fbpx

‘Rider’ pentingkan diri dikecam netizen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tular memaparkan tindakan seorang penunggang motosikal melalui lorong kereta di plaza tol sehingga mengakibatkan palang tol menghentam sebuah kereta.

PETALING JAYA – Tindakan seorang pekerja perkhidmatan penghantaran makanan menunggang motosikal di lorong kereta sewaktu melalui plaza tol di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) mengundang kemarahan orang ramai.

Menerusi satu klip video yang dimuat naik oleh MHrl Azln, tindakan penunggang motosikal terbabit dilihat telah mengakibatkan palang tol yang terbuka menghentam sebuah kereta selepas sensor mengesan ia telah dilalui oleh kenderaan.

Tindakan penunggang motosikal berkenaan mendapat kecaman daripada pengguna media sosial yang rata-ratanya menyifatkan perbuatan itu sebagai pentingkan diri sendiri dan menganiayai pengguna jalan raya lain.

“Palang turun awal sebab sensor kesan kereta sudah lepas. Lapor sahaja dengan polis dan syarikat e-hailing berkenaan, bawa sekali video ini sebagai bukti.

“Bukan nak sekat rezeki dia, tapi orang macam ini kita perlu beri pengajaran dan sebagai usaha menyelamatkan nyawa dia dengan orang lain. Sikap macam ni tak sesuai berada dan bekerja atas jalan raya,” kata seorang pengguna dengan nama Nor Azam.

Video berkenaan yang dikongsikan sejak pagi tadi telah mendapat lebih 20,000 tontonan dan 209 komen daripada orang ramai yang mengecam perbuatan itu.

Tambah mengundang kemarahan orang ramai adalah apabila kelihatan beberapa buah motosikal lain dengan tenang melalui lorong motosikal yang terletak bersebelahan sahaja dengan lorong kereta tersebut.

“Aku tak faham dengan perangai macam ni, lorong motosikal sebelah itu saja, kenapa nak kena lalu lorong kereta, lepas itu susahkan orang, nasib baik cermin kereta tu tak pecah,” kata Irwan Amin.

Tambah seorang lagi pengguna dengan nama Abdullah Lah, tindakan penunggang motosikal itu memberi gambaran yang buruk kepada kerjaya sebagai seorang penghantar makanan yang akan mengakibatkan golongan tersebut dipandang serong.

“Sudah-sudahlah burukkan nama ‘rider’. Aku pun rider juga, tak pernah buat perangai macam ni. Kita elok-elok nak cari makan dah orang pandang serong, dilabel macam-macam,” luahnya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI