SUKAN kuda lasak menuntut ketahanan fizikal dan mental penunggang kerana perlu menunggang kuda pada jarak yang lebih jauh.-Foto FARIZ RUSADIO

Sukan kuda lasak menguji daya ketahanan dan keserasian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINAT saya terhadap kuda sebenarnya sudah terpupuk sejak kecil lagi,” akui Nur Qasrina Amani Zakaria, 20, yang merupakan salah seorang atlet muda ekuestrian negara.

Tambahnya, minat mendalam terhadap salah satu haiwan kesayangan Rasulullah SAW itu juga telah mendorongnya untuk menceburi sukan berkuda meliputi pelbagai disiplin.

“Setelah menguasai asas teknik menunggang kuda, saya telah mencuba ketiga-tiga disiplin sukan ekuestrian iaitu dressage, show jumping dan endurance atau dikenali juga sebagai kuda lasak dan ternyata jiwa saya lebih dekat kepada sukan kuda lasak,” ujarnya yang merupakan penuntut Ijazah
Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Putra Malaysia kepada K2 baru-baru ini.

Baginya, disiplin yang melibatkan tunggangan kuda pada jarak jauh iaitu puluhan hingga ratusan kilometer itu lebih mencabar apatah lagi menuntut ketahanan fizikal serta mental penunggangnya.

Nur Qasrina baru-baru ini bersama empat yang lain telah mewakili Malaysia dalam Kejohanan Kuda Lasak Remaja Dunia FEI kategori junior di Ermelo, Belanda dan mereka berjaya mengharumkan nama negara dengan meraih pingat perak.

Selain Nur Qasrina kejohanan itu turut disertai adiknya, Muhammad  Yusuf Luqman Zakaria dan tiga lagi
penunggang lain iaitu Muhammad Faris Haikal Sa’ari, An-Nur Muhammad Imran Eirfan Anuwar dan Anfal Insyirah Abu Talib.

MALAYSIA berjaya meraih pingat perak dalam Kejohanan FEI di Belanda baru-baru ini.

Berkongsi tentang momen kejayaannya itu, Nur Qasrina mendedahkan, ketika menyertai pertandingan kuda lasak itu dia telah berhadapan dengan cabaran tersendiri.

“Antara cabaran yang ditempuh ketika menyertai kejohanan di Belanda ini adalah saya mengalami rasa sakit yang teruk pada bahagian tulang belakang sehingga terpaksa suntik ubat penahan sakit.

“Tetapi saya tetap meneruskannya walaupun terpaksa menahan kesakitan,” cerita gadis berhati waja yang gemarkan cabaran itu.

Nur Qasrina berkata, elemen paling penting dalam sukan kuda lasak ialah keserasian hubungan penunggang dengan kuda kerana prestasi dalam satu pertandingan bukan bergantung kepada
manusia yang menungganginya semata-mata sebaliknya bersama-sama kuda.

Menyentuh mengenai cara Qasrina menjaga staminanya, gadis itu berkata: “Menjadi rutin kelaziman bagi saya untuk berlari sejauh 6 kilometer bagi menguat dan mengekalkan stamina.”

Sementara itu, jurulatih sukan kuda lasak, Mohd. Sulaiman Muda menjelaskan, sukan kuda lasak
memerlukan lebih stamina kerana penunggang dan kuda akan menempuh jarak yang jauh.

“Oleh itu, fizikal dan mental penunggang kena kuat dan dalam masa sama kita kena pastikan stamina kuda juga sentiasa dalam keadaan baik.

“Keserasian berpanjangan antara penunggang dan kuda perlu ada bagi membolehkan kedua-duanya
menamatkan sesuatu pertandingan,” jelasnya.

Mohd. Sulaiman menerangkan, untuk sukan kuda lasak ini ia mempunyai beberapa kategori.

Bagi peringkat kebangsaan, terdapat dua kategori dipertandingkan iaitu melibatkan jarak sejauh 40 kilometer (km) dan 80km.

Jelasnya lanjut, sekiranya penunggang ingin menyertai pertandingan di peringkat dunia mereka mesti menyelesaikan kedua-dua kategori ini terlebih dahulu.

“Untuk ke peringkat dunia penunggang perlu menyelesaikan dua kali kategori 40km dan dua kali kategori 80km dalam tempoh masa dua tahun.

“Apabila mereka telah menyelesaikannya barulah penunggang layak untuk menyertai kejohanan
peringkat dunia,” terangnya.

Sementara itu, katanya, bagi peringkat dunia pula, sukan ini mempunyai tiga kategori iaitu dikenali
sebagai satu bintang untuk jarak sejauh 100km, dua bintang untuk jarak 120km dan tiga bintang bagi jarak sejauh 160km.

“Setiap kategori ada pusingan yang penunggang dan kuda perlu harungi
bagi melengkapkan jumlah jarak.

AKSI atlet ekuestrian dalam salah satu pertandingan sukan kuda lasak yang memerlukan tunggangan kuda sejauh ratusan kilometer.

Sebagai contoh untuk kategori jarak 160km akan ada enam pusingan yang perlu dilalui.

“Kebiasaannya bagi jarak sejauh 160km tempoh masa yang diperlukan untuk untuk penunggang dan kuda menyelesaikan perlumbaan tersebut adalah selama 12 jam.

“Di setiap pusingan itu doktor akan melakukan pemeriksaan terhadap kuda untuk melihat sama ada
ia boleh meneruskan pusingan seterusnya atau tidak,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Mohd. Sulaiman, kebiasaannya, tiga minggu atau empat minggu sebelum menyertai sesuatu kejohanan, penunggang dan kuda akan mula berlatih bersama-sama bagi
mencari keserasian.

Apabila kuda sudah mengenali penunggang dan serasi bersama ia akan mudah untuk dikendalikan.

Selalunya seminggu atau lima hari sebelum perlumbaan hanya latihan ringan yang akan
dilakukan untuk mengelak kuda mendapat kecederaan.

“Seperti yang dikatakan sebelum ini, keserasian antara penunggang dengan kuda amat penting kerana sewaktu pertandingan penunggang yang akan mengawal sepenuhnya kuda itu. Penunggang juga perlu mengawal kelajuan kuda seperti yang ditetapkan.

“Penunggang harus tahu untuk berkomunikasi dengan kuda bagi mengelak kuda mendapat kecederaan
pada bahagian kaki terutamanya,” katanya.

Tambahnya, jika kuda mendapat kecederaan dan tidak dapat meneruskan perlumbaan, penunggang
tidak boleh menggantikannya dengan kuda lain bahkan kedua-duanya akan disingkirkan daripada meneruskan perlumbaan itu.

Selain itu, Mohd. Sulaiman menjelaskan, ketika perlumbaan penunggang harus bijak untuk mengawal situasi di luar jangka yang boleh membuat kuda terkejut sehingga menyebabkan sukar dikawal.

Pernah berlaku ketika perlumbaan, kuda terkejut kerana terdengar bunyi tayar yang meletup atau bunyi burung keluar dari semak.

“Apabila terkejut, kuda akan melompat, berdiri dan berlari dan pada situasi ini penunggang harus tahu
bagaimana untuk menenangkannya,” jelasnya.

Tambahnya, untuk mengawal situasi itu pengalaman bersama kuda yang akan memainkan peranan.

Dalam pada itu, berbicara tentang jenis kuda yang sesuai digunakan untuk sukan kuda lasak, Mohd. Sulaiman memberitahu, kuda daripada baka Arab selalunya digunakan dalam acara itu.

“Kuda baka Arab ini mempunyai ketahanan dalaman dan kaki berbanding kuda baka lain. Jadi kuda
ini amat sesuai untuk digunakan bagi tunggangan jarak jauh,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN