fbpx
Seorang pegawai perubatan memeriksa gigi Salwa Mad Saad di kediamannya di Pulau Aman dekat Batu Kawan hari ini. FOTO: IQBAL HAMDAN

Teruja doktor gigi masuk Pulau Aman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Penduduk di Pulau Aman dekat Batu Kawan di sini dikejutkan dengan kehadiran doktor dan sekumpulan jururawat di kediaman mereka hari ini.

Rata-rata penduduk berusia di antara 20 hingga 54 tahun itu meluahkan rasa terkejut dan teruja setelah pertama kali dikunjungi kumpulan perubatan itu menerusi Program Kampung Angkat Pergigian bersempena Minggu Kesedaran Kanser Mulut 2021 yang diketuai Pegawai Perubatan, Dr. Muhammad Hafiz Yaakob bersama 15 kakitangan termasuk pegawai perubatan dari Klinik Pergigian Nibong Tebal.

Seorang penduduk, Salwa Mad Saad, 54, yang lumpuh separuh badan berkata, dia tidak menyangka yang kediamannya akan dikunjungi sekumpulan jururawat bagi menjalani pemeriksaan gigi.

“Sudah bertahun tidak periksa gigi setelah lumpuh sejak 10 tahun lalu. Terkejut sebaik doktor mai (datang) depan pintu rumah dan memperkenalkan diri sebelum meminta memeriksa gigi.

“Pertama kali doktor periksa gigi di rumah dan kami tak perlu seberang laut menaiki bot untuk ke klinik,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Sarina Harun, 54, pula memberitahu, dia menyambut baik program angkat yang julung kali diadakan di Pulau Aman.

“Ini sememangnya memberi satu kemudahan buat kami dan tidak perlu lagi mengambil masa lama untuk ke klinik gigi yang terletak di Seberang.

“Anak dan dua cucu gembira dapat periksa gigi percuma dan mempelajari cara menggosok yang betul dan sebagai persiapan awal sebelum sesi persekolahan dibuka pada 22 November nanti,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN