PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited dalam menangani kemelut judi ‘online’ (dalam talian) serta memandang berat kenyataan yang mempertikaikan keberkesanan tindakan pihak polis dalam membanteras gejala tersebut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Sri Abd. Jalil Hassan berkata, ini dibuktikan apabila Kontinjen Kuala Lumpur telah berjaya merampas wang tunai berjumlah RM1,128,544 menerusi 1,528 serbuan yang dijalankan sepanjang tahun 2021.
“Bagi tempoh tersebut, seramai 2,933 orang telah ditangkap dibawah akta kesalahan berkaitan judi dalam talian, ‘calling centre’, judi loteri haram tanpa lesen, judi ‘bookie’ dan judi di tempat bebas.
“Secara keseluruhannya, kejayaan tangkapan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 882 orang bersamaan dengan 43 peratus jika dibandingkan dengan tahun 2020,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, katanya, jumlah individu yang dikenakan tindakan dibawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) pada tahun ini menunjukkan penurunan mendadak apabila seramai 20 orang diambil tindakan berbanding 162 orang pada tahun sebelumnya.
Jelasnya lagi, PDRM mengambil maklum akan segala pandangan yang disuarakan oleh pelbagai pihak dan akan melipatgandakan lagi usaha untuk memastikan kemelut judi ini dapat dibendung dengan berkesan.
“Usaha akan dipertingkat melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta Jabatan Agama Islam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” ujarnya. – K!ONLINE














