MUTAKHIR ini, kopi telah menjadi minuman pilihan ramai tanpa mengira usia.
Tidak hairanlah banyak kedai kopi jalanan dibuka, terutamanya dalam kalangan anak muda.
Sebelum ini, kopi jenis arabica dan robusta sering menjadi pilihan ramai dan pokok kopi ini banyak ditanam secara komersial oleh petani di seluruh dunia.
Pada masa kini pengeluaran dunia untuk kopi arabica adalah sebanyak 70 peratus, manakala robusta pula sekitar 28 peratus.
Jika petani lain memilih untuk menanam kopi arabica dan robusta secara komersial, lain pula halnya bagi seorang anak muda, Adam Esham, 21, yang mengusahakan tanaman kopi liberica.
Menurutnya, liberica merupakan jenis kopi yang unik kerana pengeluarannya satu peratus sahaja di dunia.
“Saya memilih menanam kopi liberica kerana ingin menjadikannya sebagai kopi berkualiti tinggi. Liberica ini kita jadikannya sebagai specialty coffee.
“Sebenarnya jika kita boleh meningkatkan kualiti kopi, ia boleh dijual pada harga lebih tinggi,” jelasnya.
Ujarnya, itulah yang dia ingin tekankan kepada petani lain untuk membuat perkara sama agar kopi yang dihasilkan dapat dipasarkan pada harga lebih tinggi dan boleh memberikan keuntungan kepada mereka.
Adam yang juga merupakan pengusaha House of Kendal yang mengusahakan tanaman dan menghasilkan kopi menjelaskan, kopi liberica sesuai ditanam kawasan tanah rendah dan Malaysia amat sesuai untuk tanaman tersebut membesar.
Dia sendiri mengusahakan tanaman tersebut sebanyak 1,000 pokok kopi jenis itu di ladang seluas 8.09 hektar di Batu Pahat, Johor.
Kopi liberica juga mempunyai keunikan tersendiri kerana dikatakan mempunyai kandungan gula tertinggi berbanding jenis kopi lain yang ditanam secara komersial.
Kopi ini berpotensi untuk menghasilkan profil rasa yang lebih manis jika biji kopinya dipanggang dengan betul.

Selain itu, buah dan biji kopinya juga lebih besar berbanding jenis arabica dan robusta.
“Rasa kopi liberica ini juga berbeza dengan kopi arabica. Rasa liberica lebih kepada buah-buahan tropika, manakala untuk arabica, lebih kepada sitrus,” jelas Adam.
Dalam sebulan dia dapat menuai sehingga 200 kilogram (kg) buah kopi liberica untuk diproses menjadi produk akhir iaitu biji kopi.
Kebiasaannya, setelah diproses, biji kopi yang dapat dihasilkan olehnya adalah sekitar 150kg.
Menurutnya, dia dan pekerja yang menguruskan proses penghasilan kopi dari proses menanam hingga memanggang biji kopi menjadi produk akhir.
“Harga biji kopi ini yang berkualiti tinggi boleh mencecah sehingga RM300 sekilogram.
“Selain memasarkannya di pasaran tempatan, kami juga turut mengeksport kopi liberica ke pasaran luar seperti Kanada, Amerika Syarikat, Singapura dan beberapa negara di Eropah,” ujarnya.
Dalam pada itu, pokok kopi liberica mengambil masa hampir tiga tahun untuk membesar sebelum boleh dituai hasilnya.
“Selepas pokok ini membesar dan menghasilkan biji kopi, kita boleh menuainya setiap bulan.
“Inilah antara kelebihan yang ada pada pokok kopi liberica.
“Selain itu, kita juga harus sentiasa menjaga pokok-pokok ini sebaiknya ketika sedang membesar agar dapat menghasilkan buah yang lebih berkualiti,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, berbicara tentang penglibatannya dalam industri kopi, Adam menjelaskan, dia terlibat dalam bidang itu sejak 2017 lagi.
Menurutnya, pada ketika itu dia baru berumur 17 tahun setelah tamat persekolahan.
Pada mulanya, dia ingin menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan, tetapi disebabkan keputusan peperiksaan kurang memuaskan, sukar baginya untuk berbuat demikian.
“Atas sebab itu, saya mengambil keputusan untuk bangunkan semula industri kopi yang sebelum ini pernah diusahakan oleh keluarga saya,” jelasnya yang memiliki diploma dalam bidang kopi daripada Specialty Coffee Association.
Menurutya, dia turut dibantu oleh bapanya dalam mengusaha dan membangunkan perniagaan tersebut.
Dalam pada itu, Adam menjelaskan, keluarganya terlibat dengan penanaman pokok kopi di Batu Pahat sejak tahun 1890 lagi.

Katanya, pada waktu itu, warisan keluarganya berhijrah dari Kendal, Semarang, Indonesia ke Singapura sebelum datang ke Batu Pahat dan mengusahakan ladang kopi.
Namun pada tahun 1960-an, ladang kopi yang diusahakan oleh keluarganya terbakar disebabkan gelombang panas.
Sejak itu, ladang tersebut digantikan dengan tanaman getah dan kelapa sawit.
Bagaimanapun, beberapa tahun lalu, Adam dan bapanya mengambil keputusan untuk menghidupkan semula perniagaan warisan keluarga mereka dengan menanam pokok kopi liberica.
Keputusan yang dilakukan Adam itu amat tepat dan kini tanaman kopi liberica yang diusahakannya semakin berkembang maju.
Di samping itu, Adam turut menyimpan impian untuk membantu dan mengembangkan lagi komuniti yang mengusahakan tanaman kopi liberica.
“Kami ingin mengembalikan kegemilangan kopi liberica. Di House of Kendal, kami turut membantu menguruskan sekumpulan pekebun kecil yang menanam tanaman ini, selain berusaha agar mereka mendapat pulangan lebih baik.
“Misi kami juga adalah untuk membina satu perusahaan yang menguntungan dan lestari.
“Ia dilakukan dengan menjalinkan hubungan lebih erat, di samping bekerjasama dengan mereka yang terlibat dalam industri ini,” jelasnya menutup bicara.














