PETALING JAYA – Seorang penduduk menyifatkan kejadian puting beliung yang melanda Taman Bagan Kurnia, Chuah, Port Dickson, Negeri Sembilan Rabu lalu amat menggerunkan.
Usahawan kek, Noor Hidayah Kadri, 35, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu dia sedang mencuci pinggan di dapur sebelum terdengar bunyi seperti angin ribut yang sangat bising diselangi bunyi seperti orang melempar zink di dinding.
“Mula-mula saya dengar seperti bunyi zink diketuk. Kuat sangat. Saya ingat jiran hendak betulkan rumah. Apabila saya jengah keluar saya nampak ada zink dan bekas polisterin berterbangan di udara.
“Saya meluru ke depan cari anak-anak dan peluk mereka sekuat-kuatnya. Saya lihat pintu gelongsor sudah terbuka luas rupa-rupanya mereka sudah nampak kejadian di luar sana,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, bibirnya hanya mampu terkumat-kamit menyebut nama Allah dan berasa begitu cemas sehingga terasa sukar untuk bernafas dengan jantungnya berdegup kencang.
“Pegang telefon tetapi tidak tahu hendak hubungi siapa. Menggigil tangan sambil menangis tengok telefon. Fikiran buntu tidak tahu mahu buat apa.
“Masa itu saya berlari sekejap tutup pintu kerana hanya fikir hendak elak angin masuk dalam rumah. Bila sudah rasional baru sedar tindakan itu bahaya sebab pintu cermin boleh pecah. Nasib baik tiada yang buruk berlaku kepada kami,” imbaunya.
Noor Hidayah berkata, dia masih fobia mengenangkan kejadian itu dan tidak pernah berdepan situasi seumpama itu sepanjang tinggal di taman perumahan berkenaan sejak tujuh tahun lalu.
“Kejadian itu hanya berlangsung kira-kira 10 minit tetapi bulu roma saya masih meremang sehingga keesokannya apabila saya ingat semula bunyi angin kencang itu.
“Pendek kata, takut sampai sekarang, jadi teringat-ingat. Tidur pun tidak lena sekejap-sekejap terjaga,” ujarnya.














