fbpx
AHLI Dewan Undangan Negeri Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse (kanan) menunjukkan laporan polis dan gambar rumah mangsa yang disimbah cat di Kulai, Johor baru-baru ini.

Jerat ah long Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Pekerja Malaysia yang terkandas di Singapura menjadi sasaran mudah sindiket ah long negara itu yang didakwa lebih kejam dan tidak berhati perut dengan menggunakan
kaedah paksa rela selain mengutus konco-konco untuk mengganggu keluarga mangsa di negara ini.

Modus operandi mereka begitu licik iaitu terus memasukkan wang tanpa persetujuan mangsa sebaik mendapat butiran yang diperlukan sebelum memaksa pekerja terdesak membuat
pembayaran sebanyak dua kali ganda.

Perangkap bermula sebaik sahaja mangsa menghubungi ah long untuk bertanya mengenai pinjaman sebelum diminta memberi butiran peribadi seperti akaun bank, nombor kad pengenalan dan alamat kediaman di Malaysia.

“Ah long akan terus masukkan SG$450 (RM1,379) ke akaun tanpa persetujuan mangsa dan jika menolak, mangsa akan disuruh bayar berganda-ganda lagi.

“Jika tak bayar, sindiket akan menghantar orang atau konco-konco mereka ke rumah keluarga di Malaysia untuk memberi amaran seperti disimbah cat pada lewat malam dan menampal notis tuntut hutang,” kata Ketua Biro Aduan Awam MCA Pasir Gudang, Lim Thow Siang.

Tambahnya, setakat ini pihak­nya telah menerima lebih daripada 50 laporan melibatkan mang­sa penipuan ceti haram sejak Pe­rintah Kawalan Pergerakan dan 80 peratus daripadanya ialah pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura.

Thow Siang yang telah membantu mangsa sejak setahun lalu berkata, pihaknya percaya sindiket itu didalangi oleh individu sama berdasarkan kepada dialek Hokkien yang digunakan ketika dia menghubungi ketua ah long tersebut.

“Maklumat yang diterima mengatakan sindiket menyasarkan rakyat Malaysia di Singapura dengan menawarkan pembayaran rendah pada kadar 1 peratus. Namun bila terje­rat, mereka paksa pula bayar dua kali ganda dan ugut ahli keluarga di Malaysia,” katanya.

KONCO-konco sindiket ah long Singapura akan menyimbah cat merah pada rumah ahli keluarga pekerja Malaysia pada lewat malam sebagai amaran untuk membayar hutang. – GAMBAR HIASAN

Ujar Thow Siang, ah long akan mengupah dan menghantar konco-konconya untuk mengugut dan menyimbah cat merah ke rumah pada lewat malam.

“Peminjam yang berada di Singapura hanya menerima ugutan melalui panggilan telefon, namun kediaman mereka tidak diserang,” katanya.

Tambahnya, ia kemungkinan ah long Singapura tidak gentar dengan pihak berkuasa di sini kerana mereka beroperasi di negara jiran.

Thow Siang turut mendakwa, dalang sindiket turut mengugut mahu membakar rumahnya jika masih terus membantu peminjam.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap ugutan dibuat sindiket ah long negara itu terhadap beberapa pemimpin MCA negeri ini serta rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

“Kita bekerjasama dengan pihak berkuasa Singapura berhubung jenayah itu. Banyak juga kekangan yang dihadapi kerana melibatkan negara luar.

“Bagaimanapun, kita akan te­ruskan siasatan,” katanya.

Baru-baru ini, Mahkamah Sesyen Kulai menjatuhkan hukuman penjara lima bulan kepada seorang konco dalang sindiket tersebut selepas didapati bersalah mengugut Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhid­matan Awam MCA, Chua Jian Boon. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN