KUALA LUMPUR – Dianggarkan lebih 200 peminat tegar PlayStation 5 (PS5) naik berang apabila tempahan alat permainan konsol popular itu yang nilai keseluruhan hampir jutaan ringgit daripada seorang lelaki sejak beberapa bulan lalu masih gagal dipenuhi.
Malah, cubaan ‘kaki game’ terlibat untuk mendapatkan semula wang daripada si ‘wakil penjual’ terbabit juga gagal apabila lelaki itu tidak berbuat demikian, sebaliknya terus berjanji untuk segera menyelesaikan masalah.
Lelaki itu dikatakan berjaya menarik ramai pembeli selepas menggunakan nama beberapa individu popular seperti instafamous serta atlet sukan yang telah membeli PS5 daripadanya dan menerima alat permainan itu dalam tempoh singkat.
Difahamkan, lelaki terbabit menjual PS5 pada harga yang lebih mahal kira-kira RM500 berbanding pasaran, namun pembeli dikatakan mampu memperoleh gajet itu dengan lebih cepat.
Seorang pembeli, Kamil Steven, 33, berkata, dia mengetahui mengenai penjualan PS5 itu daripada lelaki terbabit pada Ogos lalu ketika melayari Instagram.
“Dia menjual permainan itu pada harga RM2,700. Pada awalnya, saya khuatir jika laman itu milik scammer, namun saya cuba memberanikan diri dengan menghantar direct message melalui Instagram itu sebelum dibalas seorang lelaki.
“Saya juga pernah berjumpa lelaki terbabit yang berusia 23 tahun yang mengaku dari sebuah negeri di utara tanah air di sebuah hotel di ibu negara sebanyak dua kali,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Kamil memberitahu, pertemuan itu bagi membincangkan mengenai urusan jual beli PS5.
Katanya, setelah yakin dengan lelaki terbabit, dia telah membeli lima unit PS5 daripadanya.
“Pada awalnya, kelima-lima unit PS5 yang dibeli itu telah saya peroleh.
“Saya kemudian mempelawa pula kira-kira 20 rakan saya untuk membeli PS5 daripada individu yang sama.
“Saya yang bertanggungjawab menguruskan pembelian 12 unit PS5 dengan transaksi berjumlah RM27,100 pada bulan lalu selepas ditawarkan lelaki terbabit pada harga yang lebih murah,” ujarnya.
Kamil mendakwa, bagaimanapun bagi pembelian kali kedua itu berlaku masalah besar apabila PS5 ditempah masih belum diperoleh, malah lelaki terbabit memberi pelbagai alasan termasuk gagal dihubungi sejak beberapa hari lalu.
Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan mereka terpaksa membuat laporan di Balai Polis Rawang kelmarin kerana merasakan diri sudah tertipu.














