fbpx
BIASAN cahaya menyajikan keindahan yang tidak mampu diungkapkan di Gua Air Jernih, Taman Negara Mulu.

Taman Negara Mulu bagai lukisan hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAMAN Negara Mulu, Sarawak yang berkeluasan 85,627 hektar dan terdiri daripada hutan, sungai, gua dan gunung menyimpan pelbagai khazanah alam yang seharusnya menjadi kebanggaan negara kerana pengiktirafannya di peringkat dunia.

Pelancong pasti terpegun melihat panorama itu selain gua-gua besarnya yang menjadi habitat kepada jutaan kelawar dan burung layang-layang.

Tidak hairanlah taman negara itu diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2000.

Ia menjadi antara destinasi wajib dikunjungi pelancong khususnya bagi pencinta alam sekitar dan penggemar aktiviti lasak.
———————————————————————————————————————————————————————–

BAGAIKAN lukisan hidup. Itu gambaran keindahan alam semula jadi yang boleh digambarkan apabila kali pertama menjejakkan kaki ke Mulu, Sarawak.

Terletak di sebelah utara Bumi Kenyalang, Mulu merupakan salah satu destinasi pelancongan terkenal di Malaysia khususnya bagi pencinta alam dan penggemar aktiviti lasak.

Lokasi wajib dikunjungi setiap kali ke Mulu pastinya Taman Negara Mulu kerana adanya Gunung Mulu setinggi 2,377 meter selain struktur batu-batu kapurnya yang runcing seperti duri.

Pelancong pasti terpegun melihat panorama itu selain gua-gua besarnya yang menjadi habitat kepada jutaan kelawar dan burung layang-layang.

Tidak hairanlah taman negara itu diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2000.

Di Taman Negara Mulu terdapat Gua Rusa yang diiktiraf sebagai laluan gua terbesar di dunia, Sarawak Chamber yang merupakan ruang semula jadi terbesar di dunia dan satu sistem gua panjang dinamakan Gua Air Jernih atau Clearwater Cave yang didakwa gua terpanjang di Asia Tenggara.

BUKAN sahaja menawarkan keunikan suasana dalam gua, Taman Negara Mulu juga mempunyai tarikan lain seperti sungai dan hutan.

Berpeluang melihat sendiri keunikan daerah kecil Mulu dalam bahagian Miri itu semasa lawatan media anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dengan kerjasama syarikat penerbangan MASwings, Taman Negara Mulu dan Marriot Resort Mulu baru-baru ini cukup mempesonakan.

Setibanya di Lapangan Terbang Mulu, penulis dan rombongan dari Kota Kinabalu, Sabah terus dijemput ke kenderaan khas yang sudah disediakan Marriot Resort Mulu sebelum dibawa ke resort itu dengan waktu perjalanan hanya sekitar 10 minit.

Pengembaraan penulis di Mulu bermula dengan menunggu bot di jeti resort sejurus sarapan pagi keesokan harinya.

Selepas beberapa minit menanti, bot pun tiba dan penulis dibawa ke beberapa gua yang cukup terkenal dalam kalangan pelancong iaitu Gua Angin atau Wind Cave serta Gua Air Jernih. Gua Angin merupakan sebahagian daripada sistem panjang Gua Air Jernih.

Sepanjang menaiki bot merentasi Sungai Melinau, penulis dapat melihat rumah-rumah penduduk di tepi sungai selain aktiviti harian mereka seperti mencuci bot dan membaiki jala.

Rimbunan pokok-pokok yang masih hijau dan terjaga di sepanjang laluan sungai juga membuatkan penulis seperti berada di Hutan Amazon.

Selepas hampir 40 minit menaiki bot, penulis tiba di Gua Angin.

PINNACLES atau batu berceracak ini menjadi antara signatur di Taman Negara Mulu.

Menurut pemandu pelancong, Katherina Stin, Gua Angin mula ditemui oleh kumpulan saintis British National Geographical pada tahun 1970-an.

“Sewaktu kumpulan berkenaan membuat ekspedisi, mereka mendapati gua ini bersambung dengan 12 gua yang lainnya pada ketika itu.

“Mereka kemudiannya datang semula ke sini sekitar dua tahun selepas itu dan menemui lebih banyak sambungan gua menghubungkan Gua Angin,” katanya.

Menurut Katherina, gua itu memang pernah digunakan penduduk setempat suatu ketika dahulu, namun hanya dijadikan sebagai tanah perkuburan.

Menariknya, Katherina berkata, orang tempatan di kawasan itu tidak pernah hidup di dalam gua itu dan tidak mengetahui terdapat banyak sambungan di gua terbabit.

“Mereka hanya beranggapan gua ini adalah tempat suci dan perlu dijaga.

“Malahan, sebelum gua ini dibuka kepada umum, sering kali diadakan upacara memanggil semangat di gua ini,” katanya.

Katherina yang sudah hampir 16 tahun bertugas sebagai pemandu pelancong di Mulu memaklumkan nama Gua Angin diambil berikutan pengunjung boleh merasakan angin sejuk di sesetengah bahagian gua yang sempit.

Jelasnya, Gua Angin adalah sebahagian daripada sistem Gua Air Jernih dan mempunyai banyak stalaktit, stalagmit, batu alir dan batu karang yang mengagumkan,

Selepas hampir satu jam menerokai kecantikan Gua Angin, penulis kembali dibawa menaiki bot untuk ke gua utamanya Gua Air Jernih yang hanya mengambil masa lima minit perjalanan menggunakan bot.

TAMAN Negara Mulu mempunyai pelbagai gua untuk diterokai.

Masuk sahaja kawasan Gua Air Jernih, penulis sudah terpegun melihat air sungai di gua itu yang jernih dan berwarna kehijauan.

Pemandu pelancong bertugas, Anthony Osen berkata, pengunjung yang mahu memasuki Gua Air Jernih perlu menaiki kira-kira 200 anak tangga sebelum tiba di pintu masuk.

“Gua ini sangat menarik untuk diterokai kerana terdapat sebatang sungai di dalamnya. Laluan papan dan jambatan terapung di atasnya menjadikan perjalanan memasuki gua ini suatu pengalaman menyeronokkan,” katanya.

Dalam pada itu, Warden Taman Negara Mulu, Mark Kuneiglibuan Tisen menjelaskan, Taman Negara Mulu adalah taman negara terbesar di Sarawak dengan keluasan meliputi 85,627 hektar terdiri daripada hutan, sungai, gua dan gunung.

Kata Mark, Taman Negara Mulu didominasi tiga gunung utama iaitu Gunung Mulu, Gunung Api dan Gunung Benarat.

“Namun, banyak tarikan terbesar di Mulu terletak di bawah permukaan. Ia termasuklah sistem gua batu kapur yang terbentuk puluhan juta tahun lalu.

“Sistem yang ada di gua-gua ini ialah suatu keajaiban semula jadi yang menakjubkan. Kita dapat melihat Gua Rusa yang diiktiraf sebagai laluan gua terbesar di dunia, ruang semula jadi terbesar di dunia (Sarawak Chamber) dan gua terpanjang di Asia Tenggara (Gua Air Jernih).

“Walaupun Mulu sinonim dengan gua, namun pengalaman di taman negara itu tidak terhad kepada tarikan bawah tanah. Pengunjung juga boleh menikmati keindahan hutan hujan yang kaya dengan flora dan fauna. Terdapat juga beberapa trek hutan dan pendakian termasuklah trek yang mencabar untuk melihat Pinnacles setinggi 45 meter.

“Ia antara lambang keindahan Mulu yang terletak megah di lereng Gunung Api,” katanya.

SALAH satu lokasi di Gua Angin yang memiliki pelbagai formasi batuan menarik.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Sibu, Luqman Hakeem Drahman, 35, berkata, dia dan rakan-rakannya datang ke Mulu untuk melihat sendiri kehijauan alam semula jadinya.

“Kami sudah lama merancang ke sini, namun sudah beberapa kali tertunda kerana pandemik Covid-19.

“Betul seperti diperkatakan, Mulu begitu luar biasa dan wajib dikunjungi. Saya berasa seperti di luar negara walau hakikatnya berada di negeri dan negara sendiri,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN