KepadaPETALING JAYA – Mana-mana pembida yang berjaya membida 40 aset milik usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Sajat akan ‘dikurung’ di dalam rumah berkenaan sehingga urusan pembayaran serta tandatangan kontrak selesai dilakukan.
Peguam Zeti Zulkifli daripada NHA Advocates & Solicitors yang mewakili bekas stokis terbesar Sajat, OWA Resources Sdn. Bhd. berkata, langkah itu dicadangkan bagi mengelakkan pembida harta usahawan kontroversi itu menghilangkan diri selepas berjaya membuat bidaan.
Menurut beliau, pihaknya mencadangkan pembida supaya membawa wang secara tunai ketika proses lelongan diadakan atau mengarahkan wakil untuk mengeluarkan wang dari bank.
“Kali ini, kami bercadang untuk tidak membenarkan pembida yang berjaya keluar dari rumah Sajat agar kejadian pembida lesap tidak berlaku lagi.
“Sekiranya pembida memerlukan bank draf, hanya wakil kepada pembida tersebut sahaja dibenarkan masuk di kawasan rumah Sajat untuk memberi kepada pembida,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Berita berkaitan: Pembeli aset Sajat RM132,000 rupanya ‘joy bidder’
Berita berkaitan: Siapa sahaja boleh jadi pembida – Aliff Syukri
Menurut Zeti, pihaknya juga berkemungkinan akan menaikkan kadar deposit yang lebih tinggi daripada RM5,000 sebelum ini supaya mana-mana pembida tidak sesuka hati menarik diri selepas berjaya membida aset Sajat.
“Saya tidak meletakan prasangka buruk kepada semua pembida semalam (kelmarin) kerana ketika acara bidaan itu, semua pembida dilihat serius untuk membida sehingga bidaan dibuat sebanyak enam kali.
“Nilai terakhir aset Sajat dibida telah diputuskan pada harga RM132,000. Justeru, mungkin kadar deposit yang dikenakan akan lebih tinggi atau masih kekal RM5,000,” ujarnya.

Zeti juga memberitahu, tarikh baharu untuk sesi lelongan kali kedua dijangka diadakan minggu depan.
Kosmo! semalam melaporkan lelongan aset Sajat di Jalan Polo, Kota Damansara dekat sini bertukar kecoh apabila seorang pembida yang berjaya membeli 40 aset usahawan kontroversi itu lesap dan gagal dikesan.
Zeti dilaporkan berkata, lelaki itu hilang selepas mengatakan mahu mengambil wang di bank.














