fbpx
KAKA AZRAFF

Kegilaan Kaka Azraff

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEWAKTU zaman anak dara, penyanyi yang popular dengan rantaian lagu hit seperti Bawaku Pergi, Bukan Hal Aku dan Sibuk itu cukup dikenali dengan sikap ‘gila-gila’. Kini, Kaka Azraff masih begitu, namun lebih menunjukkan kematangan selaras dengan statusnya sebagai seorang ibu dan isteri.

Akuinya, kehidupan berubah selepas menjadi isteri kepada Adam Azriff pada Disember 2018 dan setahun kemudian, mereka dikurniakan putera sulung, Aslan Adam yang kini berusia 10 bulan.

“Anak saya macam saya juga, suka terkinja-kinja (ketawa). Aslan susah berenggang dengan saya. Dia kuat menangis tetapi saya percaya ini adalah proses dan cabaran menjadi seorang ibu.

“Hidup berubah 180 darjah sejak jadi ibu. Buat masa sekarang dia susah ingin sesuaikan diri dengan orang lain. Kalau apa-apa pun, dia memang akan cari saya berbanding bapanya.

“Aslan punya perangai sampai pengasuh pun susah nak pujuk dia. Mahu atau tidak, saya sendiri kena layan. Dari sudut positif, saya dapat melihat dia membesar depan mata walaupun terpaksa memperlahankan rentak seni,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

 

Tambah anak

Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff, 31, ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu berjudul Gila (featuring Loca B dan Noki).

Lagu tersebut merupakan ciptaan bersama Azra Kong, Loca dan Noki K-Clique.

Diajak bercerita tentang perancangan menambah cahaya mata, Kaka berkata, dia tidak menolak untuk menimang cahaya mata lagi dalam masa terdekat.

Kaka juga merancang untuk memiliki tiga hingga empat cahaya mata.

“Saya tak kisah sekiranya ada rezeki mengandung lagi. Sebab saya bukannya makin muda, usia makin bertambah.

“Saya dan suami tidak merancang, kami serahkan rezeki kepada Allah. Kalau ada rezeki, kami terima. Suami pun terbuka soal ini. Bagaimanapun, pada masa yang sama, saya juga ingin kembali aktif dalam dunia nyanyian,” katanya.

Diajukan soalan tentang kemanisan hidup sebagai seorang ibu, jawab Kaka: “Kasih sayang saya terhadap Aslan tidak berbelah bahagi. Banyak hal yang telah berubah dan dia juga merupakan sumber inspirasi saya untuk bekerja keras demi membesarkannya.”

 

Suami makin okey

Diajak bercerita tentang kondisi suaminya yang sebelum ini pernah dilaporkan menghidap gangguan kecelaruan bipolar dan Obsesif Kompulsif (OCD), Kaka memberitahu, Adam semakin pulih terutama selepas menjadi seorang bapa.

“Alhamdulillah, selepas berkahwin dan bertukar status menjadi seorang bapa, masalah tersebut macam sudah hilang terus.

“Mungkin sekarang masanya banyak terisi dengan perihal keluarga dan cara pemakanannya lebih terurus berbanding waktu bujang.

“Mungkin dahulu makan pakainya tiada orang jaga, sekarang saya sudah ada sebagai isteri untuk menguruskan perkara itu. Tambahan pula, dia sekarang seorang bapa,” katanya lagi.

Berbicara lanjut, Kaka berkata, suaminya itu lebih fokus dalam soal penjagaan anak dan tidak memerlukan rawatan daripada pakar psikiatri.

“Alhamdulillah, semuanya sekarang baik-baik sahaja. Kehadiran Aslan benar-benar mengubah kehidupan kami sebagai suami isteri dan sekarang ibu bapa.

“Saya boleh nampak perubahan Adam yang lebih fokus dan terurus selepas Aslan hadir dalam hidup kami berdua. Apa-apapun sekarang, anak keutamaan nombor satu kami,” tuturnya.

 

Impian Gila

Dalam pada itu, mengulas tentang single terbaharunya dengan Loca B dan Noki, ujar Kaka, dia sudah lama memasang impian untuk bekerjasama dengan dua figura hebat itu.

“Saya pernah berjumpa dengan Loca dan Noki beberapa kali sebelum ini dan sudah lama pasang impian nak bekerjasama dengan mereka.

“Jadi, apabila Black Hat Cat Records kata akan ada kolaborasi dengan Loca dan Noki, saya tidak berfikir panjang dan terus bersetuju. Mereka berdua merupakan penyanyi rap yang bagus dan mempunyai pengikut yang tersendiri,” katanya.

Ditebak pertanyaan apa istimewanya lagu Gila berbanding single kolaborasinya yang terdahulu, balas Kaka:

“Saya suka bunyi yang terhasil daripada karya ini. Nak kata tradisional tak sangat, pop pun bukan keterlaluan dan itu suatu kelainan yang saya cari.”

Gila diterbitkan oleh Black Hat Cat Records dengan kerjasama Warner Music Malaysia selaku pengedar.

Single tersebut sudah boleh didapati semua pelantar digital bermula 31 Julai lalu, manakala video muzik rasminya boleh ditonton menerusi YouTube bermula 17 Ogos lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN