PETALING JAYA – Persaingan dalam kalangan pemandu lori untuk mengejar trip semata-mata mahukan pendapatan lumayan mendorong segelintir daripada mereka terlibat dalam pengambilan dadah.
Difahamkan, seramai 20 peratus atau 20,000 daripada anggaran keseluruhan 100,000 pemandu lori di negara ini dikesan terlibat dalam aktiviti tidak berfaedah itu demi mengejar trip perjalanan.
Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Penyatuan Pemandu Darat Malaysia, Mohd. Khairillah Md. Ali berkata, jumlah mereka yang terjebak dengan pengambilan najis dadah juga dipercayai semakin bertambah setiap tahun.
“Hasil maklumat yang saya peroleh, kebanyakan pemandu yang terlibat adalah mereka yang berumur bawah 40 tahun.
“Mereka biasanya mengambil dadah jenis syabu dan pil kuda dengan alasan bagi menghilangkan rasa mengantuk dan memberi kecergasan ketika memandu jauh,” katanya kepada Kosmo!.

Menurutnya, persaingan dalam mengejar trip amat penting bagi segelintir pemandu lori kerana mereka mampu memperoleh gaji mencecah RM6,000 hingga RM8,000 sebulan.
“Rata-rata pemandu lori tidak mempunyai gaji pokok dan mereka bergantung kepada komisyen trip semata-mata. Biasanya, komisyen yang dibayar adalah RM300 hingga RM400 satu trip.
“Tambahan pula, ramai pemandu lori tidak mempunyai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selain tidak dilindungi sebarang insurans.
“Saya dapati, sudah ramai pemandu lori yang diibaratkan seperti ‘mati katak’ kerana mereka tidak mendapat sebarang pampasan selepas terlibat dalam kemalangan,” katanya.
Atas faktor itu katanya, ramai pemandu lori sanggup mengambil dadah bagi menghilangkan rasa mengantuk terutama bagi trip perjalanan yang jauh.
Jelas beliau, pemandu lori juga berdepan tekanan apabila terpaksa mengikut kehendak majikan yang memaksa mereka mengejar trip supaya barangan atau muatan dapat dihantar dengan cepat.
“Bila bekerja dalam tekanan, pemandu jadi terkejar-kejar sehingga mereka tidak cukup masa untuk rehat dan tidur.
“Selain kejar trip, saya tidak nafikan ada dalam kalangan mereka yang sengaja mengambil dadah kerana terjebak dengan rakan-rakan pemandu,” katanya.
Bagaimanapun jelas beliau, pihaknya menganggap perbuatan mengambil dadah tetap salah kerana boleh merisikokan nyawa orang ramai. -K! ONLINE














