fbpx

Tukang tebang meninggal dunia atas pokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba menurunkan mayat Awaludin dari atas pokok bidara setinggi 30 meter di Kampung Kundur Hilir, Rembau hari ini.

Oleh NOR AINNA HAMZAH

REMBAU – Seorang warga emas tiba-tiba terkulai kaku di atas pokok bidara setinggi 30 meter ketika melakukan kerja-kerja penebangan pokok di rumah penduduk di Kampung Kundur Hilir dekat sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.00 petang itu, mangsa, Awaludin Kaman, 68, beralamat di Kampung Mungkal berjaya dibawa turun dengan selamat oleh pasukan bomba kira-kira dua jam selepas menerima panggilan pada pukul 3.13 petang.

Menurut rakan sekerja mangsa, Uwish Kurni Mohd Mahfuz, 27, ketika kejadian dia berada di bawah pokok, manakala mangsa yang dipanggilnya Cik Y sedang berada di atas pokok.

“Ikutkan dah lama kami tak bersama-sama menebang pokok, cumanya pagi tadi Cik Y beriya-riya mengajak saya menemaninya potong pokok. Ini merupakan pokok bidara ketiga yang dipotongnya hari ini.

“Bila saya lihat Cik Y tiba-tiba senyap dan terkulai di celahan dahan pokok, saya segera memanjat pokok dan mengikatnya kerana bimbang Cik Y jatuh. Selepas itu, kami meminta pertolongan pihak bomba,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, petang tadi.

Bagi seorang lagi yang turut sama melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan penebangan pokok, Mohd. Hafizuddin Rozaimi, 20, dia menyatakan arwah yang dipanggilnya Atok sempat bergurau dan menyuruhnya belajar cara memanjat serta menebang pokok.

“Atok kata kau belajarlah macam mana panjat pokok ni, nanti boleh ganti. Saya katakan pada Atok, saya tak berani nak panjat tinggi.

“Tak lama lepas tu, Atok senyap sahaja walau dipanggil berulang-kali. Tak sampai seminit Uwish memanjat pokok ini dan terpaksa mengikat Atok kerana bimbang Atok yang tak sedarkan diri di atas pokok terjatuh,” katanya.

Menurutnya, arwah merupakan seorang yang sangat berpengalaman dalam kerja-kerja menebang pokok kerana sudah membuat kerja berkenaan puluhan tahun.

Susulan kejadian berkenaan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba di lokasi pada jam 3.29 petang.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fuad Majid, pasukannya mengambil masa dua jam untuk membawa mangsa turun menggunakan tali penyelamat.

“Sebaik berjaya diturunkan, pasukan paramedik telah membuat pemeriksaan dan mengesahkan mangsa telah pun meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban bagi proses bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI