BENTONG – “Mangsa sempat membuat panggilan video bersama saya dengan menunjukkan air sudah berada pada paras dadanya walaupun mereka sudah berdiri di atas Toyota Hilux sebelum kepala air menghanyutkan semua mangsa.”
Itu kata Farid A. Rahman, 36, ketika menceritakan detik-detik cemas yang dilalui jirannya, Rosiana Ramli, 38, sebelum mangsa bersama 15 lagi individu dihanyutkan kepala air ketika berada di atas Jambatan Telemong, Telemong di sini pada Sabtu lalu.
Setakat semalam, seramai 10 mangsa dihanyutkan kepala air berjaya diselamatkan, manakala lima terkorban dan seorang lagi dikhuatiri lemas selepas lima buah kenderaan dihanyutkan arus deras Sungai Kerau di atas jambatan tersebut.

Difahamkan, ketika kejadian antara pukul 8 hingga 9 malam itu, lima kenderaan mangsa terpaksa berhenti di atas jambatan kerana terletak di kawasan lebih tinggi ekoran jalan di hadapan jambatan itu di Pekan Sri Telemong ditenggelami banjir.
Bagaimanapun, tiba-tiba kepala air telah membadai kesemua kenderaan di atas jambatan tersebut.
Farid seterusnya menceritakan, dalam perbualan bersama Rosiana, mangsa merayu-rayu meminta untuk segera diselamatkan kerana air sungai bukan sahaja deras, malah banyak kayu balak besar turut dihanyutkan.
“Rosiana juga sempat memberitahu, dia telah menghubungi pihak berkuasa, namun semua panggilan tidak berjawab.
“Hanya bomba dipercayai dari Balai Bomba dan Penyelamat Karak yang tiba di kawasan itu, namun disebabkan air terlalu deras dan banyak kayu balak besar telah menyukarkan misi menyelamat mangsa yang berada di atas Toyota Hilux.
“Hampir 12 individu dilihat berdiri berhimpit-himpit di atas Toyota Hilux itu untuk menyelamatkan diri. Saya sendiri boleh lihat air sudah berada di paras dada mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Farid memberitahu, Rosiana juga sempat memberitahu, pada awalnya, air banjir mulai naik di atas jambatan tersebut dan mereka cuba berpatah balik, namun tragedi berlaku dengan amat pantas.

Katanya, kejadian kepala air berlaku selama kira-kira 15 minit sehingga menyebabkan mereka tidak sempat berbuat apa-apa.
“Kesemua mereka akhirnya telah dihanyutkan, hanya beberapa individu berjaya menyelamatkan diri,” ujarnya.
Farid memberitahu, dia difahamkan, kesemua mangsa itu terdiri daripada dua buah keluarga dan mereka baru sahaja selesai menghadiri majlis perkahwinan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, seramai empat mangsa yang dihanyutkan arus deras kepala air di Telemong telah dijumpai semalam.
Katanya, mayat pertama yang merupakan wanita Melayu ditemui pukul 1.06 tengah hari kira-kira dua kilometer (km) dari lokasi kejadian.
“Mangsa kedua yang merupakan wanita Melayu warga emas pula dijumpai pukul 1.20 tengah hari, kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa pertama, manakala mangsa ketiga, lelaki dewasa berketurunan India pula ditemui kira-kira 100 meter dari mangsa kedua.
“Mangsa keempat yang merupakan wanita dewasa berbangsa Melayu ditemui pukul 5 petang, kira-kira 4km dari lokasi kejadian,” katanya.
Kelmarin, seorang mangsa pertama tragedi kepala air iaitu wanita warga emas telah ditemui lemas. Setakat ini, seorang lagi mangsa belum dijumpai dan usaha mencari serta menyelamat masih dijalankan.
Identiti lengkap kesemua mangsa masih belum diperoleh setakat lewat petang semalam.














