fbpx
Gambar hiasan.

Penyakit mental makin meruncing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tahap kesihatan mental rakyat Malaysia berada dalam keadaan merun­cing apabila masalah jiwa bakal menjadi ancaman nombor satu buat negara selepas penya­kit empat serangkai iaitu jantung, buah pinggang, darah tinggi dan ken­cing manis.

Ia dibuktikan apabila hampir setengah juta penduduk di negara ini dilaporkan mengalami masalah kemurungan merangkumi 2.3 peratus rakyat berusia 16 tahun ke atas berdasarkan statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2019.

Lebih memburukkan keadaan apabila Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang mula beroperasi sejak Mac tahun lalu menerima hampir 150,000 panggilan yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling seperti stres akut, keresahan, kemurungan, pende­raan dan bunuh diri.

Presiden Persatuan ­Psikiatri Malaysia, Dr. Hazli Zakaria berkata, tahap kesihatan mental rakyat Malaysia sebenarnya sudah terjejas sejak 2015, namun ia tidak diberikan perhatian serius.

Katanya, ia semakin membarah apabila hampir setiap hari ada kejadian bunuh diri dan jumlah mereka yang menghubungi talian bantuan semakin meningkat.

“Golongan yang mendapatkan rawatan terutama di sektor swasta juga bertambah dan semua ini menggambarkan tahap tekanan mental dialami oleh rakyat.

“Statistik sedia ada dibuat sebelum penularan Covid-19 dan saya tidak menolak kemungkinan jumlahnya kini sudah ber­ubah,” katanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, berdasarkan kajian NHMS pada 2015, satu daripada tiga rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas berisiko mengalami masalah dan penyakit mental.

Dr. Hazli

Menurut Dr. Hazli, terdapat 300 jenis penyakit mental, namun yang biasa didengar ialah Skizofrenia, Bipolar, Panik, Fobia dan Obsesi & Kompulsif (OCD) Post Traumatic Stress Disorder.

“Kemurungan, penagihan dadah, kondisi dialami kanak-kanak seperti autism, Attention Deficit Hyperactive Disorder serta penyakit demensia juga dika­tegorikan sebagai pe­nyakit mental,” katanya.

Bagaimanapun, ujar Dr. Hazli, pihaknya belum ada data yang tepat, namun apa yang pa­sti pe­nyakit mental baru disedari ketika penularan Covid-19 walaupun ia sudah menunjukkan trend peningkatan sejak 2015.

Tambahnya, ketika ini fokus hanya diberikan kepada rawatan dan bukan kepada kaedah pemulihan dan rehabilitasi selagi masalah asas seperti kekangan psikiatris dan klinikal psikologi, peruntukan serta fasiliti tidak diselesaikan.

“Ketika ini kita hanya mempunyai 420 pakar psikiatri dan ia sangat kecil dan jauh dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Dunia yang menetapkan seorang pakar bagi setiap 10,000 penduduk. Kita perlukan sekurang-kurangnya 3,100 orang lagi pakar,” katanya.

Beliau yakin masalah mental akan meningkat berkali ganda selepas ini memandangkan ramai masih bergelut dengan pandemik Covid-19 yang masih berpanjangan.

Lebih menyedihkan apabila hanya satu peratus dana yang diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan disalurkan untuk menangani penyakit mental hingga mengehadkan usaha pakar psikiatri merawat pesakit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN