Peminat tegar sesebuah pasukan bola sepak akan melakukan apa sahaja bagi membolehkan setiap kenangan detik-detik manis ketika menyaksikan perlawanan terutamanya melibatkan pertandingan besar tetap terpahat di ingatan sampai bila-bila.
Antara cara untuk mengenang momen tersebut adalah dengan mengumpulkan jersi-jersi lama sesebuah pasukan.
Ada peminat yang berhabis puluhan ribu ringgit sejak sedekad lalu bagi membeli jersi-jersi lama semata-mata untuk kepuasan diri sendiri.
Terdapat juga peminat lain yang memberikan tawaran sehingga ribuan ringgit bagi sehelai jersi, namun bagi peminat sejati, mereka tidak menjualnya walaupun menerima tawaran lebih tinggi kerana disebabkan nilai sentimental yang ada pada helaian itu.
——————————————————————————————————————————————————————-
MASA lapang Anuar Che Ahmad pada hujung minggu banyak dihabiskan dengan menyendiri di dalam sebuah bilik kecil di rumahnya yang terletak di Kuala Perlis.
Di dalam bilik berkenaan, tiada sesuatu yang menarik kecuali deretan jersi berwarna biru dan kuning, namun lelaki berusia 52 tahun itu boleh menghabiskan masa seharian di situ.
Setiap helaian dipegang dan dibelai seperti seekor kucing manja sambil mengenangkan kembali sejarah pasukan bola sepak negeri kesayangannya.
Pada Anuar, setiap jersi mempunyai kisah tersendiri sama ada mengenai pemain yang pernah memakainya atau ketika pasukan Perlis mengecapi kejayaan.
Apabila memegang jersi Perlis milik Adrien Jurad Chamrong yang tertera lencana Perlawanan Akhir Piala Malaysia tahun 2006, dia terkenangkan kisah lontaran magis pemain tersebut ketika final berkenaan.
Hasil lontaran ke dalam jarak jauh oleh bek kanan itu, bola telah singgah di kepala penyerang Perlis, Philpmon Chiepita bagi menyumbat gol pertama perlawanan berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Perlis berjaya memenangi perlawanan akhir itu dengan dengan jaringan 2-1 dan Chiepita diangkat sebagai pemain terbaik pada malam tersebut.
“Orang lain mungkin suka menghabiskan masa membelai haiwan kesayangan atau pokok bunga. Tetapi saya ini pelik sedikit, saya gemar membelai jersi lama pasukan Perlis.
“Saya ada lebih 200 helai jersi Perlis sejak era 1970-an dan boleh dianggap sebagai ‘artifak’ terbaik bagi mencerita kisah suka duka pasukan Singa Utara,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Untuk makluman, Anuar merupakan salah seorang peserta yang menyertai acara Pameran Jersi Kolektor XI berlangsung di pusat beli-belah Malakat Mall, Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.
Acara anjuran Persatuan Kolektor Jersi Malaysia itu menghimpunkan 60 pengumpul jersi pasukan bola sepak dari seluruh negara sempena 100 tahun penganjuran Piala Malaysia pada tahun ini.
Antara pengumpul jersi yang mengambil bahagian termasuklah dari pasukan Pahang, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Johor Darul Ta’zim, Sabah, Sarawak United, Perak dan Terengganu.
Anuar yang bekerja sendiri berkata, kebanyakan jersi dalam simpanannya diberi sendiri oleh bekas pemain Perlis memandangkan dia merupakan salah seorang pengumpul aktif.
“Jersi-jersi ini saya dapat daripada pemain secara percuma saja, tetapi saya beri juga mereka sedikit wang sagu hati.
“Antara bekas pemain yang memberikan jersi mereka kepada saya termasuk Jurad Chamrong, Chiepieta, Azizi Matt Rose, Bakri Ibni, Amran Omar dan beberapa pemain lagi,” jelasnya.

Tegasnya, jersi-jersi yang diberikan itu satu amanah kepadanya untuk dijaga dan bukannya dijual kepada orang lain meskipun pada harga tidak masuk akal.
Anuar memaklumkan, dia pernah mendapat tawaran sehingga RM1,500 bagi sehelai jersi daripada seorang peminat tempatan disebabkan nilai sentimental yang ada pada helaian itu.
“Ada orang minta dekat saya untuk beli jersi-jersi ini. Kadang-kadang itu kelam mata juga apabila dengar harga diletakkan mereka (pembeli).
“Tetapi saya tidak boleh jualnya disebabkan amanah yang dipegang,” jelasnya.
Mengimbau kembali permulaan minatnya mengumpul jersi, Anuar memaklumkan, segalanya bermula ketika membantu kawannya bertugas sebagai kit man pasukan Perlis sekitar tahun 2006.
Jelasnya, sewaktu berada dalam bilik persalinan, dia dapati para pemain membuang sahaja jersi mereka selepas perlawanan sekali gus membuatkannya terpanggil untuk mengutip dan menyimpannya.
“Sejak detik itulah minat saya mengumpul jersi kian bercambah. Tambah pula ketika itu pasukan Perlis berada pada kemuncak prestasi hasil bimbingan jurulatih Abdul Rahman Ibrahim,” ujarnya.
Anuar memberitahu, dia menjaga setiap helaian jersi dengan menggantungkan di dalam bilik tertutup dan menjemurnya dibawah cahaya matahari enam bulan sekali.
Tegasnya, jersi lama era 1980 dan 1990-an lebih mudah dijaga berbanding baharu disebabkan perbezaan jenis kain dan lencana digunakan.
“Jersi lama ini menggunakan kain bercorak dan tebal serta lencana seperti nama penaja pula berjahit. Jersi baharu kainnya kosong dan nipis serta nama penaja guna heat press.
“Ada jersi dalam simpanan saya ini tidak pernah dibasuh selepas digunakan pemain. Ada jersi yang ada kesan tanah, darah dan peluh pemain sekali gus meningkat nilainya,” ujarnya.
Bapa kepada dua cahaya mata itu sering mendapat undangan pihak tertentu untuk mempamerkan jersi-jersi dalam simpanannya terutamanya ketika perlawanan bola sepak di sekitar Perlis.
Anuar memberitahu, dia mempunyai impian untuk melihat jersi simpannya dipamerkan dalam muzium bola sepak Perlis suatu hari nanti memandangkan anak-anaknya tidak berminat meneruskan legasi itu.

“Ketika ini pasukan Perlis tidak lagi sekuat dahulu. Hanya yang ada sejarah untuk dikenang. Harap suatu hari nanti pasukan ini dapat bangkit semula serta memiliki muzium,” ujarnya dalam nada sebak.
Berbeza pula kisahnya dengan Syahrul Niezam Khalid, 45, yang merupakan kolektor jersi Selangor sejak 13 tahun lalu bagi menzahirkan minat terhadap pasukan kegemarannya.
Lelaki berasal dari Shah Alam itu berkata, dia mula mengumpul jersi Selangor sejak 2009 atas inisiatif sendiri selepas tertarik dengan sejarah pasukan.
“Saya mempunyai lebih 250 jersi Selangor home, away dan ketiga sejak era 1970-an tetapi tidak lengkap. Kalau set lengkap jersi Selangor, saya ada dari tahun 1993 hingga sekarang,” terangnya.
Syahrul Niezam yang berkhidmat sebagai pegawai bank menambah, rata-rata jersi dalam simpanannya dibeli sendiri daripada kolektor-kolektor lain dan di kedai.
Menurutnya, dia telah berhabis puluhan ribu ringgit sejak sedekad lalu bagi membeli jersi-jersi lama Selangor semata-mata untuk kepuasan diri sendiri.

“Saya pernah beli sehelai jersi Selangor yang mempunyai nilai sejarah tersendiri terutamanya pada aksi Piala Malaysia pada harga RM1,000. Jersi itu saya tidak boleh beritahu yang mana.
“Harganya mahal kerana pada zaman dahulu jersi tidak dijual kepada peminat. Ia hanya dibuat untuk kegunaan pemain sahaja. Jadi, kolektor macam saya kena beli sendiri daripada pemain,” katanya.
Syahrul Niezam memberitahu, salah satu sebab dia mengumpul jersi Selangor disebabkan pihak pengurusan pasukan tidak mempunyai inisiatif untuk menyimpannya dalam arkib.
Jelasnya, ia satu yang merugikan sekiranya jersi yang mempunyai nilai sejarah dan pernah dipakai pemain ternama seperti Allahyarham Mokhtar Dahari dibiarkan lenyap.
“Jadi, orang seperti kami ini (kolektor) harus ambil inisiatif untuk mencari dan simpan jersi ini. Malah, ada jersi yang saya buat balik hanya berpandukan daripada gambar lama,” katanya.















