REMBAU – “Anak saya beritahu lima wanita berwajah hitam dan berambut panjang telah mengangkatnya dari katil ketika dia sedang tidur di dalam bilik rumah sebelum disorok di sebuah kolam terbiar di kawasan semak.”
Itu cerita Samat Ramu, 63, mengenai misteri yang menimpa anaknya, Mohd. Fashah Samat, 35, yang dipercayai disorok makhluk halus selama kira-kira 12 jam di Kampung Sungai Raden, Lubok China di sini, Sabtu lalu.
Kehilangan Mohd. Fashah yang juga orang kelainan upaya (OKU) masalah pembelajaran disedari keluarganya kira-kira pukul 6 pagi setelah didapati tiada di dalam bilik.
Samat berkata, jantungnya dan isteri, Faridah Hussin, 63, seolah-olah terhenti seketika sebaik sahaja menyedari anak ketiga daripada empat beradik itu hilang begitu sahaja kerana selama ini,
Mohd. Fashah tidak akan ke mana-mana pada waktu subuh.
Menurutnya, mereka kemudian memaklumkan mengenai kehilangan mangsa kepada pihak polis dan usaha mencarinya telah dijalankan bersama ramai penduduk kampung.
“Mereka telah masuk di hutan dan semak di belakang rumah saya. Selepas waktu asar, penduduk yang dibahagikan kepada tujuh kumpulan telah melaungkan azan secara serentak di pelbagai penjuru hutan itu.
“Kira-kira pukul 6.15 petang dan selepas sejam azan dilaungkan, anak saya berjalan keluar seorang diri dari kawasan itu yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari rumah,” katanya semalam.
Samat memberitahu, ketika ditemui, Mohd. Fashah berada dalam keadaan lemah dan kecut akibat berendam terlalu lama di dalam air di kolam terbiar di kawasan bekas pusat serenti yang telah lama ditinggalkan.
“Anak saya beritahu kami, ketika dia keluar dari situ, lima perempuan misteri yang mengangkatnya ke kolam itu sudah tiada.
“Namun, selepas pulang ke rumah, anak saya dakwa dia kadangkala terlihat kelibat dua wanita berpakaian putih yang mengikutinya,” ujar Samat.
Menurutnya, Mohd. Fashah ada menceritakan bagaimana dia cuba meminta pertolongan anak-anak saudaranya yang tidur berdekatannya ketika diangkat wanita terbabit, namun mulutnya seolah-olah terkunci.
“Malah, ketika berada di kolam itu, dia cuba keluar, tetapi wanita misteri itu memegang bahunya. Fashah juga tak dengar jeritan orang kampung memanggil namanya,” katanya.
Menurut Samat, keluarganya kini sedang dalam usaha mendapatkan rawatan perubatan Islam buat anaknya itu memandangkan mereka masih bimbang dan risau sekiranya kejadian sama berulang.
Kira-kira 20 tahun lalu, seorang wanita OKU bisu dari kampung berdekatan pernah hilang dan dijumpai di dalam sungai.
“Kejadian ini juga pernah terjadi di Kampung Tampin Kanan di Port Dickson beberapa tahun lalu membabitkan OKU, namun mangsa dijumpai di atas pokok.
“Saya tak berani nak tinggalkan anak buat masa ini dan akan membawanya bersama ke mana sahaja dan kami suami isteri akan tidur bersamanya,” ujarnya.







