fbpx
SYATILLA MELVIN

Kekasih baharu Syatilla

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sejak mendirikan rumah tangga pada Februari 2016, kerjaya lakonan Syatilla Melvin boleh dikatakan berada pada skala mendatar.

Lebih selektif dengan tawaran, kehidupannya juga lebih banyak dihabiskan sebagai isteri dan ibu kepada dua cahaya mata, Syeriv Samheizy, 3, dan Sarima Samheizy, 1.

Bahkan, sejak melahirkan Sarima tahun lepas, sudah dua tahun pelakon tinggi lampai itu tidak terbabit dalam mana-mana produksi drama.

Pemilik nama Siti Nur Syatilla Amirol Melvin itu memberitahu dia sebenarnya tidak sedar masa berlalu begitu pantas.

 

“Kali terakhir saya membintangi drama ialah pada 2018 bertajuk Selafaz Cinta bersama Saharul Ridzwan. Selepas itu saya berehat panjang untuk melahirkan anak bongsu.

“Sepanjang tempoh berehat, saya mengusahakan perniagaan bawah label Kekasih By The Melvins (Kekasih) bersama adik-beradik saya. Mungkin sebab itu saya tidak begitu terasa peredaran masa yang berlalu,” katanya memulakan perbualan ketika hadir untuk sesi temu bual di Balai Berita NSTP, Bangsar bersama HibGlam baru-baru ini.

Pilihan

Saat berbicara soal Kekasih, anak mata Syatilla bersinar-sinar dan suara kedengaran sedikit teruja. Dia berkongsi agenda perancangan untuk perniagaan sulungnya itu.

Isteri kepada pelakon Shaheizy Sam itu menyifatkan Kekasih sebagai cabang baharu dalam hidupnya yang boleh diharap sebagai pelan sokongan seandainya sudah tidak relevan dalam industri seni.

Mungkin kedengaran klise tetapi itulah hakikatnya. Sebagai seorang selebriti, Syatilla sedar bahawa populariti yang ada sekarang bukanlah selamanya.

“Saya dapat lihat perbezaan status kewangan apabila hanya bergantung kepada duit lakonan semata-mata berbanding sejak saya memulakan perniagaan Kekasih.

“Dahulu duit saya mengalir bagai air dan tidak pernah lekat di tangan. Apabila menjadi usahawan, saya lebih cermat, bijak dan teliti dalam menguruskan wang serta simpanan,” jelasnya panjang lebar.

 

Melihat keyakinannya dalam bidang perniagaan, timbul persoalan adakah sudah tiba masanya anak kelahiran Parit Buntar, Perak itu menoktahkan perjalanannya sebagai pelakon.

Pantas menggeleng kepala, Syatilla bertegas masih mahu berlakon, namun bukan dalam masa terdekat.

Selain daripada sibuk menguruskan perniagaan, anak-anak juga juga menuntut perhatian penuh daripadanya.

“Banyak tawaran yang saya tolak sebelum ini kerana jadual penggambaran mengambil masa terlalu panjang. Saya enggan menyusahkan pihak produksi andai tidak mampu memberikan komitmen 100 peratus,” ulasnya.

Soal dilupakan atau hilang sokongan peminat, Syatilla meluahkan keyakinan bahawa dengan bantuan media sosial, perkara sebegitu tidak akan berlaku.

“Dahulu, mungkin strategi sentiasa muncul dalam televisyen merupakan tindakan yang terbaik agar tidak dilupakan peminat.

“Sekarang dengan adanya platform seperti Instagram, Facebook dan TikTok, peminat boleh sentiasa mengikuti perkembangan saya secara terus,” katanya yakin.

 

Jamu

Selepas kejayaan produk kecantikan bawah label Kekasih, Syatilla melangkah setapak lagi dalam dunia perniagaan apabila bakal mengeluarkan produk jamu jenama sendiri.

Kali ini, wanita berusia 29 tahun itu mencabar diri sendiri untuk bergerak solo tanpa dibantu oleh adik-beradiknya yang lain.

Memilih untuk menjual jamu, Syatilla berkata, dia selesa menjual sesuatu yang memang diamalkan dalam kehidupan seharian.

Mengakui dirinya seorang pengamal jamu tegar sejak berusia 15 tahun, Syatilla mahu mengubah perspektif anak-anak muda terhadap jamu.

“Jamu bukan sekadar untuk menjadi cantik atau awet muda. Saya memilih untuk menjual jamu kerana boleh membantu menjaga aspek dalaman seorang wanita.

“Jangan risau, rasa jamu saya insya-Allah sangat sedap dan tidak kelat atau pahit seperti versi tradisional zaman nenek-nenek kita dahulu,” terangnya satu per satu.

Produk jamu miliknya kini sudah memasuki fasa terakhir penyelidikan dan dijangka dipasarkan sekitar September ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN