PETALING JAYA – Selangor dan Pahang antara negeri yang dibimbangi akan berlaku gelombang kedua banjir sekiranya hujan lebat berlaku ketika ini.
Pakar Meteorologi dari Universiti Malaya, Dr. Sheeba Chenoli berkata, kebimbangan itu susulan keadaan semasa takungan air di kawasan serta sungai di negeri terbabit ketika ini.
“Gelombang kedua banjir mungkin boleh terjadi jika hujan berlaku dalam tempoh ini. Kita boleh lihat keadaan semasa yang mana air masih lagi bertakung di beberapa kawasan.
“Keadaan air yang bertakung itu akan bertambah kritikal jika hujan lebat berterusan berlaku ketika ini sekali gus akan menyebabkan banjir sekali lagi,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Katanya, taburan hujan yang tinggi boleh mempercepatkan lagi kejadian gelombang kedua banjir itu.
“Keadaan ini masih membimbangkan kerana tempoh angin Monsun Timur Laut masih lagi berlaku dan dijangka sehingga Februari atau Mac tahun depan.
“Walaupun hujan renyai namun jika berlaku dalam tempoh lama, kebimbangan gelombang kedua banjir ini tetap juga akan berlaku kerana boleh menambahkan lagi kadar takungan air sedia ada,” katanya.
Justeru, penduduk di kawasan rendah serta pihak berwajib diminta untuk terus bersedia dengan sebarang kemungkinan yang boleh berlaku dalam tempoh terdekat ini.
















