SEOUL – Seorang lelaki yang memasuki Korea Utara pada Hari Tahun Baru dengan menyeberangi sempadan dikawal ketat dari Korea Selatan, dipercayai merupakan pembelot dari Korea Utara, kata kementerian pertahanan di Seoul hari ini.
Lelaki itu mencetuskan operasi mencari oleh tentera Korea Selatan kelmarin apabila kamera pengawasan menunjukkan dia melintasi seksyen timur sempadan Korea Selatan menuju ke Korea Utara. Pasukan mencari Korea Selatan bagaimanapun gagal menemui lelaki itu.
Pihak berkuasa Korea Selatan belum dapat mengenal pasti individu berkenaan tetapi seorang pegawai kementerian pertahanan berkata, dia dipercayai adalah individu yang datang dari Korea Utara pada 2020, juga dengan menyeberangi sempadan secara haram.
“Kami menganggap dia adalah lelaki sama yang membelot ke Korea Selatan dengan memanjat pagar kawat berduri pada November 2020,” katanya kepada agensi berita AFP.
Menurutnya, lelaki itu berusia dalam lingkungan 30-an tetapi enggan mengulas lanjut.
Penindasan dan kemiskinan bertahun-tahun di Korea Utara mendorong lebih 30,000 rakyat negara itu melarikan diri ke Korea Selatan dalam tempoh beberapa dekad selepas Perang Korea.
Bagaimanapun, tindakan menyeberang sempadan dari Korea Selatan ke Korea Utara adalah amat jarang berlaku. – AFP













