JOHOR BAHRU – Dua orang warga Singapura termasuk seorang wanita cedera apabila kereta yang dipandunya melanggar pembahagi jalan di Lebuh Raya Lingkaran Dalam (EDL) di sini hari ini.
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 8 pagi ketika kereta jenis BMW yang dipandu oleh Sean Ho Jing Rong 25, dari arah Stulang Laut merempuh pembahagi jalan menghala ke pusat bandar berhadapan Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Rakan wanitanya, Noelle Wong Boon Sze, 28, turut tercedera akibat hentakan kuat di bahagian depan kenderaan tersebut.
Sepasukan enam anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Larkin yang diketuai Ketua Operasi Hussin Ismail bergegas ke tempat kejadian apabila menerima panggilan pada pukul 8.24 pagi.
“Bagaimanapun sebaik sampai pemandu dan penumpang kereta tersebut telah keluar dari kenderaan dalam keadaan luka dan terbaring di jalan,” katanya.
Menurut Hussin, kerja-kerja pembersihan minyak akibat kemalangan tersebut dilakukan dengan menabur habuk kayu bagi mengelak permukaan jalanraya tersebut licin.
Jelasnya, kedua-dua mangsa kemalangan tersebut dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk menerima rawatan dan berada dalam keadaan stabil.-K! ONLINE














