fbpx
Gambar hiasan

K2

Gila ubah suai kereta hingga abai keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MACAM-MACAM perangai pelik dan tidak bertanggungjawab manusia yang sememangnya boleh dijadikan iktibar agar kita tidak berkelakuan seperti itu.

Kolum Dari Mahkamah Syariah minggu ini memaparkan kisah rumah tangga mengenai sikap pentingkan diri sendiri seorang suami yang sanggup berhabis duit untuk mengubah suai kereta hingga mengabaikan kebajikan terhadap isteri dan anak-anak.

Lebih parah, lelaki itu sanggup berhutang dengan bank dan rakan-rakan untuk memenuhi tuntutan hobinya itu hinggakan isteri terpaksa mengeluarkan duit simpanan ketika bekerja sebelum ini untuk membeli barang-barang dapur dan keperluan anak-anak.
——————————————————————————————————————————————————-
PASANGAN berusia lewat 30-an itu baru menjalani kehidupan berumah tangga sejak empat tahun lalu.

Hasil perkahwinan tersebut, Sham dan Rose (bukan nama sebenar) dikurniakan dua cahaya mata yang masing-masing berusia antara setahun dan tiga tahun.

Menariknya, perkahwinan mereka hasil daripada perkenalan singkat selepas bertemu dalam media sosial secara tidak sengaja.

Untuk makluman, Sham berkhidmat sebagai seorang anggota keselamatan, manakala Rose memilih untuk berhenti kerja selepas berkahwin untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.

“Perkahwinan kami adalah atas dasar cinta menerusi perkenalan singkat di media sosial. Kami bercinta selama enam bulan dan terus melangsungkan perkahwinan.

“Ketika itu masing-masing sudah menjangkau usia 35 tahun. Alhamdulillah, hasil perkahwinan kami dikurniakan dua cahaya mata,” ujar Rose ketika dihubungi baru-baru ini.

Pada awal perkahwinan, pasangan yang menetap di Pulau Pinang itu menjalani kehidupan penuh bahagia sebelum timbul bibit-bibit berantakan beberapa bulan kemudian.

Segala-galanya berubah selepas kelahiran cahaya mata kedua apabila Sham selalu mengadu tidak cukup wang disebabkan tanggungan bertambah.

“Saya faham Sham hanya bekerja sebagai anggota keselamatan berpangkat rendah. Dia perlu menyara semua keperluan keluarga seperti kos sewa rumah, makanan dan susu bayi.

“Saya pun tidak pernah minta lebih daripada Sham. Saya pakai apa yang ada sahaja. Saya ada menawarkan diri untuk kembali bekerja, namun ditolak oleh suami,” tegasnya.

Sebenarnya, masalah kewangan yang dihadapi Sham itu berpunca daripada sikapnya yang masih terbawa-bawa dengan kehidupan sebagai orang bujang hingga mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

GEMAR mengubah suai kereta menyebabkan Sham menghadapi masalah kewangan hingga kebajikan keluarga terabai. – GAMBAR HIASAN

Menurut Rose, suaminya banyak menghabiskan duit gaji terhadap hobinya sejak bujang iaitu mengubah suai kereta Proton Wira menjadi seakan-akan Mitsubishi Lancer Evolution 3.

Dia memberitahu, suaminya sanggup melabur hampir RM50,000 dengan membuat pinjaman peribadi daripada bank semata-mata untuk mengubah suai kenderaan itu.

“Pada mulanya, Sham melakukan ubah suai sedikit sahaja, namun selepas menyertai sebuah kelab kereta sejak dua tahun lalu, dia mula berubah.

“Disebabkan itu, dia sanggup membuat pinjaman bank untuk mengubah suai enjin, ruang dalaman dan bahagian luaran kenderaan berkenaan,” ceritanya lagi.

Rentetan itu, Sham perlu membuat bayaran bank lebih RM400 sebulan untuk melangsaikan hutang, sekali gus membuatkan kewangannya mula tersepit.

Ujar Rose lagi, disebabkan kekangan kewangan yang meruncing, dia mengambil inisiatif mengeluarkan wang simpanan ketika bekerja dahulu untuk membeli susu anak dan makanan kerana tidak sanggup melihat anak-anak berlapar.

“Paling teruk pada hujung bulan apabila banyak barang habis terutamanya susu anak. Kadang-kadang beras pun habis,” jelasnya.

Meskipun begitu, sikap Sham masih tidak berubah, malah dia lebih ligat mengubah suai keretanya sehingga sanggup meminjam wang daripada rakan-rakan.

Disebabkan itu, Rose sering menasihati suaminya supaya meninggalkan hobinya itu dan tidak terikut-ikut dengan kawan-kawan.

“Saya pernah mengikut Sham menyertai konvoi kereta sebelum ini. Daripada pemerhatian, saya dapati kebanyakan ahli kelab terdiri daripada mereka yang berpendapatan besar,” jelasnya.

Selalunya, nasihat yang diberikan akan berakhir dengan pertengkaran sehingga membuatkan Rose berputus asa.

Rose membiarkan sahaja minat Sham itu selama hampir setahun sehinggalah wang simpanannya habis untuk menampung membeli keperluan rumah pada hujung bulan.

Selepas itu, dia terpaksa bertegas supaya Sham menjual keretanya bagi membolehkan mereka membeli barang-barang dapur dan keperluan keluarga.

Rose telah memberi kata dua kepada Sham sama ada ingin hidup bersamanya dan anak-anak atau meneruskan minatnya mengubah suai kereta.

Malangnya, permintaan tersebut telah mengundang kemarahan, sekali gus membuatkan Sham hilang pertimbangan dan memilih menceraikan Rose.

“Saya betul-betul kecewa dengan sikap Sham.

“Dia sanggup ‘membuang’ saya dan anak-anak semata-mata untuk meneruskan minatnya itu,” jelasnya.

Rose memaklumkan, perkara tersebut turut ditegaskan oleh hakim sewaktu proses penceraian mereka yang menasihati Sham supaya tidak terus mementingkan diri selepas ini.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN