fbpx
LAMAN web ini dibangunkan khusus untuk mengenang kembali pemergian mangsa pandemik Covid-19.

Portal memorial Covid-19 kenang pemergian mangsa pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SEBAGAI individu dan bekas pesakit Covid-19, saya amat berbangga serta menghargai usaha individu yang membangunkan memorial cukup bermakna ini,” tutur Aiza Syafinaz Shahak, 24, balu kepada Inspektor Mohd. Fairos Saberon sebaik diberitahu nama suaminya dipahatkan dalam laman web Memorial Covid-19 Malaysia.

Laman web tersebut dibangunkan sekumpulan sukarelawan bagi memperingati dan memberi penghormatan buat insan-insan yang terkorban akibat Covid-19 di negara ini.

Kehilangan suami tercinta tanggal 26 Mac 2020 selepas lapan hari ‘bertarung nyawa’ melawan Covid-19, hati wanita ini begitu terusik dan air mata jernihnya mengalir perlahan tatkala mengenangkan peristiwa tersebut.

Akuinya, perasaan bercampur-baur antara sedih, sayu dan bangga saling bermain di jiwanya melihatkan ada insan yang mengingati dan menzahirkan perjuangan suaminya menentang wabak dalam laman web tersebut.

“Memorial ini sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduan yang tidak pernah bertepi.

“Bagi saya, ini merupakan tanda penghormatan buat semua pejuang Covid-19 yang menjadi insan ‘terpilih’ dan terkorban. Seharusnya usaha untuk memuatkan foto-foto pejuang Covid-19, terutamanya petugas barisan hadapan wajar dipahatkan dalam laman web ini,” katanya.

AIZA SYAFINAZ akui masih terkesan dengan pemergian arwah suaminya hampir dua tahun lalu.

Bukan sahaja diuji dengan kematian suami, wanita itu juga pernah diuji menjadi pesakit Covid-19 selepas beberapa hari kematian suaminya sehingga perlu dirawat hampir 12 hari di Hospital Kuala Lumpur.

Biarpun banyak episod duka singgah dalam kamus hidupnya, namun usahawan produk makanan itu kelihatan cukup tabah dan berjaya keluar daripada perasaan tersebut.

Akui Aiza Syafinaz, dia menganggap semua yang terjadi adalah ujian daripada Yang Maha Esa untuk menaik taraf darjat hamba-Nya. Lantaran itu, wanita ini bangkit melawan emosi sendiri.

Sejak negara dilanda pandemik Covid-19 awal tahun lalu, kematian demi kematian direkodkan dan ramai yang diuji dengan kehilangan orang tersayang.

Sehingga semalam, 27,265 kematian akibat wabak Covid-19 direkodkan di negara ini meliputi 1.17 peratus daripada 2,327,246 kes positif yang dikesan.

Melihatkan situasi tersebut, Aidila Razak, 37, terpanggil untuk membangunkan laman web Memorial Covid-19 Malaysia.

Terang wanita yang berasal dari Kuala Lumpur ini, laman web tersebut dibangunkan untuk memperingati lebih 26,000 mangsa Covid-19 di Malaysia yang dibuat dalam bentuk memorial.

Selain mengumpulkan butiran mangsa Covid-19 menerusi laporan akhbar dan hantaran awam di media sosial, laman web itu juga membolehkan waris atau kenalan si mati menghantar gambar dan butiran insan tersayang yang terkorban.

“Sebelum ini, saya termasuk dalam pasukan di sebalik Kini News Lab Covid-19 Tracker yang mana setiap hari saya akan merekod statistik kematian akibat wabak.

“Pada satu ketika, Kementerian Kesihatan akan memberi senarai iaitu setiap kematian yang diperincikan dari segi umur, tempat kematian, berapa lama di hospital, penyakit lain dan sebagainya.

“Tetapi saya lihat ia hanyalah berbentuk nombor dan statistik. Jadi, saya terfikir perlunya kita mengenali mereka yang telah pergi. Ini kerana, mereka semua merupakan individu yang disayangi dan bukan sekadar nombor.

“Misi laman web ini hanyalah satu iaitu memperingati mangsa Covid-19 di Malaysia supaya kita boleh berkabung bersama serta meraikan kehidupan mereka yang terkesan,” terangnya yang enggan berkongsi foto dirinya.

SEJAK awal tahun lalu, Malaysia telah merekodkan lebih 26,000 kematian akibat pandemik Covid-19. – gambar hiasan

Ujarnya lanjut, tatkala angka kematian mencecah 10,000 orang pada awal Ogos lalu, dia mula mengutarakan jemputan kepada mana-mana individu yang berminat untuk membuat memorial secara dalam talian.

Daripada situ, Aidila mula menubuhkan pasukan sukarelawan terdiri daripada 20 individu dan 10 daripadanya merupakan ahli aktif serta menyumbang tenaga di laman web itu hampir setiap hari.

Katanya lagi, setiap hari, kumpulan sukarelawan terbabit mengemas kini laman web itu memandangkan mereka menerima ratusan hantaran memorial untuk disemak.

“Ia seperti membuat berita yang mana kami akan menyemak setiap hantaran dan cuba memastikan tiada hantaran yang berniat buruk atau palsu, selain membuat pengesahan si mati.

“Ayat-ayat tersebut juga akan ditulis semula supaya naratifnya jelas sebelum diterjemah kepada tiga bahasa iaitu Inggeris, Bahasa Melayu dan Mandarin sebelum disiarkan,” tambahnya.

Tidak hanya berfungsi sebagai memorial, laman web tersebut juga membolehkan individu yang mengenali si mati meninggalkan kata-kata penghargaan dengan harapan ia boleh menimbulkan empati dan membuang apa-apa stigma berkaitan kematian akibat Covid-19.

Bagi mengajak masyarakat memperingati mangsa, memorial tersebut turut menetapkan tanggal 19 hari bulan pada setiap bulan sebagai hari memperingati mangsa Covid-19.

“Kita tidak pernah mengalami kehilangan dalam skala besar begini dan ia bertujuan untuk membolehkan meluahkan perasaan berkenaan tragedi yang besar ini,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sebagai pasukan sukarelawan, mereka kini sedang merangka pelan sehingga tahun depan dari segi kewangan dan sumber manusia dalam memastikan laman web tersebut boleh diakses oleh umum untuk jangka masa lebih panjang.

Merupakan antara insan yang diuji dengan kehilangan, selepas isteri tercintanya dijemput Ilahi selepas hampir sebulan berperang melawan Covid-19, Ahmad Muarif Ahmad Khairudin, 30, terharu apabila nama insan yang disayanginya itu diabadikan dalam memorial tersebut.

ANAK jadi sumber kekuatan Ahmad Muarif mengharungi hidup tanpa isteri di sisi.

Lebih memilukan apabila kematian isterinya, Fitryayumi Jamaris, 29, tanggal 23 Ogos lalu berlaku selepas dua minggu selamat melahirkan cahaya mata kedua mereka, Ahmad Qhutbie Zaffran secara pembedahan.

“Sekurang-kurangnya, platform ini mampu memberi kesedaran kepada masyarakat betapa ramai yang telah terkorban akibat wabak Covid-19 dan penyakit ini memang benar.

“Jujur saya katakan, sehingga ke hari ini masih tidak dapat menerima hakikat kehilangan isteri dan membesarkan anak-anak sendirian.

“Sedih mengenangkan apa yang telah terjadi.

“Setiap kali selepas menguruskan anak, saya akan pergi ke pusara arwah isteri bagi melepaskan kerinduan dan mencari kekuatan untuk meneruskan hari-hari tanpanya,” luahnya.

Kongsi Ahmad Muarif lagi, biarpun masih lagi berperang dengan perasaannya sendiri, namun dia akui setiap insan mempunyai cara tersendiri untuk bangkit.

“Kuat semangat, jangan bersendirian, sibukkan diri dan bercampur dengan orang-orang di sekeliling.

“Kepada waris-waris yang kehilangan ahli keluarga, kawan-kawan dan saudara mara akibat pandemik Covid-19 ini, ingat perginya mereka semua dikira syahid.

“Insya-Allah, besar ganjaran pahala buat mereka,” tuturnya menutup temu bual.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN