KUALA LUMPUR – Pendedahan seorang wanita yang mendakwa seorang pegawai berpangkat Deputi Superintendan (DSP) mahu meminjam wang RM100,000 daripadanya untuk membeli pangkat telah membongkar sisi negatif pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Laporan polis yang dibuat ibu tunggal itu pada 7 Oktober lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor sekali gus membongkar rahsia kemungkinan aktiviti penjualan pangkat masih wujud dalam PDRM.
Perkara itu turut didedahkan sebuah laman di Twitter yang mendakwa penjualan pangkat untuk pegawai kanan polis bermula pada harga RM30,000 hingga RM100,000 mengikut jenis pangkat yang dihajati.
Pegawai-pegawai kanan polis yang mempunyai duit didakwa mampu memperoleh pangkat lebih tinggi, manakala yang tiada duit, mungkin terpaksa menunggu kenaikan pangkat.
Malah, perkara itu diakui sendiri oleh Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Hussin Awang Ngah yang mendedahkan bahawa pembelian pangkat memang berlaku dalam jabatan berkenaan sejak dahulu lagi melibatkan pegawai kanan.
“Semakin tinggi pangkat, maka makin mahal bayarannya. Jumlahnya mungkin dalam puluhan ribu ringgit bergantung kepada perbincangan antara kedua-dua pihak yang terlibat.
“Saya tidak nafikan ada ‘ejen’ dalam kalangan pegawai kanan PDRM yang mengatur urusan temu duga dan keputusan termasuk bayaran yang perlu dibuat oleh calon (pegawai kanan) yang hadir temu duga.
“Bayaran ini disyaki akan dibuat kepada panel atau Ahli Jawatankuasa Temuduga dan juga pihak tertentu dalam Jabatan Pengurusan.
“Kebanyakan yang terlibat dalam pembelian pangkat adalah pegawai yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, perbuatan jual beli pangkat itu jelas dikategorikan sebagai satu rasuah.
“Angkara ‘nila setitik, rosak susu sebelanga’, disebabkan segelintir pegawai yang tidak telus, semua nama pegawai polis turut terpalit,” ujarnya.
Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan mengakui perbuatan membayar wang untuk kenaikan pangkat memang sudah wujud sejak dahulu lagi, namun kes berkenaan sangat terpencil.
Tegasnya, ketika beliau memegang jawatan KPN, perbuatan berkenaan dipantau secara tegas dan serius oleh Jabatan Tatatertib sehingga ia dapat ditangani.
“Dahulu Jabatan Tatatertib berada di bawah KPN, jadi sebagai KPN saya akan arahkan jabatan itu untuk ambil tindakan tegas sekiranya wujud salah laku dan salah guna kuasa dalam kalangan pegawai dan anggota.
“Sememangnya dahulu kita pantau semua, jadi kita dapat kurangkan perkara-perkara ini. Namun, sekarang kita tidak tahu siapa pantau siapa,” ujarnya
Menurutnya, beliau tidak pasti sama ada perbuatan itu masih berlaku atau sebaliknya dalam pasukan PDRM sekarang.
“Apa yang boleh saya katakan, kalau tiada permintaan, tidak mungkin ada orang nak bayar. Mesti ada orang atasan yang minta.
“Jika ikut logik, mustahil pegawai bawahan banyak duit untuk bayar kepada pegawai atasan dalam urusan ini,” ujarnya.
Justeru itu, beliau berkata, sekiranya perbuatan sedemikian wujud, KPN melalui Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman perlu mengambil tindakan tegas terhadap pegawai atasan yang membuat tawaran berkenaan.
“JIPS kena siasat dan kenal pasti siapakah pegawai atasan yang terlibat,” ujarnya.
‘Jika tak boleh setia pada sumpah, elok berhenti kerja’
PETALING JAYA – “Rasuah bukan batu loncatan untuk kenaikan pangkat, seharusnya setiap anggota dan pegawai perlu mengikut saluran yang betul untuk proses tersebut.”
Itu nasihat bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) kepada semua anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang masih bertugas.
Meor Chek Hussien berkata, sepanjang beliau berada dalam pasukan itu sebelum ini, tiada kes sedemikian dilaporkan.
Bagaimanapun, katanya, PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat mana-mana dakwaan berkaitan kegiatan tersebut bagi membersihkan segera nama baik pasukan tersebut.
“Proses kenaikan pangkat ini haruslah melalui proses yang betul iaitu menerusi penilaian dan merit, bukannya secara rasuah,” katanya.
Pada masa sama, Meor Chek Hussien turut mengingatkan semua anggota dan pegawai yang masih bertugas supaya mereka tidak melanggar sumpah serta ikrar taat setia yang dilafazkan semasa mula menyertai pasukan.
“Jika berpegang kepada sumpah sebelum ini, mereka tidak akan melanggar undang-undang, tidak melanggar tatasusila dan kesopanan kerana semua itu ada terkandung ketika mengangkat sumpah dan ikrar taat setia.
“Jadi mengapa harus kita mungkir kepada sumpah yang telah dilafazkan itu? Jika kita tidak boleh patuh kepada sumpah itu, elok berhenti dan tidak perlu lagi bekerja dalam PDRM. Polis ini harapan orang ramai dan apa jua yang kita lakukan akan berbalik kepada polis.
“Polis ini juga umpama pelindung kepada mereka (rakyat), jika pelindung ini tidak betul, apa yang nak dilindungkan lagi,” ujarnya. -K! ONLINE




















