SELEPAS kerajaan mengumumkan negeri Melaka beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 1 Oktober lalu, Nurhafizah Basiron, 36, yang menetap di Taman Maju Jaya, Kampung Merlimau Pagi merupakan antara individu kelahiran negeri itu yang menarik nafas lega.
Peralihan fasa PPN tersebut bagai memberi petunjuk bahawa negeri bersejarah itu sudah semakin bebas daripada cengkaman penularan pandemik Covid-19 yang telah menyerang negara sejak awal tahun lalu.
Tambahan pula, pada ketika itu, perkhabaran bahawa kerajaan bakal mengumumkan kebenaran rentas negeri turut menguatkan ramalan bahawa negara kian pulih dalam melawan wabak tersebut sekali gus membolehkan rakyat kembali hidup bebas walaupun masih perlu mengamalkan kehidupan norma baharu.
Namun, keseronokan dirasai Nurhafizah tidak bertahan lama apabila dia mendapat tahu negeri itu bakal melangsungkan Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 4 Oktober lalu.
“Saya tidak kisah jika dengan pilihan raya itu boleh menstabilkan semula politik di negeri ini kerana akan memberikan faedah kepada rakyat Melaka juga. Cuma, kalau kita lihat pada kes PRN Sabah yang berlaku pada September 2020, ia jelas sekali menjadi penyumbang kepada peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di negara ini.
“Saya percaya rakyat dan pengundi dalam PRN Melaka kali ini juga tidak mahu perkara yang sama berlaku di negeri ini ketika kehidupan rakyat dan ekonomi negara sudah semakin stabil,” ujarnya kepada K2.
Biarpun menyuarakan keresahan itu, Nurhafizah yang bakal mengundi di N27 DUN Merlimau menyatakan dia tetap akan menunaikan kewajipannya sebagai pemilih pada PRN yang akan berlangsung pada 20 November ini.

Sementara itu, seorang pengundi N26 DUN Serkam, Kamil Ihsan Abd. Latif, 37, turut meluahkan bimbang dengan perjalanan PRN terutama apabila memikirkan risiko kebarangkalian jangkitan kes positif akibat Covid-19 akan meningkat kembali.
“Sebelum ini, saya pernah dijangkiti Covid-19 peringkat dua. Beberapa orang ahli keluarga saya turut disahkan positif dan kami telah melalui keperitannya sewaktu menjalani kuarantin selama 14 hari. Walaupun kini sudah kembali pulih, tetapi ada dalam kalangan keluarga kami yang lain tewas dan meninggal dunia gara-gara wabak berbahaya ini.
“Jadi, apabila dikatakan Melaka bakal menghadapi PRN, sejujurnya saya sangat bimbang. Boleh dikatakan saya sudah fobia dengan penangan wabak Covid-19 ini. Tapi apa boleh buat, tarikh pengundian sudah ditetapkan dan saya akan tetap mengundi bagi menjalankan tanggungjawab saya buat kali keempat,” katanya yang kini bekerja di sektor swasta di Shah Alam, Selangor.
PRN Melaka diadakan selepas DUN Melaka dibubarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkuat kuasa pada 4 Oktober lalu. Keputusan itu dibuat sebagai langkah untuk menghentikan kemelut politik yang sedang melanda negeri itu apabila Sulaiman hilang majoriti sokongan susulan tindakan empat ADUN daripada blok kerajaan menarik sokongan terhadap kepimpinannya.
Menyedari perlunya usaha mengekang penularan Covid-19 semasa berlangsungnya PRN Melaka, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar sebelum ini mengumumkan larangan aktiviti perhimpunan dan majlis sosial berkaitan pilihan raya.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh pada hari penamaan calon PRN Melaka pada 8 November lalu memberitahu, prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan pilihan raya tersebut telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, SOP khas yang ketat itu bukan sahaja melibatkan proses penyediaan kertas undi sehingga hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi, tetapi turut melibatkan larangan yang dikenakan terhadap semua calon dan parti politik bertanding. Antara yang dilarang termasuklah ceramah secara terbuka, aktiviti ziarah rumah ke rumah, perhimpunan sama ada melibatkan calon ataupun orang ramai.
Selain itu, SPR turut menetapkan calon dan parti yang bertanding dibenarkan memaksimumkan kaedah kempen menggunakan medium dalam talian atau melalui saluran media massa dan media sosial, selain berkempen melalui kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara pada waktu yang ditetapkan dalam permit.

Diminta mengulas mengenai PRN Melaka, Penganalisis Politik yang juga Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media dan Industri Kreatif, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Dr. Syed Agil Alsagoff berkata, semua pihak seharusnya menjadikan PRN Sabah sebagai pengajaran dalam melaksanakan pilihan raya ketika negara masih dilanda penularan kes Covid-19.
Jelasnya, kini bukan masanya untuk menunding jari bagi mencari salah siapa yang telah menyebabkan terbubarnya DUN Melaka sehingga membawa kepada berlangsungnya DUN Melaka pada 20 November ini.
“SPR telah membuat keputusan berhubung tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian.
“Jadi, pada pandangan saya, apa yang perlu diberi fokus pada ketika ini ialah bagaimana untuk melaksanakan PRN tersebut agar tidak menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 seperti yang berlaku di PRN Sabah sebelum ini.
“Saya yakin, penularan kes Covid-19 dapat dikawal dan disekat sekiranya semua pihak yang terlibat sama ada parti-parti yang bertanding, petugas pilihan raya, para pengundi mahupun orang awam yang berada di Melaka ketika itu mematuhi segala SOP ditetapkan pihak berkuasa,” ujarnya.

Menurut Syed Agil lagi, sebagai norma baharu dalam pelaksanaan pilihan raya ketika penularan Covid-19, terdapat beberapa perkara yang harus dielakkan khususnya oleh calon dan parti yang bertanding.
Jelasnya, ini termasuklah pengawasan dalam aktiviti berkempen dari rumah ke rumah, kunjungan ke rumah pengundi yang berisiko tinggi dijangkiti wabak seperti warga emas, selain mengelak berhimpun di mana-mana lokasi terutama bagi tujuan berkempen.
“Sekiranya perlu berkunjung bagi tujuan meraih undi, pihak berkuasa terutamanya SPR dan polis perlu mengehadkan jumlah individu yang terlibat bagi mengurangkan risiko berlakunya kontak rapat.
“Selain itu, setiap parti politik dan calon yang bertanding juga perlu mengehadkan jumlah penyokong mereka ke satu jumlah maksimum yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi mengelak berlakunya pertembungan penyokong antara sesama calon yang akhirnya menyebabkan risiko berlakunya perhimpunan secara tidak sengaja,” katanya.
Tegas Syed Agil, walaupun populasi dewasa di negara ini yang sudah lengkap menerima vaksinasi pencegahan Covid-19 melebihi kadar 95 peratus, namun tidak patut dijadikan alasan bahawa masyarakat kebal daripada dijangkiti virus tersebut.
Justeru katanya, adalah sangat mustahak untuk semua pihak agar mematuhi peraturan serta tidak mengabaikan rutin mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera di setiap lokasi persinggahan mereka khususnya sepanjang berada di negeri itu.
Hal ini katanya, bagi membolehkan pihak berkuasa khususnya KKM mengesan dengan lebih cepat individu-individu yang berisiko dijangkiti Covid-19 sekiranya sesuatu lokaliti itu dikesan mempunyai kes positif dalam tempoh sebelum, semasa dan selepas PRN Melaka berlangsung.














