KISAH kelibat tiga beranak berjalan dalam gelap di kawasan Gua Sejuk pada dinihari menjadikan lokasi berkenaan menyeramkan sesiapa sahaja yang melaluinya. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Orang usung mayat, kelibat 3 beranak muncul tengah malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BIASANYA kawasan yang sering berlaku kemalangan terutama di laluan berhutan, dikaitkan dengan gangguan makhluk halus yang muncul menyebabkan kenderaan yang dipandu terbabas.

Begitu juga dengan laluan Gua Sejuk yang berada di Jalan Gua Musang-Kuala Krai turut dikaitkan sebagai tempat berpuaka dan misteri disebabkan kisah kemalangan ngeri yang kerap terjadi saban tahun.

Antara kisah seram popular di laluan tersebut adalah ada pemandu kenderaan mendakwa, pernah bertemu kelibat tiga beranak berjalan dalam gelap pada waktu tengah malam, selain beberapa lagi kisah seram yang boleh menaikkan bulu roma.
—————————————————————————————————————————————————————–

GUA Sejuk yang terletak kira-kira 21 kilometer dari bandar Gua Musang sememangnya terkenal sebagai jalan ‘sakaratul maut’ kerana hampir setiap tahun laluan itu pasti meragut nyawa pengguna jalan raya.

Kebanyakan penduduk tempatan menganggap kawasan yang berada di Jalan Gua Musang-Kuala Krai itu sebagai tempat berpuaka dan misteri disebabkan kisah kemalangan ngeri yang sering berlaku di situ.

Ada cerita misteri yang masih belum terungkap selepas ramai pengguna jalan raya yang melalui kawasan maut itu mendakwa terserempak dengan pelbagai benda menyeramkan semasa memandu kenderaan pada waktu dinihari.

Menurut seorang penduduk tempatan, Mohd. Noor Ghani, 59, berkata, pelbagai kisah misteri dimomokkan hingga menimbulkan ketakutan kepada mereka yang melalui jalan itu.

Katanya, ada pengguna jalan raya yang melalui jalan tersebut mendakwa pernah bertemu kelibat tiga beranak berjalan dalam gelap pada waktu tengah malam.

“Lebih meremang bulu roma di kawasan terbabit, tiada satu pun penempatan manusia.

“Mungkin mereka yang terbabit kemalangan terkejut selepas terserempak dengan makhluk halus menyebabkan kenderaan terbabas.

“Saya juga tidak tahu kesahihannya, tetapi menurut pengalaman orang yang melalui jalan Gua Sejuk ketika sunyi tanpa sebarang kenderaan, mereka pasti dikacau dengan bayangan itu,” katanya baru-baru ini.

Katanya, selain kelibat tiga beranak, ada juga pemandu mendakwa melihat benda seram lain seperti kelibat putih berterbangan, bayangan orang mengusung mayat serta wanita mendukung anak.

Ramai menyarankan agar tidak sesekali melalui jalan menyeramkan itu ketika waktu malam atau dinihari jika semangat tidak kuat.

“Perjalanan sepanjang jalan Gua Musang sememangnya mencabar. Suasana sunyi, jalan berbukit dan dikelilingi hutan memberi debaran kepada pemandu terutamanya pada waktu malam atau awal pagi.

“Mengikut cerita orang, kawasan tersebut bukan sahaja dihuni haiwan liar, malah menjadi penempatan makhluk ghaib yang sering muncul setiap kali menjelang senja hingga awal pagi,” tegasnya.

Kes 10 maut dan seorang bayi cedera parah dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Gua Sejuk 12 tahun lalu antara kejadian kemalangan terburuk pernah dicatatkan.

Pada 2019 pula, seorang wanita maut dalam keadaan tragis selepas kereta dipandunya bertembung dengan lori muatan sawit menyebabkan tangan kanannya terputus.

LALUAN Gua Sejuk di Jalan Gua Musang-Kuala Krai yang kerap berlaku kemalangan ngeri turut dikaitkan dengan makhluk ghaib. – AIMUNI TUAN LAH

Itu antara kisah kemalangan ngeri yang pastinya masih segar dalam ingatan penduduk tempatan.
Ujar Mohd. Noor, Gua Sejuk juga sesuai dengan namanya kerana sepanjang jalan suasananya begitu redup dan dingin.

“Kalau kita melalui jalan tersebut pada pukul 1 petang, kita akan merasai suasana dingin dan menyamankan walaupun ketika itu cuaca panas,” katanya.

Sementara itu, seorang pengamal perubatan Islam, Hazuari Che Hamid, 52, pula berpendapat, kekerapan kemalangan yang berlaku di laluan Gua Sejuk bukan disebabkan oleh gangguan makhluk ghaib di jalanan, tetapi percaya kejadian nahas disebabkan kelalaian pemandu itu sendiri.

Katanya, situasi cemas dialami pengguna jalan raya disebabkan beberapa faktor seperti tidak fokus dalam pemanduan, tidak mengikut peraturan jalan raya dan memandu melebihi had laju sepatutnya.

“Kalau kita lihat laluan di Gua Sejuk itu, jalannya agak lurus menyebabkan mereka memandu melebihi had laju sepatutnya hingga mengundang maut.

“Antara kejadian kemalangan yang paling saya ingati ialah nahas yang melibatkan enam beranak yang maut di tempat kejadian lima tahun lalu,” katanya.
———————————————————————————————————————————————–
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN