PETALING JAYA – Kerajaan digesa mengambil tindakan proaktif bagi mengatasi lambakan pemandu e-hailing tanpa Permit Kenderaan e-hailing (eVP) bagi memastikan hanya persaingan sihat berlaku dalam kalangan pemain industri itu.
Rata-rata pemandu mengakui, persaingan sesama mereka yang bekerja secara sah telah mendatangkan tekanan ketika pandemik ini, apatah lagi kini perlu berebut penumpang dengan pemandu-pemandu ‘haram’.
Seorang pemandu e-hailing, Syazni Mohd. Zainuddin, 34, berkata, bagi berhadapan dengan keadaan itu, dia terpaksa menggunakan pelbagai aplikasi dan perkhidmatan e-hailing.
“Saya sendiri pun kerja di antara 8 hingga 10 jam sehari. Penat itu biasalah, tetapi apa pilihan yang ada? Lagipun sudah biasa buat e-hailing.
“Selain hantar orang, saya juga perlu menghantar barangan dan makanan. Barulah boleh dapat dalam RM150 hingga RM200 sehari bagi tempoh waktu bekerja seperti itu,” katanya kepada Kosmo!.
Sementara itu, Sallehuddin Noh, 45, berkata, ramai dalam kalangan pemandu e-hailing tidak sah terlepas daripada dikenakan tindakan oleh syarikat mereka sendiri.
“Mungkin syarikat-syarikat terbabit hanya memikirkan keuntungan. Jika pemandu haram ini tak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa, majikan mereka diam seribu bahasa.
“Sebab itulah kami masih lagi berhadapan dengan masalah ini,” ujarnya.
Menurut Mohd. Ruslan Mohd. Razak, 37, pula, mereka yang mahu memulakan karier dalam industri tersebut secara sah perlu mengeluarkan belanja sehingga mencecah RM500.
Sebagai contoh, pemandu e-hailing perlu melakukan pemeriksaan kesihatan dengan bayaran RM80 dan pengambilan Lesen Vokasional Malaysia (PSV) yang kosnya hampir RM250.
“Itu tidak termasuk melakukan pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer. Kalau gagal, kena ulang dan bayar semula.
“Jadi sekarang ini kami terpaksa pula bersaing dengan pemandu tanpa eVP yang terlalu ramai,” ujarnya. -K! ONLINE














