fbpx
SEORANG pekerja bengkel melihat sebahagian kereta mangsa banjir yang dihantar untuk dibaiki di Taman Sri Muda, Shah Alam semalam. – SHIDDIEQIIN ZON

Bengkel kereta kena serbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Pengusaha bengkel kenderaan di Lembah Klang kini berada dalam dilema apabila menerima banyak permintaan daripada mangsa banjir untuk membaiki kenderaan masing-masing, namun pada masa sama mengalami kekurangan staf dan peralatan rosak akibat bah.

Lebih membuatkan mereka pening kepala apabila perlu mengambil masa lama untuk membaiki sesebuah kenderaan ekoran perlu menunggu alat ganti dan membersihkan kereta yang dipenuhi lumpur ekoran ditenggelami banjir selama beberapa hari.

Keresahan lebih dirasai oleh pemilik kenderaan apabila perlu menyediakan sejumlah wang sehingga mencecah RM12,000 bagi kos membaiki mengikut jenis dan model kereta yang terjejas.

Seorang pengusaha bengkel kereta antik di TTDI Jaya di sini yang dikenali sebagai Ghana, 54, berkata, dia terpaksa menolak untuk menerima kemasukan ke­reta untuk dibaiki ekoran tidak cukup kakitangan dan peralatannya turut rosak akibat banjir.

“Sebelum banjir, di bengkel saya sudah ada 50 buah kende­raan yang belum dibaiki seperti Mercedes Benz 190 dan E230, Porsche dan Rolls Royce. Saya perlu baikinya semula kerana bengkel saya turut terkena banjir.

“Sejak empat hari lalu, ramai yang ingin hantar, namun saya tolak dengan baik kerana tiada pekerja. Semua ingin cepat tapi apakan daya kerana bara­ngan alat ganti di bengkel ini turut rosak hingga saya kerugian RM700,000,” katanya kepada Kos­mo!.

Sementara itu, seorang pekerja bengkel di Taman Sri Muda dikenali sebagai Ah Soon, 40, berkata, rata-rata kerosakan ke­reta tenggelam banjir adalah di bahagian enjin termasuk radiator, unit kawalan elektronik dan pendawaian.

“Kos membaiki berbeza me­ngikut kenderaan serta tahap kerosakan dengan secara puratanya anggaran antara RM1,000 hingga RM3,000.

“Setakat ini, kami menerima hingga lima kereta sehari dengan jangka siap paling awal adalah tiga jam, manakala paling lewat seminggu,” katanya.

Seorang lagi pengusaha bengkel di Taman Sri Muda di sini, Muhd. Raddee Jamaluddin, 36 berkata, dia sanggup mengurangkan kadar upah kerana prihatin dengan mangsa banjir.

“Hari ini (semalam) kami kembali beroperasi dan hanya boleh membaiki kira-kira 25 buah kenderaan dalam tempoh sebulan dengan peralatan dan lapan kakitangan yang ada.

“Setiap kerosakan memakan kos antara RM500 hingga RM5,000, namun saya sanggup mengurangkan kos kerana prihatin dengan nasib mangsa banjir,” katanya yang turut mengalami kerugian RM30,000.

Tambahnya, pemilik kende­raan dinasihatkan tidak menghidupkan kenderaan kerana akan merosakkan enjin dan me­ningkatkan kos selain mengambil masa lama untuk dibaiki kelak.

“Cuci saja ambil masa empat hari dan belum melibatkan pemasangan serta pembaikan sistem elektronik dan enjin,” katanya.

Pemilik bengkel, Yong LuLu, 32, pula berkata, kos me­ningkat kera­na kebanyakan ken­deraan sekarang memakai sistem kom­puter yang lebih rumit berbanding yang menggunakan enjin lama.

“Saya boleh ambil 10 kereta sahaja dan siap dalam tempoh sebulan. Perlu buat betul-betul kalau tidak akan rosak semula dalam masa terdekat,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN