fbpx
JELMAAN saka Nenek Jah dilihat oleh seorang cucunya berlegar-legar dalam rumah selepas kematiannya. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Saka arwah nenek tak tenang cari tuan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KISAH saka yang ‘meroyan’ selepas tuan asal meninggal dunia bukan kisah baharu kerana ia sering berlaku dalam kehidupan masyarakat Melayu pada zaman dahulu.

Saka atau pendamping dikategorikan sebagai makhkluk halus dibela segelintir masyarakat zaman dahulu kala bertujuan untuk menjaga keluarga dan harta.

Kolum Mitos minggui ini membawa kisah seram yang menghantui seorang gadis yang dikacau saka atau pendamping belaan arwah neneknya yang mengganggu kehidupan hariannya selepas tuannya meninggal dunia.

Tidak tahan diganggu, gadis itu akhirnya bertemu seorang ustaz bagi melepaskan dirinya daripada ikatan saka berkenaan.
—————————————————————————————————————————————————-
WALAUPUN usia mencecah lewat 70-an, tetapi seorang wanita yang dikenali sebagai Nenek Jah masih anggun menggayakan kebaya dan rambutnya disanggul tinggi sehingga membuatkan sekali pandang persis anak gadis apatah lagi memiliki pinggang ramping.

Nenek Jah bukan hanya terkenal dengan kejelitaan ketika di usia muda sehingga menjadi rebutan ramai pemuda, tetapi dia juga dilahirkan dalam keluarga hartawan dengan memiliki banyak ladang serta hartanah.

Disebalik segala keindahan rupa paras dan kisah hartawan Nenek Jah itu tersimpan kisah misteri yang membelenggu penduduk kampung serta keturunan wanita tersebut.

Menceritakan kisah misteri Nenek Jah, salah seorang cucunya yang ingin dikenali sebagai Su memberitahu, dia pernah beberapa kali ternampak wanita tersebut memakai sejenis tangkal benang di pinggang.

“Saya sangka ia untuk tujuan perubatan dan tiada kaitan dengan khurafat.

“Lebih mengejutkan, saya pernah masuk ke bilik nenek dan ternampak peralatan seperti alat pemujaan,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Su memberitahu, Nenek Jah mempunyai lapan orang anak dan kebanyakan mereka tinggal di bandar dan luar negara bersama keluarga masing-masing termasuk bapanya.

Oleh itu, mereka jarang pulang ke kampung dan Nenek Jah tinggal bersama anak bongsu serta beberapa orang cucu sebagai peneman.

Ceritanya, dia sangat seronok pulang ke kampung kerana neneknya sangat penyayang dan terlalu memanjakannya sebagai cucu sulung.

SERING diganggu saka belaan arwah neneknya, Su nekad berjumpa seorang ustaz dalam usaha melepaskan diri daripada pendamping tersebut. – GAMBAR HIASAN

Ketika Nenek Jah masih hidup, keadaan di rumah banglo dua tingkat itu kelihatan tenang, tetapi selepas ketiadaannya, ‘pendamping’ atau saka wanita itu mula memunculkan diri untuk mencari tuan baharu.

“Malam kedua selepas nenek meninggal, saya nampak seorang wanita tua persis wajahnya berjalan-jalan mengelilingi rumah.

“Saya cuba memberitahu adik-beradik dan keluarga lain mengenai peristiwa itu, tetapi mereka tidak percaya kerana tiada seorangpun melihatnya,” ujarnya.

Segalanya terbongkar apabila ayah Su sendiri menceritakan perbuatan khurafat keturunan keluarganya yang mempunyai ‘pendamping’ hingga diturunkan kepada Nenek Jah.

Rupanya-rupanya keturunan keluarga kaya dan pengaruh itu menggunakan pendamping untuk menjaga harta serta keturunan mereka.

Namun, anak cucu Nenek Jah yang hidup sebagai orang moden tidak mahu menyambung keturunan tersebut, malah ada juga tidak percaya perkara karut seperti itu.

“Saya berasa sangat tertekan kerana pendamping itu memilih saya sebagai tuan baharu hingga sering diganggu kehadiran ‘nenek’.

“Oleh itu, saya meminta bantuan seorang ustaz untuk melepaskan diri daripada pendamping itu,” katanya.
Setelah mendapatkan rawatan serta bantuan daripada mereka yang ahli dalam bidang tersebut, akhirnya Su tidak lagi diganggu oleh makhluk tersebut dan kini menjalani kehidupan dengan tenang.
———————————————————————————————————————————————–
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN