KINI makin ramai orang menanti keputusan kerajaan untuk membenarkan rentas negeri, bukan sahaja bagi pulang ke kampung menjengok orang tua yang sudah lama tidak ditemui, malahan juga bercuti.
Sudah tentu ramai yang rindukan untuk bercuti di pulau yang penuh mendamaikan fikiran.
Minggu ini, Tip Kembara menyajikan beberapa tip bagi mereka yang ingin bercuti ke pulau termasuk peralatan dan pakaian yang dibawa harus bersesuaian dengan keadaan lokasi tersebut.
Ini penting bagi memastikan percutian tersebut dapat dinikmati dengan lancar dan mengujakan.
PENUTUPAN sektor pelancongan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melalui beberapa fasa menyebabkan orang ramai semakin rindu untuk bercuti serta beriadah setelah sekian lama terpaksa berkurung di dalam rumah bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Oleh itu, pelaksanaan Pulau Langkawi sebagai projek rintis di bawah program gelembung pelancongan yang bermula pada 16 September lalu merupakan berita gembira dan ditunggu-tunggu.
Melihat kepada perkembangan positif menerusi projek rintis di Pulau Langkawi itu, kerajaan dijangka akan membuka beberapa destinasi pelancongan lain seperti Pulau Pangkor di Perak, Pulau Redang dan Perhentian (Terengganu) serta Pulau Tioman (Pahang) dalam masa terdekat.
Pastinya para pencinta pulau tidak sabar untuk memulakan percutian mereka bagi melunaskan rindu dan menikmati keindahan laut serta pantai yang sangat mendamaikan.
Pun begitu, persiapan yang rapi perlu dilakukan bagi memastikan percutian tersebut dapat dinikmati dengan lancar dan mengujakan.
Umum mengetahui, pulau mempunyai cuaca yang agak panas. Maka, peralatan dan pakaian yang dibawa harus bersesuaian dengan keadaan lokasi tersebut.
Berikut, Horizon mencadangkan beberapa tip untuk membawa item-item yang bersesuaian sekiranya bercuti di pulau.
1. Pakaian
Sebut sahaja percutian di pulau, aktiviti melibatkan air merupakan perkara wajib dilakukan dan pastinya barangan seperti baju mandi adalah item sangat penting.
Bagi wanita yang mementingkan penjagaan aurat, boleh membawa bersama baju renang Muslimah.
Persedian tersebut sedikit sebanyak melancarkan aktiviti kerana tidak perlu menjelajah mencari kedai berdekatan bagi mendapatkannya.
Jangan lupa untuk membawa plastik bagi meletakkan pakaian basah di dalamnya.
Selain baju mandi, persalinan harian juga haruslah selesa dan sesuai dengan keadaan cuaca panas di pulau.
2. Selipar
Memakai kasut di pantai sangat tidak sesuai kerana permukaannya yang berpasir dan berdebu menyebabkan anda berasa tidak selesa jika benda asing itu masuk ke dalam sepatu.
Apatah lagi aktiviti banyak tertumpu di pantai dan dalam kawasan air. Maka, selipar sangat sesuai dalam keadaan basah serta berpasir itu.
Walaupun selipar sangat sesuai untuk aktiviti pantai, tetapi jangan pilih yang terlalu berat, sebaliknya ambil yang ringan bagi memudahkan pergerakan.

3. Kaca mata hitam
Bukan sahaja menambah gaya kepada si pemakai, tetapi kaca mata hitam juga mempunyai fungsi sangat penting untuk melindungi mata daripada sinaran ultraviolet berlebihan, terutamanya ketika melakukan aktiviti luar dalam cuaca panas.
Bayangkan cuaca yang sangat panas dan terik di pulau menyebabkan pandangan terganggu seperti silau serta lebih parah lagi boleh menyebabkan kerosakan pada mata.
Justeru, pemakaian kaca mata hitam merupakan item yang wajib ketika bercuti di pulau bagi melindungi mata supaya anda dapat beraktiviti dengan seronok tanpa gangguan.
4. Krim pelindung matahari
Cahaya matahari yang sangat terik di pulau dan anda pula banyak menghabiskan masa di pantai dengan melakukan pelbagai aktiviti akan menyebabkan kulit berasa tidak selesa serta terbakar (sunburn).
Oleh itu, pemakaian krim pelindung matahari adalah sangat penting untuk melindungi dan menjaga kesihatan kulit kerana terdedah terlalu lama di bawah sinaran matahari sehingga bertukar warna kemerahan atau menjadi gelap.
Pilih krim pelindung matahari yang mengandungi 130 SPF bagi melindungi cahaya matahari terlalu terik dan terdedah secara langsung dalam jangka masa lama.

5. Beg kalis air
Aktiviti di pulau yang banyak berkaitan dengan air seperti berenang, snorkeling dan pelbagai permainan di pantai memerlukan kita membawa beg kalis air untuk menyimpan barangan seperti kamera atau telefon pintar.
Beg kalis air itu sangat penting kerana jika tidak berbuat demikian dikhuatiri barangan elektronik akan rosak apabila terkena air.
6. Ubat-ubatan
Walau ke mana sahaja kita pergi mengembara atau bercuti, ubat-ubatan perlu dibawa bersama sebagai persediaan jika tiba-tiba kurang berasa sihat seperti demam atau sakit kepala, sementara mendapatkan rawatan di klinik jika ia semakin parah.
Bawa juga bersama makanan tambahan atau vitamin untuk menguatkan sistem pertahanan badan agar anda sihat sepanjang percutian tersebut.
















