DI era pandemik Covid-19 yang masih melanda negara sekarang, ramai daripada kita sudah lupa tentang bahaya yang masih ada di sekeliling kita dan boleh menyerang pada bila-bila masa iaitu penyakit demam denggi.
Perlu diingat, demam denggi yang dibawa nyamuk Aedes merupakan salah satu ancaman kesihatan yang boleh meragut nyawa jika tidak ditangani dengan baik.
Justeru, sama-samalah kita berganding bahu menghapuskan tempat pembiakan Aedes demi kesejahteraan bersama kerana seperti virus, nyamuk juga mampu beradaptasi dengan persekitaran baharu untuk terus bertahan.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
UMUM mengetahui, demam denggi merupakan sejenis penyakit bawaan nyamuk yang melanda dunia sejak sekian lama.
Banyak negara di Asia Tenggara, benua Amerika dan kepulauan Pasifik Barat diisytiharkan sebagai kawasan endemik untuk virus denggi.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, lebih 100 negara di dunia diancam virus bawaan nyamuk ini.
Penyelidik Kanan Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC), Universiti Malaya, Dr. Zubaidah Ya’cob berkata, nyamuk adalah sejenis serangga atropod yang menghisap darah dan penyebar kuman penyakit kepada manusia dan haiwan.
Katanya, walaupun tabiat nyamuk betina yang menghisap darah bagi mematangkan telur, namun secara tidak langsung ia turut memindahkan apa juga kuman dan patogen dari darah perumah yang dijangkiti kepada perumah baharu.
“Selain denggi, nyamuk Aedes turut membawa virus zika dan chikungunya di kebanyakan negara Asia.
“Di negara sub-Sahara Afrika dan Amerika Selatan, Aedes membawa virus penyakit demam rift valley, demam West Nile dan demam kuning,” katanya.
Menurutnya, selain Aedes, terdapat dua lagi spesies nyamuk yang menyebarkan penyakit berjangkit yang membawa kemudaratan kepada manusia iaitu Culex dan Anopheles.
Kedua-dua spesies ini yang terdapat di kebanyakan negara beriklim tropika merupakan kumpulan utama penyebar atau vektor kepada virus dan parasit.
Ujar Dr. Zubaidah, nyamuk Culex merupakan vektor yang membawa virus penyebab penyakit Japanese Encephalitis (JE) dan demam West Nile.
Bagi nyamuk Anopheles pula, terkenal sebagai pembawa kuman parasit penyebab demam malaria.

Jelasnya, ketiga-ketiga kumpulan nyamuk ini juga berupaya membawa satu lagi kuman parasit penyebab lympathic filariasis atau lebih dikenali sebagai kaki gajah dalam kalangan masyarakat tempatan.
Walaupun virus denggi dijumpai sejak tahun 1943 di Jepun dan menjangkiti jutaan manusia, namun demam denggi dan demam denggi berdarah masih menjadi antara masalah kesihatan utama di negara kita.
“Persoalannya, mengapa penyakit bawaan nyamuk ini sukar dihapuskan?
“Jawapan adalah kita sebenarnya masih gagal untuk menghapuskan tempat pembiakan vektornya.
“Dalam konteks kitaran hidup biologi nyamuk, dengan hanya melakukan sekali sahaja persenyawaan, nyamuk betina mampu bertelur sehingga maksimum 10 kali sepanjang hayatnya, dengan 500 telur dihasilkan dalam setiap proses,” katanya.
Tambahnya, syarat utama bagi tempat pembiakannya adalah hanya dengan kehadiran air bertakung, dari hanya setitis air sehinggalah sebesar- besar bekas takungan.
Keupayaan nyamuk Aedes beradaptasi dengan persekitaran buatan manusia ini memberinya kelebihan.
Sehingga ke hari ini, rantaian virus denggi bawaan nyamuk Aedes masih tidak dapat diputuskan dalam komuniti kita, terutamanya bagi populasi berkepadatan tinggi seperti di Selangor dan Kuala Lumpur.
Kedua-dua lokasi ini sentiasa mencatatkan angka jangkitan tertinggi berbanding negeri-negeri lain selama ini.
Data diperoleh daripada Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan, Kementerian Kesihatan bertarikh 10 Ogos lalu menunjukkan, sebanyak 16,732 kes denggi dicatatkan dari 29 Disember 2020 sehingga 10 Ogos lalu dengan lebih separuh daripadanya di Selangor.

“Hasil pemerhatian saintifik terhadap jumlah kes denggi setiap tahun menunjukkan, terdapat pola penurunan kes pada tahun 2020, iaitu ketika negara berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.
“Keadaan ini boleh dikaitkan dengan kurangnya aktiviti dilakukan manusia di luar rumah, seterusnya merendahkan risiko gigitan nyamuk Aedes,” jelasnya.
Dalam pada itu, kesedaran tinggi mengenai bahaya penyakit bawaan vektor ini perlu terus diterapkan kepada semua golongan masyarakat, terutamanya generasi muda.
Dr. Zubaidah menambah, keupayaan nyamuk yang unik seperti mampu beradaptasi dengan persekitaran baharu dan bukan semula jadi, selain kalis kepada pelbagai jenis racun serangga, menjadikan ancaman virus yang dibawanya kekal ke masa hadapan.
Menurutnya, keupayaannya sebagai vektor pembawa virus dan parasit apabila digabungkan dengan permasalahan pengurusan biodiversiti, menjadikan nyamuk antara ancaman utama tamadun manusia kelak.
“Benar, pelbagai usaha dijalankan pihak berwajib bagi menghentikan penularan wabak denggi, antaranya dengan memperkukuh program kawalan vektor melalui penghapusan tempat pembiakan nyamuk.
“Bagaimanapun, keberkesanan usaha ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak, terutamanya ahli masyarakat,” tegasnya














