fbpx
MUNGKIN ramai yang tidak percaya bahawa foto yang dirakam oleh Alfi dan Diana yang menunggang motosikal berlatarbelakangkan Menara Eiffel di Perancis ini ialah gambar sebenar.

Memori naik motosikal kapcai dari Malaysia ke Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERKONGSI impian yang sama untuk mengelilingi dunia membuatkan sepasang suami isteri, Mohd. Alfishahrin Zakaria dan Diana Latif tekad untuk mengembara dengan menunggang kapcai ke negara-negara Eropah.

Pada 8 April 2017, Alfi yang baru seminggu melangsungkan perkahwinan dengan Diana telah mengembara dengan kapcai dari Malaysia ke London, United Kingdom yang mengambil masa selama 146 hari. Bertitik tolak dari itu mereka kini telah menjelajah 30 buah negara termasuk di Eropah antaranya United Kingdom, Rusia, Perancis, Republik Czech, Belanda, Belgium, Itali, Jerman, Switzerland, Bosnia-Herzegovina dan Turki.

Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my

 

 

BERKONGSI impian yang sama untuk mengelilingi dunia membuatkan sepasang suami isteri, Mohd. Alfishahrin Zakaria dan Diana Latif tekad untuk mengembara dengan menunggang kapcai ke negara-negara Eropah.

Pada awalnya, Mohd. Alfishahrin atau lebih mesra disapa Alfi, 35, yang merupakan seorang runner dari Klang, Selangor itu mengikuti konvoi motosikal bersama rakan-rakan ke Thailand pada sekitar tahun 2014.

Siapa sangka, pengalaman pertama ke Thailand itu membuatkannya berasa teruja untuk menunggang kapcai ke luar negara sehingga dia mengembara secara solo ke beberapa negara pada tahun 2016 seperti Laos, Vietnam, Kemboja, Myanmar, China dan Singapura.

Tidak puas dengan pengembaraan solo itu, pada 8 April 2017, dia yang baru seminggu melangsungkan perkahwinan dengan Diana telah mengembara dengan kapcai dari Malaysia ke London, United Kingdom yang mengambil masa selama 146 hari.

Pengembaraan pertama pasangan tersebut ke Eropah adalah membawa misi kemerdekaan di bawah program Inspirasi Anak Muda Bebas Dadah Persatuan Pencegahan Dadah Malaysia Selangor yang turut disokong Majlis Sukan Negeri Selangor.

“Kami tiba di London pada pukul 10 pagi 31 Ogos dan mengibarkan Jalur Gemilang di kedutaan Malaysia.

“Perasaan pada ketika itu sukar digambarkan kerana merupakan misi pertama kami dan syukur kepada Ilahi kerana berjaya sampai ke London selepas menempuh perjalanan panjang dengan melalui 24 buah negara,” cerita anak ketiga daripada lima beradik itu.

PASANGAN ini berpeluang bergambar kenangan di Anfield, Liverpool, England.

Misi pertama ke London menelan belanja sebanyak RM20,000 yang mana amaun tersebut bukan sahaja dikumpul daripada tajaan beberapa syarikat, tetapi turut melibatkan simpanan mereka selain wang hantaran perkahwinan.

“Sebelum berkahwin, saya sering bercerita kepada isteri mengenai keseronokan mengembara dengan kapcai sehingga dia teruja mengikuti perjalanan ini memandangkan kami berkongsi impian sama iaitu ingin mengembara melihat dunia.

“Kami telah membuat perancangan selama tiga bulan sebagai persiapan ke London. Kami hanya bernikah di pejabat agama sahaja, kemudian seminggu selepas itu bertolak melaksanakan misi tersebut,” katanya yang turut terlibat dalam perkhidmatan penganjuran majlis atau acara kepada K2.

Tidak terhenti di situ, pasangan suami isteri tersebut meneruskan misi kedua menuju ke Moscow, Rusia sempena Piala Dunia FIFA pada tahun 27 Mei 2018 dan tiba di sana pada 15 September 2018 dengan menaiki motosikal sama iaitu Honda RS150R.

Perjalanan mereka itu turut mendapat tajaan pihak Honda yang membayar wang cagaran untuk dokumen motosikal dikenali sebagai carnet bagi memenuhi syarat membawa kenderaan ke luar negara.

“Untuk misi kedua, kami menggunakan wang simpanan serta tajaan daripada Honda dengan kos bawah RM20,000 yang mana pengalaman lepas banyak mengajar kami bagaimana untuk menguruskan kewangan dan sebagainya.

“Selepas selesai misi tersebut, kami meletakkan motosikal di Republic Czech dan pulang ke Malaysia,” tuturnya.

DENGAN motosikal kapcai, pasangan Alfi dan Diana turut mengembara ke Rusia.

Pada November 2019, mereka pergi Republic Czech untuk mengambil motosikal tersebut dan singgah ke Syria untuk menjalankan misi bantuan musim sejuk bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia.

Selepas itu mereka berdua merancang hendak meneruskan perjalanan mengelilingi seluruh negara Eropah, malangnya terkandas di Turki selama tiga bulan pada bulan Mac 2020 ekoran meletusnya virus Covid-19.

Keadaan itu menyebabkan pasangan itu terpaksa pulang ke tanah air dengan menggunakan pesawat dan hingga kini, motosikal mereka masih ‘tersadai’ di Turki.

Sepanjang mengikuti pengembaraan tiga misi itu, Alfi dan Diana telah melawati lebih 30 buah negara.

Di Eropah sahaja, antara negara yang telah dijelajahi pasangan itu ialah United Kingdom, Rusia, Perancis, Republik Czech, Belanda, Belgium, Itali, Jerman, Switzerland, Bosnia-Herzegovina dan Turki. Negara-negara lain yang disinggahi dalam perjalanan itu ialah Thailand, Myanmar, India, Iran, Pakistan, Nepal, Armenia dan Syria.

Baru-baru ini, kisah pengembaraan suami isteri itu menaiki kapcai telah tular di laman sosial apabila Alfi membuat hantaran video perjalanan mereka di akaun TikTok @kapcaipackers sehingga ramai memberikan komen positif dan tidak kurang juga yang tidak percaya sehingga mengatakan gambar serta video mereka menaiki kapcai berlatarkan Paris tersebut disunting.

“Saya tidak menyangka ia akan ‘meletup’ kerana membuat hantaran itu sekadar suka-suka dengan memuat naik kenangan kami mengembara di TikTok memandangkan ramai kawan-kawan menyarankan berbuat demikian.
“Bayangkan akaun TikTok @kapcaipackers pada awalnya hanya mempunyai tiga orang pengikut dan dalam masa 24 jam selepas video tersebut dimuat naik telah meningkat kepada 10,000 orang serta ditonton sebanyak 4.4 juta,” ujarnya yang telah empat tahun mendirikan rumah tangga.

PASANGAN ini turut tidak melepaskan peluang bergambar di satu tempat yang memiliki pemandangan indah di Livigno, Itali.

Kisah mereka bukan sahaja tular di Malaysia, tetapi turut mendapat perhatian masyarakat di Indonesia dan Thailand, malah kembara suami isteri itu juga mendapat liputan televisyen di Pakistan serta akhbar India.

Sementara itu, berkongsi cabaran-cabaran yang ditempuhi sepanjang mengikuti tiga misi pengembaraan itu Diana memberitahu, mereka pernah berdepan cuaca terlalu panas dan sejuk (salji) sehingga -10 darjah Celsius.

“Ketika berada di sempadan Iran-Pakistan, cuaca sangat panas iaitu 55 darjah Celsius sehingga terpaksa meletakkan ais di dalam baju dan kulit juga terasa seperti terbakar.

“Kami turut berdepan dengan bentuk muka bumi yang sukar dan licin kerana salji, tetapi syukur sepanjang perjalanan itu motosikal tidak pernah mengalami kerosakan cuma pernah pancit sekali ketika berada di Belanda,” katanya pengembaraan itu mengajar untuk memperbanyakkan tawakal dan jika bermusafir dengan niat yang baik, maka perjalanan itu akan dipermudahkan.

Selain itu, antara pengalaman sukar dilupakan ialah ketika di Ladakh, India apabila Alfi secara tidak sengaja terikut sekumpulan penunggang motosikal dari India melalui jalan bergunung dan jalan kedua tertinggi di dunia iaitu Chang La Pass.

“Ia merupakan detik mencemaskan kerana laluan di situ licin bersalji. Menunggang pula pada waktu malam yang gelap dengan mata rabun, keadaan jalan tidak rata (off road) dan jika tergelincir sikit boleh jatuh ke bawah.

“Rasa menyesal sangat lalu di situ kerana ia melibatkan nyawa, tetapi hendak berpatah balik sudah bergerak agak jauh,” ujarnya yang kini sedang menyiapkan buku untuk berkongsi info dan pengalaman mengembara menaiki kapcai.

Dalam keletihan dan kesejukan, mereka berhenti di sebuah kedai kecil untuk berehat serta mengisi perut. Pasangan suami isteri itu bertuah kerana dipertemukan dengan pemilik kedai yang baik hati.

Pengalaman ngeri itu tidak mematahkan semangat Alfi dan Diana untuk mengembara dan mencapai misi mereka mengelilingi seluruh negara Eropah, tetapi ia tidak dapat diteruskan buat masa sekarang kerana keadaan Covid-19 yang tidak menentu.

Akui Alfi, risiko ada di mana-mana dan dia sangat menitikberatkan keselamatan sepanjang mengembara di luar negara seperti memastikan lokasi penginapan selamat dan memaklumkan setiap pergerakan mereka kepada pihak Kementerian Luar Negeri.

Memandangkan menunggang motosikal, mereka akan meminimumkan barangan dibawa. Antaranya, pakaian harian, baju tebal untuk musim salji, khemah, peralatan memasak dan alat ganti motosikal.

Menariknya, setiap checkpoint yang bakal mereka lalu itu dibuat sendiri oleh Alfi berdasarkan impian masing-masing.

Pengembaraan itu menunaikan impian Alfi untuk melawat Switzerland yang mempunyai pemandangan sangat indah, manakala bagi Diana pula memadai berjaya menjejakkan kaki di Nepal untuk melihat gunung Everest walaupun dari kejauhan.

Alfi dan Diana berpesan kepada mereka di luar sana yang ingin mengembara agar tidak teragak-agak melakukannya kerana selepas anda berbuat demikian akan ketagih untuk terus menjelajah ke seluruh dunia.

“Keseronokan mengembara sukar untuk digambarkan dengan kata-kata kerana kita dapat mempelajari budaya, cara hidup atau melihat pemandangan indah dengan mata sendiri yang mana tidak sama dengan melihat di internet atau televisyen,” tutur mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN