BIASANYA kerja-kerja menggali lubang kubur apabila berlaku kematian dilakukan oleh orang yang sudah berusia.
Lain halnya di Tanah Perkuburan Islam Bagan Dalam di Butterworth, Pulau Pinang apabila kerja-kerja tersebut diambil alih oleh beberapa anak muda yang begitu komited melakukannya sebagai melunaskan tanggungjawab fardu kifayah dalam masyarakat.
Salah seorang daripadanya ialah Mohd. Rezuan Mohamad, 34, yang mula berjinak-jinak dengan pekerjaan itu sejak tahun 2001 sebelum mengambil alih tugas sebagai individu paling penting untuk menyiapkan kubur bagi kawasan kariah tersebut sejak tahun 2010.
Bergelar penggali kubur pada usia muda memberikan pengalaman berharga kepadanya, apatah lagi menanamkan di dalam diri bahawa ini satu tugasan penting.
——————————————————————————————————————————————————-
KOLONI semut berwarna jingga kemerahan dilihat keluar dari satu sudut tebing liang lahad yang sedang digali oleh seorang lelaki bertubuh kurus. Kumpulan semut itu merayap seperti tiada arah selepas mata cangkul yang dihayun oleh Mohd. Rezuan Mohamad, 34, terkena sarang mereka.
Ketika itu, Mohd. Rezuan baru separuh jalan menggali lubang kubur yang berkedalaman kira-kira 1.8 meter itu. Biarpun jam menunjukkan kira-kira pukul 4.20 petang, cuaca di Tanah Perkuburan Islam Bagan Dalam di Butterworth, Pulau Pinang pada hari itu agak panas terik.
Dalam keadaan seluruh tubuhnya berkeringat, Mohd. Rezuan yang sedikit rasa bersalah kerana mengganggu rumah semut berkenaan segera mencapai telefon bimbit yang tersimpan audio surah-surah al-Quran.
Dengan pantas dia memasang surah An-Naml sehingga memecah kesunyian. Surah berkenaan adalah berkisar kisah Nabi Sulaiman AS dengan semut.
Surah An-Naml menyebut mengenai budaya dan nilai-nilai kehidupan positif yang boleh dipelajari daripada semut termasuk kisah getir semut-semut ketika berdepan tentera Nabi Sulaiman.
Bagi Mohd. Rezuan, memasang bacaan surah al-Quran adalah satu ikhtiar untuk ‘meminta’ semut-semut beredar dengan cara beradab agar kerjanya pada hari itu berjalan lancar.

“Alatan menggali kubur terkena sarang semut tanpa sengaja adalah situasi biasa kerana tanah adalah habitat mereka.
“Jika disengat, memang menyakitkan dan akan mengganggu proses menggali. Tetapi saya tidak mahu membunuh mereka, sebaliknya mahu semut-semut itu beredar sendiri bagi memudahkan kerja,” katanya kepada kru Panorama baru-baru ini.
Mohd. Rezuan ditemui semasa sedang menyiapkan satu liang lahad seorang wanita pesakit Covid-19 bersama pembantu setianya, Muhamad Amirul Zulkifli, 25.
Turut menghulur bantuan adalah beberapa rakan sekampungnya yang tiba sedikit lewat.
Biarpun pada usia yang muda, Mohd. Rezuan dan Muhamad Amirul memang dikenali di kariah tersebut sebagai individu-individu utama yang akan menggali kubur sekiranya ada kematian.
Terdahulu, Mohd. Rezuan menerima panggilan telefon dari Unit Forensik, Hospital Seberang Jaya kira-kira pukul 3 petang yang memaklumkan mengenai kematian wanita berusia 67 tahun itu.
Dia diberi kepercayaan untuk menyiapkan liang lahad sekitar pukul 5 petang kerana jenazah pesakit Covid-19 perlu segera dikebumikan sebaik van jenazah tiba.
Mohd. Rezuan memulakan kerja-kerja menggali kubur pada hari itu kira-kira pukul 3.50 petang selepas mengambil beberapa peralatan yang disimpan di sebuah stor di satu sudut tanah perkuburan itu.
Menurut Mohd. Rezuan, menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 memerlukan ketepatan masa dan jenazah diuruskan dengan lebih sistematik.
“Selepas jenazah tiba, ia perlu dikebumikan segera tanpa perlu membuka keranda dan cara itu lebih memudahkan.
“Saya dan Muhamad Amirul perlu turut serta dalam urusan pengebumian pesakit Covid-19 yang diketuai pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan kadangkala disertai wakil ahli keluarga.
“Saya perlu memakai alat perlindungan diri (PPE) lengkap yang disediakan Kementerian Kesihatan termasuklah dua lapisan sarung kaki, sarung tangan dan pelitup muka mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Mohd. Rezuan berkata, dia bertuah kerana majikan di tempatnya bekerja di sebuah syarikat logistik di Butterworth memahami tugasan itu.
“Walaupun majikan bukan Islam, dia membenarkan saya pulang dari tempat kerja sebaik menerima panggilan perlu menyiapkan segera kubur.
“Namun, ia bukanlah situasi yang kerap berlaku kerana kebiasaannya saya akan mengambil cuti separuh hari apabila ada jenazah yang perlu diuruskan,” katanya.
Jelas Muhamad Rezuan, dia mula membiasakan diri dengan pekerjaan itu sejak tahun 2001 sebelum mengambil alih tugas sebagai individu paling penting untuk menyiapkan kubur bagi kawasan kariah tersebut sejak tahun 2010.
Sementara itu, menurut Muhamad Amirul, bergelar penggali kubur pada usia muda memberikan pengalaman berharga kepadanya, apatah lagi menanamkan di dalam diri bahawa ini satu tugasan penting.
“Pada awalnya saya sekadar mengikut ayah menggali kubur sejak usia belasan tahun lagi dan selepas ayah berhenti melakukannya, dia meminta saya meneruskan pekerjaan ini sejak tiga tahun lalu.
“Apabila menjadi penggali kubur bagi kariah ini, sudah menjadi kebiasaan saya melakukan tugasan berkenaan tidak kira masa termasuk pukul 2 pagi atau 6 pagi.
“Bagi saya ini ialah tanggungjawab dan fardu kifayah, apatah lagi tenaga muda saya amat diperlukan,” katanya.

Sementara itu, tepat pukul 5.30 petang, van jenazah tiba di pagar tanah perkuburan itu sebelum keranda kayu wanita itu mula diusung ke liang lahad lima minit kemudian.
Seramai 11 orang terlibat termasuklah petugas APM, dua wakil ahli keluarga serta Mohd. Rezuan dan Muhamad Amirul yang lengkap mengenakan PPE serba putih.
Pada pukul 5.40 petang, jenazah selesai dikebumikan. Bacaan talkin ringkas dimulakan pukul 5.42 petang sebelum proses sanitasi di sekitar kubur dan ke atas semua petugas selesai dilakukan oleh dua petugas APM pada pukul 5.46 petang.

Jenazah tersebut merupakan jenazah kelapan pesakit Covid-19 yang diuruskan Mohd. Rezuan dan Muhamad Amirul pada bulan lalu.














