tidak jamin harga akan kekal ataupun tidak,” katanya.
Di Kuala Lumpur, rata-rata peniaga mengakui mereka mempunyai dua pilihan iaitu menaikkan harga ataupun mengurangkan kuantiti makanan bagi menampung kenaikan kos.
Pengusaha restoran, Juli, 44, berkata, dia bagaimanapun memilih untuk menaikkan harga bagi memastikan hidangan di premisnya tidak berubah.
“Kenaikan kos sedang berlaku, tetapi saya buat keputusan hanya naikkan harga bermula Februari ini. Notis makluman juga telah dipasang di kedai.
“Saya terpaksa menaikkan harga sekitar 20 sen kerana harga bahan mentah seperti sayur, telur, ayam telah naik. Margin keuntungan kecil sahaja,” jelasnya.
Bagi Asri Awang, 57, dia memilih untuk mengecilkan saiz atau kuantiti makanan bagi menampung kenaikan bahan mentah.
Katanya, walaupun menanggung kenaikan kos bahan mentah daripada RM1,800 sehari kepada RM2,200 sejak bulan lalu, dia tetap khuatir kenaikan harga makanan akan menimbulkan rasa tidak puas hati pelanggan.
“Harga sayur ada yang naik daripada RM2.50 kepada RM5.90. Telur Gred C pun naik RM2 satu papan. Apa saya lakukan adalah kurangkan kuantiti,” katanya.
Di Johor, kebanyakan peniaga kedai makanan Melayu terpaksa menaikkan harga jualan sehingga RM1 bagi mengelakkan terus menanggung kerugian.
Mis Thaman, 65, berkata, dia bagaimanapun hanya menaikkan harga bagi nasi ambeng dan juga nasi lemak ayam memandangkan harga ayam yang masih tinggi.
“Dari RM4 sebungkus saya naikkan kepada RM5. Sebenarnya dah lama saya kekalkan harga ini sedangkan peniaga lain sudah lama ubah harga,” katanya.
Di Terengganu, seorang peniaga, Mohammad Harun, 43, berkata, bagi mengimbangi masalah itu, dia terpaksa mengehadkan hidangan lauk setiap hari semata-mata untuk mengawal kos operasi harian.
“Dengan cara itu, saya boleh kekalkan harga nasi campur kepada pelanggan.
“Mujur harga ayam, telur ayam beberapa sayuran tidak melonjak terlalu tinggi ekoran pelaksanaan Skim Kawalan Harga Maksimum Keluarga Malaysia,” katanya.
Jelasnya lagi, buat masa ini dia hanya mengekalkan menu ayam dan daging yang dimasak dalam beberapa jenis masakan. -K! ONLINE














