PETALING JAYA – Golongan lelaki normal yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat seperti merokok, dadah, vape dan mengambil steroid menjadi punca mereka kurang subur hingga menjejaskan harapan untuk mendapatkan zuriat seawal 12 bulan selepas berkahwin.
Lebih memburukkan keadaan sekiranya si suami menghidap penyakit tiga serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan jantung.
Difahamkan, kemerosotan kesuburan golongan wanita berlaku seiring dengan peningkatan usia mereka berbeza dengan lelaki yang disebabkan faktor luaran.
Tahap kesuburan wanita berada pada tahap optimum pada usia 25 tahun dan berkurang selepas berusia 30 tahun ke atas.
Pakar Kesuburan dan Sakit Puan Metro IVF, Dr. Pravin Peraba berkata, gaya hidup sihat dapat menghalang ketidaksuburan dalam kalangan lelaki dan masih mampu membantu wanita mendapatkan zuriat walaupun sudah memasuki usia 40 tahun.
Katanya, lelaki yang masih belum dikurniakan zuriat walaupun telah lama mendirikan rumah tangga tidak boleh menyalahkan isteri 100 peratus kerana dikhuatiri mereka mempunyai sperma yang kurang berkualiti.
“Jika terus mengamalkan gaya hidup tidak sihat, kualiti sperma akan merosot dengan ketara seterusnya menyukarkan mendapatkan zuriat.
“Ketika ini, semakin ramai lelaki mendapatkan rawatan kesuburan di klinik atau hospital selepas gagal mendapatkan zuriat dalam tempoh enam bulan pertama perkahwinan,” katanya kepada Kosmo!

Tambahnya, hampir 33 peratus atau 150 lelaki mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dalam tempoh setahun bagi tujuan itu dan jumlah tersebut meningkat berbanding 40 tahun lalu.
Menurut Pravin, situasi itu semakin membimbangkan dan perlu diberikan perhatian kerana boleh menjejaskan populasi negara.
Dakwaan Pravin nyata berasas apabila statistik Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan kadar fertiliti negara merosot teruk iaitu daripada 6.2 anak bagi setiap wanita berusia antara 15 hingga 49 tahun pada tahun 1960-an kini bertukar kepada hanya 1.7.
Penurunan itu sama dengan negara lain seperti Australia (1.7 anak), United Kingdom (1.7), Jepun (1.4) dan Singapura (1.1).
Tambah membimbangkan apabila jumlah perkahwinan turut menunjukkan penurunan daripada 203,661 pada 2019 kepada 184,589 pada 2020.

Sementara itu, Pakar Perubatan Reproduktif Jabatan Obstetrik Dan Ginekologi Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur, Dr. Sarah Abdul Mubarak berkata, ketidaksuburan lelaki semakin meningkat sejak lima tahun lalu.
Katanya, ia disebabkan parameter sperma tidak normal, jangkitan kuman pada testis dan masalah hubungan seks.
“Antara puncanya ialah merokok, vape, dadah dan keadaan persekitaran,” katanya.
Tambahnya, antara sebab lain kemandulan lelaki ialah tiada sperma di dalam air mani.
“Bagaimanapun, pasangan bermasalah masih berpeluang mendapatkan zuriat menerusi pelbagai kaedah seperti IntraUterine Insemination, persenyawaan in-vitro dan Intracytoplasmic Sperm Injection,” katanya.
Menurut Sarah, kaedah itu memerlukan sperma suami dimasukkan ke dalam rahim isteri atau tabung uji untuk menghasilkan embrio dengan peluang mengandung antara 10 hingga 40 peratus. -K! ONLINE














