fbpx
JULIA FARHANA

Julia Farhana tolak gosip murahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEREMPUAN jahat! Barangkali itu yang sering terpacul di mulut penonton drama tempatan saat melihat onar dan kelakuan pelakon bermata bundar itu di kaca televisyen.

Syurga Untukmu, Puteri Yang Ditukar, Cinta Fatamorgana dan Setelah Cinta Itu Pergi, sekadar menyebutkan beberapa judul, semuanya menonjolkan sisi hitam karakter watak yang dijayakannya.

Biarpun begitu, momentum karier si pemilik nama pentas Julia Farhana Marin itu bergerak cemerlang selama empat tahun bergelar pelakon.

Jujurnya diakui, campaklah apa sahaja watak, dia mampu melunaskannya dengan sukses biarpun sekadar pelakon pembantu, paling ketara watak antagonis.

Bahkan, watak yang dibenci ramai sebegitu membuatkan namanya mula dikenali.

Meskipun sedikit asing bagi sesetengah khalayak, wajahnya sering menjadi penyeri hampir setiap drama yang ditayangkan untuk slot-slot popular kaca televisyen tempatan.

Akur dengan realiti tersebut, Julia menyifatkan tawaran watak antagonis sebagai hujan rezeki yang tidak pernah berhenti membasahi kariernya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Antagonis

Tidak kisah dikenali menerusi watak sebegitu, Julia mahu mengukuhkan namanya ke tahap lebih tinggi.

“Pada pendapat saya, kebanyakan pelakon baharu memang sering ditawarkan watak sebegitu dan sukar mendapat peluang memegang watak utama.

“Tetapi sebagai pelakon yang selalu menjadi individu ‘jahat’ dalam drama, memegang watak antagonis merupakan peluang yang bagus untuk menajamkan skil lakonan,” ujar aktres berusia 26 tahun itu.

Menurut Julia, penonton perlu membuang persepsi bahawa watak antagonis sekadar picisan dalam sesebuah naskhah. Peranan tersebut sebaliknya mampu melonjakkan plot, sekaligus meningkatkan keterujaan tontonan.

“Saya bersyukur kerana dengan watak jahatlah yang membuatkan saya mula mendapat tawaran memegang peranan utama dan protagonis. Bukan perjalanan yang mudah bagi saya untuk sampai ke tahap tersebut, namun itulah cabaran yang perlu saya hadapi.

“Peluang itu membuktikan kerja keras saya berbaloi. Saya puas dapat melakonkan watak sebegitu. Bukan semua pelakon dapat menjayakan watak antagonis dengan baik,” tuturnya yang pernah bekerja dalam bidang perbankan sebelum melangkah ke dunia seni.

Akui Julia, disebabkan kekerapan menjayakan watak antagonis, dia sering dihujani mesej berbaur kecaman daripada netizen.

Paling banyak kecaman diterimanya sewaktu drama bersiri Setelah Cinta Itu Pergi disiarkan.

Katanya, dia tidak kisah dengan perkara tersebut kerana menganggapnya sebagai lumrah sebagai artis, sekali gus membuktikan dirinya berjaya menyampaikan sesebuah tugasan dengan baik.

Julia juga bersyukur kerana berpeluang mencuba pelbagai watak walaupun boleh dianggap baru setahun jagung dalam bidang lakonan.

“Alhamdulillah saya sudah melakonkan bermacam-macam watak. Selepas ini saya mengimpikan untuk memegang watak wanita yang alami masalah kecelaruan personaliti, pasti mencabar dan itu yang saya mahu,” ujarnya lagi.

Bercakap soal watak, Julia sebenarnya mengamalkan sikap terbuka dengan apa sahaja tawaran dan tidak meletakkan syarat yang boleh menyekatnya daripada berkarya lebih kreatif.

“Cara saya mudah, jika kru terlibat termasuk pengarah dan barisan pelakon bersikap profesional, saya boleh terima walau macam mana sekali pun permintaan babak atau watak tersebut.

“Saya tak suka sesuatu yang rumit, jika saya tak selesa atau kurang gemar ketika pengambaran, saya akan terus suarakan. Setakat ini saya bersyukur kerana tidak melalui pengalaman teruk dengan mana-mana produksi,” katanya.

Kontroversi

Mengulas tentang tahap popularitinya yang belum memuncak dan peledak nama jika ada, Julia berkongsi pendekatan tersendiri. Dia menolak ‘cara kotor’ semata-mata mahu popular.

Bagi pelakon yang popular menerusi drama Puteri Yang Ditukar itu juga, konsep kontroversi murahan dapat menaikkan nama seseorang pelakon dalam industri, tidak wujud dalam kamus hidupnya.

“Saya tidak percaya gosip boleh naikkan nama seseorang, tetapi itulah hakikat yang berlaku pada hari ini. Jika ada gosip panas pasti nama seseorang artis akan terkenal secara mendadak.

“Jadi, saya lebih selesa mendaki perlahan-lahan dengan mempamerkan bakat serta kualiti lakonan berbanding dikenali kerana gosip tidak baik,” kata anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu.

Pelakon berdarah campuran Melayu-Itali itu juga berpendapat, populariti seseorang artis akan datang dengan sendiri, terutama apabila berpeluang memegang watak yang mampu melonjakkan impak lakonannya ke mata penonton secara meluas.

“Saya yakin masa dan peluang itu akan tiba, jadi tak perlu mengejarnya sekarang. Lebih baik saya memperbaiki mutu lakonan sahaja.
“Saya kekal dengan prinsip tidak berkongsi kehidupan peribadi kepada umum.

Kebanyakan yang saya kongsi dalam media sosial ialah berkaitan kerja, saya tak popular kerana kehidupan peribadi,” getusnya mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN