KUALA LUMPUR – Keinginan untuk berbakti dan menyelamatkan nyawa insan lain mendorong seorang pemuda, Zaharel Reeza Ruslan, 32, untuk tampil mendermakan sebahagian daripada hatinya kepada mana-mana pesakit yang memerlukan.
Insan berhati mulia yang bekerja sebagai Pembantu Pembangunan Masyarakat di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya itu menyuarakan hasrat murninya sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengikut jejak langkah penderma hati pertama negara, Wan Mohd. Hafizam Wan Ismail.
Menurut Zaharel, apa yang dilakukan Wan Mohd. Hafizam ketika mendermakan sebahagian hatinya kepada Mohd. Afiq Iqmal kira-kira 24 tahun lalu adalah satu pengorbanan besar yang pernah dilakukan oleh mana-mana insan bernama manusia.
“Saya tidak gentar dengan kematian kerana saya percaya dengan usaha ini dapat membantu individu lain yang sangat-sangat memerlukan.
“Kisah yang ditonjolkan Wan Mohd. Hafizam yang juga penderma hati pertama negara ketika menyelamatkan nyawa Allahyarham Mohd. Afiq Iqmal suatu ketika dahulu benar-benar menyentuh hati saya.
“Ramai yang terkesan dan kejadian itu menjadi pendorong kepada insan-insan berhati mulia,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pusat Darah Negara di sini baru-baru ini.

Menceritakan semula mengenai hasratnya itu, Zaharel memberitahu, segalanya bermula daripada hantaran Wan Mohd. Hafizam di media sosial Facebook yang mencari penderma hati bagi menyelamatkan satu nyawa di Kedah.
“Saya terlihat hantaran tersebut di media sosial Facebook yang memaklumkan ingin mencari penderma hati berdarah O untuk menyelamatkan nyawa seseorang. Saya tidak berfikir panjang dan terus menghubungi Wan Mohd. Hafizam untuk mendermakan hati saya.
“Saya kemudian datang ke Pusat Darah Negara bagi memeriksa keadaan fizikal dan menentukan jenis darah saya.
“Bagaimanapun, niat untuk membantu insan yang memerlukan itu tidak kesampaian memandangkan darah saya jenis A dan tidak sesuai untuk melakukan pendermaan hati,” katanya.
Tidak berakhir di situ, Zaharel kemudian bertemu Wan Mohd. Hafizam dan menyampaikan hasrat untuk mendermakan sebahagian daripada hatinya kepada pesakit berdarah A yang ada mengalami masalah hati.
“Saya secara sukarela ingin mendermakan hati sekiranya ada yang memerlukan dan tiada paksaan dari mana-mana pihak,” ujarnya.
Kira-kira 24 tahun lalu, negara pernah dikejutkan dengan kisah pendermaan hati yang menyaksikan Wan Mohd. Hafizam mendermakan hatinya kepada Mohd. Afiq Iqmal yang ketika itu baharu berusia 14 bulan.
Selepas hampir 24 tahun dapat menjalani kehidupan seperti anak-anak kecil lain, Afiq Iqmal bagaimanapun menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Selayang selepas 18 hari bertarung nyawa. -K! ONLINE














