SHAH ALAM – Hujan dari malam tadi membuatkan penduduk di Selangor kembali bimbang mengenai kenaikan paras air di kediaman masing-masing.
Seorang penduduk di kawasan Batu 3, di sini, Mohd. Najib Asri, 40, berkata, dia melihat paras air di Sungai Damansara yang terletak di kawasan berhampiran telah naik pagi tadi.
Katanya, pemeriksaan dilakukan di kawasan berhampiran pasar raya Giant di Seksyen 13 juga mendapati, beberapa jalan raya sudah mula dinaiki air dan kenderaan terpaksa menggunakan laluan berlawanan arus bagi mencari jalan keluar.
“Giant banjir lagi, jadi jalan tutup. Laluan di Acapella juga jadi laluan dua hala apabila pengguna jalan raya terpaksa mengubah haluan bagi mengelak laluan banjir,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, di laman media sosial dan kumpulan WhatsApp dibanjiri dengan video dan gambar laluan yang dinaiki air antaranya di kawasan Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Bukit Jelutong.
Plusline menerusi Twitternya turut memaklumkan status terkini banjir kilat di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) di laluan masuk Plaza Tol Shah Alam.-K! ONLINE