JIKA sebelum ini, komuniti nelayan darat di Empangan Timah Tasoh, Perlis boleh dikatakan agak susah dan hanya mengharapkan tangkapan ikan air tawar di situ sebagai mata pencarian sehari-hari.
Nasib mereka kini jauh berubah selepas kawasan berkenaan dijadikan santuari ikan air tawar yang menawarkan pelbagai kemudahan kepada pengunjung dengan bayaran tertentu.
Antaranya, perkhidmatan bot ronda tasik yang kini mendapat sambutan daripada para pengunjung lebih-lebih lagi selepas terperuk lama di rumah disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Salah satu tujuan santuari tersebut dibangunkan adalah bagi memberi kesedaran serta mendidik masyarakat untuk menjaga alam sekitar agar tidak tercemar kerana di dalamnya terdapat sumber makanan.
——————————————————————————————————————————————————-
DARI jauh kedengaran riuh-rendah anak-anak kecil yang teruja memberi makan dan bermain dengan ikan lampam liar di pelantar terapung di pinggir tasik Empangan Timah Tasoh, Jalan Kaki Bukit di Kangar, Perlis.
Sekali sekala terdengar kocakan air dek pergerakan ikan yang mengejutkan kumpulan kanak-kanak itu. Situasi tersebut membuatkan ahli keluarga mereka dan pengunjung lain yang sedang menunggu giliran menaiki bot ronda tasik mengelilingi Empangan Timah Tasoh tertawa.
Di satu sudut lain, beberapa pengunjung yang bersantai di depan pintu khemah begitu asyik memerhatikan gelagat sekumpulan remaja mendayung kayak dan kanu membelah alunan air yang dihembus angin dari tengah empangan.
Pemandangan tersebut boleh dilihat di Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh yang terletak kira-kira 18 kilometer (km) dari pusat bandar, Kangar dan 16km dari pekan Padang Besar.
Santuari itu merupakan habitat bagi spesies ikan air tawar seperti haruan, lampam, belida, bongkok, tilapia, peacock bass, udang galah dan lain-lain.
Santuari berkeluasan 0.86 hektar itu banyak didiami oleh anak-anak ikan spesies terbabit.

Sebelum dibangunkan sebagai antara destinasi pelancongan menarik di Perlis pada 21 April 2017, kawasan tersebut merupakan pangkalan nelayan darat yang hanya dipenuhi pancang-pancang kayu untuk menambat perahu kecil.
Mengimbau kembali detik-detik awal mengusahakan kawasan pangkalan nelayan tersebut, Timbalan Pengerusi Koperasi MyKP, Abd. Azhar Abd. Aziz berkata, segalanya adalah berkisar survival komuniti nelayan air tawar untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.
Katanya, kehidupan mereka sebagai komuniti nelayan darat sangat bergantung kepada ekosistem terdapat di empangan tersebut.
“Sebagai komuniti nelayan darat, kehidupan kami hanyalah menangkap pelbagai jenis ikan air tawar seperti lampam, belida, bongkok dan pelbagai spesies lain yang ada di sini.
“Selain menjual ikan segar, ada juga yang dijadikan pekasam untuk dijual kepada pembeli di luar sana,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.
Menurutnya, hasil daripada pelbagai aktiviti yang dianjurkan Jabatan Perikanan bersama komuniti nelayan di situ, tercetus idea untuk memulakan perkhidmatan bot ronda tasik yang kini menjadi salah satu aktiviti utama di santuari berkenaan.
“Saya adalah satu-satunya nelayan darat yang mula mengusahakan perkhidmatan bot ronda tasik di kawasan ini pada waktu itu.
“Setelah melihat idea ini mendapat sambutan, komuniti nelayan mendapat sokongan Jabatan Perikanan untuk menjalankan aktiviti pelancongan di atas tanah milik Jabatan Pengairan dan Saliran dengan penyediaan kemudahan wakaf, tandas dan surau,” ujarnya.
Bercerita lanjut, beliau memberitahu, beberapa ahli komuniti kemudian turut sama mengusahakan aktiviti bot ronda tasik dan kini terdapat sebanyak enam buah bot ronda tasik.
“Ia secara tidak langsung menambah pendapatan kami sebagai nelayan air tawar yang mencari rezeki di tasik empangan ini,” katanya.

Bagi aktiviti bot ronda tasik, bayaran sebanyak RM50 dikenakan kepada pengunjung dan hanya enam penumpang dibenarkan pada setiap trip pelayaran Empangan Timah Tasoh yang mengambil masa 30 minit.
Turut disediakan perkhidmatan sewa bot pancing untuk tiga orang yang dikemudikan sendiri pada harga RM50 dari pukul 7 pagi hingga 7 malam bagi memburu spesies ikan air tawar di kawasan tasik di empangan tersebut di luar kawasan santuari.
Lebih menarik, pihak pengurusan santuari akan membeli semula ikan pemangsa jenis peacock bass yang mengancam ekosistem empangan itu pada harga RM4 sekilogram. Ini bagi menggalakkan orang ramai mengurangkan bilangan ikan tersebut atau mengelak mereka membuangnya semula ke tasik.
Selain itu, kata Abd. Azhar, salah satu tujuan santuari tersebut dibangunkan adalah bagi memberi kesedaran serta mendidik masyarakat untuk menjaga alam sekitar agar tidak tercemar kerana di dalamnya terdapat sumber makanan.
“Di kawasan santuari ini tidak dibenarkan untuk menangkap, memukat atau menjala ikan. Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk meneruskan kesinambungan spesies ikan air tawar yang ada di sini.
“Komuniti nelayan biasanya akan memukat atau menangkap ikan di kawasan lain yang terletak agak jauh dari santuari berkenaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata beliau, lebih 1,000 pelawat mengunjungi santuari sehari dengan kira-kira 600 orang pengunjung menaiki bot ronda tasik sehari sejak pergerakan rentas negeri dibenarkan pada pertengahan Oktober lalu.
“Terdapat sembilan buah gerai makanan dan minuman yang diusahakan ahli keluarga nelayan darat selain jualan pekasam beberapa jenis ikan air tawar yang ditangkap di empangan ini bagi meningkatkan taraf hidup mereka.
“Bagi menampung kos operasi, kami turut menerima sumbangan orang ramai melalui tabung-tabung yang diletakkan di sekitar kawasan ini.

“Sebahagian hasil bayaran bot ronda tasik, sewa gerai, tapak dan peralatan perkhemahan diberi kepada Koperasi Nelayan Darat Timah Tasoh Perlis Berhad untuk menguruskan infrastruktur di santuari ini,” ujarnya.
Tambahnya, setelah menerima maklum balas pengunjung, pihak komuniti amat berharap agar kerajaan negeri membantu mereka untuk menaik taraf laluan sedia kerana jalan masuk ke santuari itu agak sempit sehingga menyukarkan pergerakan kenderaan ketika berselisih.
Seorang pengunjung dari Jitra, Kedah, Nur Rasyidah Noor Hashim, 28, berkata, dia sememangnya mencari tapak perkhemahan yang selamat dan sangat berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan pihak pengurusan santuari.
“Saya membuat carian di laman sesawang Google dan sangat tertarik dengan keindahan serta aktiviti yang ditawarkan di santuari ini. Bayaran dikenakan sebanyak RM5 seorang untuk sewa tapak dan RM30 untuk satu khemah sehari.
“Kemudahan seperti tandas, surau, lampu dan bekalan elektrik bagi mengecas telefon disediakan pihak pengurusan, malah liputan rangkaian komunikasi juga baik. Lokasi ini sangat sesuai untuk membawa ahli keluarga merasai sendiri pengalaman perkhemahan keluarga di tepi tasik dengan panorama indah,” katanya.

SELAIN melakukan aktiviti air, terdapat juga pengunjung yang mengambil peluang untuk melakukan aktiviti berkhemah bersama keluarga dalam suasana santai.
Seorang lagi pengunjung, Wan Mazlin Nur Imani Wan Yahaya, 22, berkata, dia mengetahui lokasi santuari itu selepas membuat carian di Facebook dan sangat teruja apabila mengetahui terdapat aktiviti air seperti berkayak dan kanu.
“Saya seronok mencuba aktiviti air di sini serta berpeluang mempelajari bagaimana untuk mendayung kayak.
Harga ditawarkan juga berpatutan dan sesuai untuk dijadikan tempat aktiviti berkumpulan,” ujar gadis berasal dari Kelantan itu.














